MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Kepentingan Pokok Bakau


 


Pokok Bakau merujuk kepada tumbuhan yang hidup di kawasan berpaya di muara sungai, antara pertembungan air tawar dan air laut. Pokok bakau terdiri daripada pelbagai spesies antaranya termasuk spesies Avicennia, Rhizophora , Sonneratia, Bruguiera.

 

Paya bakau merupakan hutan semulajadi di kawasan pasang surut air sungai dan laut. Mempunyai tanah berlumpur serta bersifat malar hijau sepanjang tahun, paya bakau merupakan antara ekosistem yang penting bagi kawasan pinggir sungai dan pantai. Paya bakau juga mengekalkan landskap hutan disamping fungsi dan kepentingannya.

 

Berikut dikongsikan kepentingan pokok bakau kepada manusia dan hidupan flora dan fauna.

 

Habitat Dan Ekologi Hidupan Marin Serta Haiwan

Sebagai habitat dan ekologi hidupan marin dan haiwan lain, sesuai dengan pokok bakau yang tumbuh secara padat dan malar hijau. Tumbuh di tanah lumpur dan akar berselirat serta timbul memberikan habitat kepada ikan, siput, ketam nipah, udang, kerang, lokan. Haiwan seperti monyet dan burung menjadikan pokok bakau sebagai habitatnya.

 

Mencegah Hakisan Tanah

Pokok bakau tumbuh di tebing-tebing sungai sebagai benteng daripada tanah dihakis oleh air sungai mahupun air laut. Pokoknya kuat mencengkam tanah dan tumbuh secara rapat-rapat membentuk satu pertahanan yang kuat mencegah tanah/banteng dari terhakis.

 

Penampan Angin Kencang dan Tsunami

Sifat semula jadi pokok bakau yang tumbuh merimbun dan secara rapat berfungsi sebagai penampan angin kencang menyebabkan kelajuan tiupan angin dapat dikurangkan. Tsunami menghasilkan tekanan air dan gelombang air laut dengan adanya pokok bakau yang tumbuh di pesisiran pantai dan sungai boleh mengurangkan tekanan tersebut.

 

Mengurangkan Pencemaran Udara

Sifat daun pokok bakau yang menyerap dan memerangkap habuk di udara dapat mengurangkan pencemaran udara. Lazimnya di tapak pembinaan habuk tanah berterbangan di udara menyebabkan udara yang dihirup tidak selamat kepada manusia, tetapi dengan adanya pokok bakau habuk tanah tersebut diserap dan dijatuhkan ketanah semula dan seterusnya ke sungai berhampiran  ketika hujan turun.


Membekalkan Oksigen dan Menyerap Karbon Dioksida

Proses fotosintesis menggunakan gas karbon dioksida yang berlaku oleh pokok bakau melalui daun malar hijau yang merimbun melepaskan gas oksigen sebagai bahan buangan. Jika kekurangan hutan/ pokok bakau menyebabkan gas karbon dioksida akan menjadi berlebihan dalam udara kesannya peningkatan suhu udara berlaku dan menjejaskan kehidupan manusia dan hidupan lain.

 

Ekonomi Pelancongan (Eko Pelancongan)

Pokok bakau menyumbang kepada eko pelancongan daun yang menghijau dan tumbuh ditebing sungai serta laut mengindahkan pemandangan mata memandang. Habitat kepada haiwan tertentu seperti monyet, burung, serangga penambah penarik kepada mereka yang cintakan alam semulajadi dan haiwan. Wetlands Belukar Durian, Tanjung Sedili di Kota Tinggi, Johor, Taman Negara Johor Pulau Kukup dan Tanjung Piai, Taman Paya Bakau, Seri Manjung, Perak, Hutan Bakau Tasik Sulaman, Sabah antara hutan paya bakau yang dijadikan eko pelancongan, menyasarkan pelancong dalam dan luar negara.

 

Kegunaan Domestik dan Perindustrian

Kayu bakau pelbagai kegunaan domestik dan perindustrian. Lazimnya digunakan sebagai bahan binaan, kayu api dan dijadikan kayu arang dan perabot. Sifat kayu bakau yang tahan seranggan serangga dan kulat menjadi faktor dijadikan bahan binaan seperti cerucuk iaitu tiang rumah atau bangunan.

 

Kini bakau di komersial untuk dijadikan kayu arang, bahan binaan dan kayu api bagi kegunaan harian hinggakan mendapat permintaan dalam dan luar negara sekaligus antara bahan yang dijadikan export oleh syarikat-syarikat/ perusahaan-perusahaan tertentu.

 

Bahan bakar bagi kegunaan Keretapi

Sabah adalah negeri yang masih menggunakan bahan bakar untuk mengerakkan keretapi pelancongan sesuai dengan landskap dan keperluan mengekalkan konsep pelancongan yang unik dan mendapat permintaan yang tinggi dari luar negara seperti pelancong dari United Kingdom, Amerika Syarikat, China, Korea dan Asia.

 

Daripada coretan diatas dapat disimpulkan kepentingan pokok bakau kepada manusia, flora dan fauna sangat penting dalam kehidupan harian tanpa kita sedari. Pembangunan dan kemajuan yang diusahakan biarlah selari dengan alam semulajadi. Kerana setiap anugerah Allah mempunyai fungsi yang tersendiri dalam mengekalkan ekosistem dan hidupan marin termasuk manusia.

 

Sumber: Buku Akademik & Penulis Sendiri

 

Post a Comment

0 Comments