MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

MoF Permudah Permohonan BSH 2019



Keluhan orang ramai mengenai syarat rumit dalam mendapatkan Bantuan Sara Hidup (BSH) mendapat maklumbalas segera Kementerian Kewangan (MoF) yang bertindak memudahkan lagi proses pendaftaran BSH 2019.

Dalam reaksinya, MoF memaklumkan tiga langkah telah diambil bagi memastikan Program BSH 2019 berjalan dengan lancar.

Tiga langkah berkenaan ialah:

i. Borang permohonan BSH 2019 boleh diterima walaupun pemohon tidak mengemukakan salinan dokumen pengenalan diri yang lengkap semasa penghantaran. Borang berkenaan akan diproses berdasarkan maklumat yang dilaporkan dalam Borang BSH yang dikemukakan oleh pemohon sahaja.
 
ii. Pemohon juga mempunyai pilihan untuk membuat permohonan secara dalam talian di mana muat naik dokumen bukan lagi syarat wajib, dan

iii. Bagi pemohon BSH berumur 60 tahun dan ke atas (warga emas), pemohon tidak perlu mengemaskini maklumat melainkan jika terdapat perubahan maklumat memandangkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan menggunakan data BSH 2018 untuk diproses.

"Walau bagaimanapun, maklumat permohonan yang diterima daripada pemohon akan dipadankan dengan data agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menentukan kelayakan setiap permohonan.

"Pihak Kementerian Kewangan akan terus mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah pemohon, khususnya jika terdapat kesulitan dalam menyempurnakan permohonan untuk BSH 2019," jelasnya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan keluhan orang ramai khususnya warga emas yang mendakwa semakin susah untuk mendapatkan BSH.

Ini berikutan pelbagai syarat dikenakan untuk proses kemas kini atau memohon BSH, antaranya menyediakan sijil nikah atau sekurang-kurangnya surat beranak. 

Menurut MoF lagi, tempoh pendaftaran atau pengemaskinian BSH 2019 telah dibuka mulai 1 Februari hingga 15 Mac 2019. 

"Sehingga hari ini, lebih daripada 900,000 permohonan telah diterima merangkumi 200,000 permohonan baharu dan 700,000 permohonan kemas kini," jelasnya. 

Tambahnya, sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam ucapan Belanjawan 2019, BSH dijangka akan memanfaatkan lebih daripada empat juta isi rumah dan melibatkan peruntukan RM5 bilion. 

Sumber : UTUSAN ONLINE

Post a Comment

0 Comments