MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Penilaian Risiko Dalam Menentukan Keperluan PKPB

 



PENILAIAN RISIKO DALAM MENENTUKAN KEPERLUAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT 

 

Pelaksanaan PKPB bermula 9 November bertujuan untuk mengekang penularan COVID-19 dengan mengurangkan pergerakan masyarakat antara negeri dan daerah, serta membolehkan KKM mempertingkatkan aktiviti kesihatan awam seperti saringan secara bersasar dan lain-lain. 


Sebelum KKM mengesyorkan sesuatu kawasan dilaksanakan PKPB, penilaian risiko dilakukan dengan mengambil kira beberapa faktor, iaitu:


1. Kadar peningkatan kes 

Peningkatan ketara bilangan kes COVID-19, terutamanya jika berlaku dalam tempoh masa yang singkat;


2. Taburan kes positif

Taburan kes dalam mukim dan daerah yang terlibat dan sama ada terdapat tumpuan di kawasan-kawasan tertentu seperti penjara atau pusat tahanan sementara;


3. Kepadatan penduduk 

Kepadatan penduduk setempat yang tinggi dengan bilangan kawasan perumahan, pangsapuri atau rumah setinggan yang tinggi;


4. Kewujudan tempat tumpuan awam 

Kewujudan tempat-tempat seperti pasar borong, kilang, pejabat kerajaan, kompleks perniagaan dan sebagainya; dan


5. Keadaan sosiodemografi penduduk 

Keadaan sosiodemografi penduduk setempat, sama ada terdapat penempatan warganegara asing dan juga pergerakan penduduk keluar masuk yang banyak.


Sebagai contoh, pada mulanya PKPB tidak dilaksanakan di negeri Kelantan pada 9 November 2020. Namun, dengan mengambil kira faktor-faktor yang telah diteliti dalam penilaian risiko KKM, kini terdapat keperluan untuk PKPB dilaksanakan di negeri tersebut. Pada 3 November 2020, negeri Kelantan hanya mencatatkan sebanyak lapan (8) kes COVID-19 yang melibatkan hanya tiga (3) daerah sahaja. Walau bagaimanapun, pada 19 November 2020, bilangan kes aktif COVID-19 di Kelantan telah meningkat kepada 73 kes dan telah menular ke lapan (8) daripada sepuluh (10) daerah. Selain daripada itu, terdapat tujuh (7) kluster yang aktif, iaitu Kluster Ikhtisas, Cergas, Kube, Kaya, Mengketil, Simera dan Jalan Meru yang masih dipantau di negeri Kelantan. 


Kluster Mengketil terutamanya mencatatkan pertambahan kes yang mendadak dengan peningkatan 41 kes dalam masa lima (5) hari. Kes-kes dalam kluster ini mula dikesan di daerah Machang tetapi kini telah menular ke daerah Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai. Kluster ini bahkan telah menular ke daerah Besut di negeri Terengganu. Kluster ini menunjukkan kebolehjangkitan yang tinggi dan terdapat risiko penularan yang tidak terkawal sekiranya PKPB tidak dilaksanakan.


Penilaian risiko juga telah dijalankan di negeri-negeri lain untuk menentukan sama ada PKPB boleh ditamatkan atau perlu diteruskan. Walaupun PKBB telah ditamatkan di beberapa negeri, terdapat keperluan pelanjutan tempoh PKPB di sesetengah daerah kerana penilaian risiko menunjukkan risiko jangkitan yang masih tinggi di daerah tersebut. Oleh itu, masyarakat perlu sentiasa patuh kepada SOP yang telah ditetapkan oleh KKM dan MKN walaupun telah kembali kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

DG Hisham


Sumber: Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Post a Comment

0 Comments