MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Biodata Nabi Muhammad SAW

 


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam ruangan ini dikongsikan sedikit secara ringkas Biodata Nabi Muhammad SAW.

 

Nabi Muhammad SAW/ Rasulullah SAW

Nama: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.

Nama Gelaran Lain: Al-Amin, As-Saadiq, Rasul Allāh dan Abu al-Qasim

Tarikh Lahir: Subuh Isnin 12 Rabiulawal/20 April 571M (dikenali sebagai Tahun Gajah, sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang Kota Kaabah)

Tempat Lahir: Di rumah Abu Talib, Mekah Al-Mukarramah

Nama Bapa: Abdullah bin Abu Muttalib bin Hashim

Nama Ibu: Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf

Pengasuh Pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah)

Ibu Susu Pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).

Ibu Susu Kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-sa’diah (lebih dikenali Halimah As-sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

 

Usia 5 tahun

Peristiwa pembelahan dada Baginda yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan syaitan yang wujud di dalamnya.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim RA di dalam sahihnya dan ia telah diceritakan oleh Anas bin Malik RA, beliau berkata:

 

أَتَاهُ جِبْرِيلُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَلْعَبُ مَعَ الْغِلْمَانِ، فَأَخَذَهُ فَصَرَعَهُ، فَشَقَّ عَنْ قَلْبِهِ، فَاسْتَخْرَجَ الْقَلْبَ، فَاسْتَخْرَجَ مِنْهُ عَلَقَةً، فَقَالَ: هَذَا حَظُّ الشَّيْطَانِ مِنْكَ، ثُمَّ غَسَلَهُ فِي طَسْتٍ مِنْ ذَهَبٍ بِمَاءِ زَمْزَمَ، ثُمَّ لَأَمَهُ، ثُمَّ أَعَادَهُ فِي مَكَانِهِ، وَجَاءَ الْغِلْمَانُ يَسْعَوْنَ إِلَى أُمِّهِ - يَعْنِي ظِئْرَهُ - فَقَالُوا: إِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ قُتِلَ، فَاسْتَقْبَلُوهُ وَهُوَ مُنْتَقِعُ اللَّوْنِ "، قَالَ أَنَسٌ: «وَقَدْ كُنْتُ أَرَى أَثَرَ ذَلِكَ الْمِخْيَطِ فِي صَدْرِهِ

 

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah didatangi oleh malaikat Jibril AS ketika baginda SAW sedang bermain-main bersama budak-budak kecil yang lain. Maka, Jibril AS telah mengambil baginda SAW lalu merebahkan baginda SAW. Kemudian, Jibril As telah membelah dada baginda SAW dengan mengeluarkan segumpal darah daripada hati baginda SAW sambil berkata “Ini adalah bahagian syaitan yang terdapat di dalam dirimu”. Kemudian Jibril AS menyucikannya di dalam sebuah bekas yang diperbuat daripada emas dengan menggunakan air zamzam. Setelah itu, Jibril AS menjahitnya kembali dan mengembalikan baginda SAW di tempat permainannya tadi. Budak-budak kecil yang bermain bersama baginda SAW tadi pergi mengadu kepada ibunya dengan mengataka bahawa: “Muhammad telah dibunuh”. Orang ramai menyambut baginda SAW yang dalam keadaan pucat kerana baginda masih di dalam ketakutan. Anas berkata: “Aku telah melihat kesan jahitan tersebut di dada baginda SAW”. [Riwayat Muslim, (162)]

 

Usia 6 tahun

Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-abwa’(sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

 

Usia 8 tahun

Datuknya, Abdul Muttalib meninggal dunia. Baginda dipelihara oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

 

Usia 9 Tahun

Baginda mengambil upah untuk mengembala kambing bagi penduduk kota Mekah dengan mendapat upah yang sedikit.

 

Usia 12 tahun

Bersama saudaranya Abu Talib , bermusafir ke syam kali pertama atas urusan perniagaan di Kota Basrah Negeri Syam, seorang Pendita Nasrani bernama Bukharra telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang Nabi dikalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

 

Usia 14 / 15 tahun

Terlibat dalam peperangan Fijar. Baginda Nabi Muhammad telah menyertai peperangan itu dalam beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah dalam medan perang tersebut.

 

Usia 20 Tahun

Baginda telah menyaksikan perjanjian Al-Fudhul iaitu perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Kota Mekah.

 

Usia 25 Tahun

Musafir kali ke-2 ke kota syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid. Perjalanan Nabi ke Syam telah ditemani oleh seorang lelaki ( orang suruhan Khadijah ) yang dikenali sebagai Maisarah ( penunjuk jalan ). Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa bapa saudara Nabi pergi bertemu Amru bin Al-Asad ( bapa saudara Khadijah ) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.  Mas perkahwinan Nabi adalah sebanyak 500 dirham.

 

Usia 35 Tahun

Banjir besar melanda Kota Mekah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Kota Mekah. Rasullullah SAW diberi kemulian untuk meletakkan Hajarul Aswad ketempat asalnya dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung siapa yang akan meletakkan batu tersebut

 

Usia 40 Tahun

Menerima wahyu pertama di Gua Hira’ di puncak Jabal Nur ( Bukit Cahaya ) sebagai pelantikan Nabi dan Rasul akhir zaman.

 

Usia 53 Tahun

Berhijrah ke Madinah Munawwarah dengan ditemani oleh Abu Bakar As-Siddiq. Rombongan tiba pada tanggal 12 Rabiul Awwal 01 Hijrah/24 September 622 Masihi.

 

Usia 63 tahun

Kewafatan Rasullullah SAW di Madinah Munawwarah pada hari Isnin , 12 Rabiul Awwal 11 Hijrah/08 Jun 632 Masihi.

 

Isteri-isteri Rasullullah SAW

1.Khadijah binti Khuwailid

2.Saudah binti Zam’ah

3.Aisyah binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)

4.Hafsah binti Umar (anak Saidina Umar bin Al-Khattab)

5.Ummu Habibah binti Abu Sufyan

6.Hindun binti Umayyah (digelar Ummu Salamah)

7.Zainab binti Jahsy

8.Maimunah binti Harith

9.Safiyyah binti Huyai

10.Zainab binti Khuzaimah.

 

Anak-Anak Rasullullah SAW

1.Qassim

2.Abdullah

3.Ibrahim

4.Zainab

5.Ruqayyah

6.Ummu Kalthum

7.Fatimah Al-Zahra

 

Nabi Muhammad s.a.w juga mendapatkan julukan Abu al-Qasim yang bererti “bapak Qasim”, kerana Nabi Muhammad s.a.w pernah memiliki anak lelaki yang bernama Qasim iaitu anak baginda bersama Khadijah, tetapi ia meninggal dunia sebelum mencapai usia dewasa.

 

Anak Tiri Rasullullah SAW

Halah bin Hind bin Habbasy. Beliau adalah anak kepada Khadijah bersama Hind. Ketika berkahwin dengan Rasullullah SAW, Khadijah adalah seorang janda.

 

Saudara Sesusu Rasullullah SAW

Ibu susuan Rasullullah SAW

1.Thuwaibah al-Aslamiah

2.Halimatus Sa’diah

 

Saudara Susuan Rasullullah SAW

1.Hamzah

2.Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

3.Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Muthalib

4.Abdullah bin Harith bin Abdul Uzza

5.Syaima binti Harith bin Abdul Uzza

6.Aisyah binti Harith bin Abdul Uzza

 

Bapa dan Ibu Saudara Rasullullah SAW

1.Harith

2.Muqawwam

3.Zubair

4.Hamzah (Islam)

5.Al-Abbas (Islam)

6.Abu Talib

7.Abu Lahab (Abdul Uzza)

8.Abdul Ka’abah

9.Hijl

10.Dhirar

11.Umaimah

12.Al-Bidha ( Ummu Hakim )

13.Atiqah

14.Arwa

15.Barrah

16.Safiyyah

 

Kini Mekah & Madinah adalah Arab Saudi dan Syam adalah Syria.

 

Pesanan Terakhir Nabi Muhammad SAW (Isi Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW)

 

Ketika Muhammad mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Muhammad itu ialah:

 

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

 

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

 

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

 

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

 

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

 

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

 

 "Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

 

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

 

 

Sumber/Kridet: Wikipedia, Jundi75, muftiwp.gov.my,

 

Berkait: 28 Sunnah Rasulullah SAW Menyantuni Isteri

Berkait: Rahmat & Kasih Sayang Rasulullah SAW Kepada Umatnya 

Post a Comment

0 Comments