MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Tabung Haji Isytihar Agihan Keuntungan Selepas Zakat 3.05% Bagi Tahun Kewangan 2019




Kuala Lumpur, 13 MAC 2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat pada kadar 3.05% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019. Ia melibatkan agihan berjumlah RM2.1 bilion, iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion bagi tahun kewangan 2018.

Agihan keuntungan yang lebih baik ini didokong oleh prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik berasaskan strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat.

Bagi tahun kewangan 2019, TH berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3bilion, dimana sejumlah RM1.2 bilion telah diperolehi dalam suku keempat. Secara keseluruhan, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil dimana pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58% pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM0.5 billion (15%), RM0.5 bilion(15%) dan RM0.4 bilion (12%).

Perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil turut berjaya mengurangkan tekanan akibat keadaan pasaran saham yang tidak

menentu, antara lainnya, berpunca daripada ketegangan perang dagangan di peringkat global. Pada 31 Disember 2019, kedudukan kewangan TH kekal stabil dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset RM74.3 bilion dan jumlah liabiliti RM71.4 bilion.

Dengan pengurusan kos yang berhemat, TH telah berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion, iaitu peningkatan 19% atau RM0.3 bilion berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan lalu.

Peningkatan keuntungan selepas zakat ini dicapai setelah TH mengambil kira (i) RM86 juta bagi pembayaran zakat kepada majlis agama Islam negeri-negeri di Malaysia dan (ii) RM370 juta bagi mengurus dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada semua jemaah haji Malaysia serta mengekalkan kadar bayaran haji pada RM9,980 (berbanding kos sebenar RM22,900) bagi setiap jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama pada musim haji 1440 hijrah yang lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, agihan keuntungan yang diisytihar TH adalah lebihan keuntungan pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan dan bantuan kos haji, bayaran zakat dan kos pengurusan. Oleh yang demikian, pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan rukun islam ke-5 dan golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka. TH membayar zakat bagi pihak pendeposit dan oleh yang demikian pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterimanya.

Melangkah ke depan, TH akan terus berusaha untuk menambah manfaat ke atas simpanan pendeposit di TH setelah peralihan kepada kontrak simpanan Wakalah dengan memperkenalkan pelbagai tambah nilai yang lain, disamping terus memastikan prestasi pelaburan yang mampan.

Agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2019 dikira berdasarkan purata baki simpanan terendah bulanan pendeposit. Para pendeposit boleh menyemak pengkreditan agihan keuntungan bermula 16 Mac 2020 menerusi (i) kaunter- kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat, (ii) di ATM Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB, atau (iii) secara atas talian di laman sesawang www.thijari.com.my dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji


Post a Comment

1 Comments