MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Kubur Jenazah Berbau Wangi


SUBHANALLAH. Baru-baru ini sebuah tanah perkuburan di Kampung Batu Badak Jalan Muar, Segamat terpaksa dialihkan bagi membolehkan pembinaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak.

Salah sebuah kubur yang terpaksa dipindahkan dihuni seorang wanita yang banyak berjasa semasa hidupnya termasuklah memberi pendidikan agama secara percuma kepada kanak-kanak di kampung.

Walaupun telah dikebumikan lebih lapan tahun yang lalu, ternyata jenazah makcik ini masih berada dalam keadaan baik.

Kuku pada jari jenazah dan rambutnya juga dikatakan terus tumbuh panjang seperti orang hidup. Rambut dan kukunya juga tumbuh panjang.

Kain kafan yang digunakan untuk membalut jenazah juga berada dalam keadaan baik dan cuma kelihatan sedikit kekuningan.

Bertambah misteri, kawasan kubur juga dipenuhi dengan bau daun pandan walaupun tumbuh-tumbuhan itu tidak ditanam atau kelihatan di kawasan berhampiran.

Selain jenazah makcik itu, dua jenazah lagi juga ditemui dalam keadaan yang sama.

Seorang pegawai dari Jabatan Agama Islam Johor memberitahu kebanyakan jenazah akan reput dalam tempoh dua hingga empat tahun dan keadaan jenazah yang tidak reput selepas lapan tahun adalah jarang ditemui.

SEMENTARA itu, Abdullah Abdul Karim, 74, yang juga menantu kepada arwah Maheran Jaaffar, 74, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 2006 berkata, ketika proses menggali dan mengeluarkan mayat arwah ibu mentua dijalankan semalam, secara tiba-tiba seluruh kawasan tanah perkuburan ini berbau harum.

Saya sendiri lihat kain kapan ibu mentua masih dalam keadaan sempurna dan tidak reput. Ia hanya dikotori tanah saja, katanya pada Harian Metro.

Ketika dikeluarkan dari liang lahad , mayat arwah Maheran masih dalam keadaan sempurna. Mayatnya antara 16 mayat yang dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan yang masih dalam keadaan sempurna.

Keseluruhannya, 350 kubur terbabit dalam pemindahan berkenaan dan mayat akan disemadikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alai yang terletak tidak jauh dari lokasi berkenaan.

Menceritakan amalan arwah Maheran sepanjang hayatnya, Abdullah berkata, ibu mentuanya sentiasa mengamalkan bacaan zikir selepas bangun daripada tidur.

Dia tidak pernah mengambil sarapan sebelum berzikir. Arwah juga sangat patuh kepada suami selain tidak pernah putus ke masjid. Sepanjang hayatnya, arwah ibu mentua tidak pernah meninggalkan suruhan agama malah turut mengajar mengaji kepada anak jiran, katanya ketika ditemui.

Selain itu, menurut Abdullah, arwah ibu mentuanya juga seorang yang pemurah dan sering bersedekah. Arwah seorang yang agak pendiam namun tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu serta isteri.

Saya bekerja sebagai penjaga kubur di tanah perkuburan ini sejak 20 tahun lalu. Pengalaman melihat keadaan jenazah arwah ibu mentua yang masih sempurna menunjukkan kebesaran Allah SWT dan Dia memang tidak pernah memungkiri janji-Nya, katanya.

Menurut Abdullah, dia bersyukur dengan apa yang ditunjukkan oleh Allah SWT kerana ia boleh dijadikan tauladan kepada dirinya serta masyarakat.

Syukur segala proses menggali serta mengebumikan semula mayat arwah ibu mentua berjalan lancar, katanya.

Abdullah berkata, selain kubur ibu mentuanya, beberapa kubur saudaranya turut dipindahkan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.

Sebenarnya, misteri alam kubur dan nasib mayat sudah dinyatakan Nabi Muhammad SAW bersabda: “Alam kubur hanyalah satu daripada kebun-kebun syurga atau satu daripada jurang-jurang neraka.” (Riwayat Bukhari).

Menerusi hadis itu, jelaslah nasib seseorang selepas mati adalah manifestasi segala perbuatannya ketika hidup.

Manusia yang banyak berbuat dosa akan disajikan seksaan kubur sehingga keadaannya di barzakh bagai berada di `jurang neraka’ manakala manusia Mukmin akan aman bak ‘di kebun syurga’.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Kubur adalah tempat alam akhirat yang pertama sekali. Barang siapa yang selamat, maka alam selanjutnya lebih mudah dan barang siapa yang tidak selamat, maka alam berikutnya lebih pedih.” Perjalanan manusia dari alam dunia ke alam kubur dimulai dugaan sakaratulmaut iaitu perpisahan roh dari jasad yang diibaratkan ‘lebih sakit daripada seribu tusukan pedang’.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Alangkah dahsyatnya jika kamu melihat di waktu orang-orang zalim berada dalam tekanan sakaratulmaut, sedang para malaikat memukul dengan tangannya,” (An-An’am: ayat 93).

Selepas dikebumikan, jenazah didatangi dua malaikat bertanyakan soalan mengenai iman dan amal manusia ketika hidup.

Manusia bertakwa dapat menjawab soalan dengan tepat sehingga diberi nikmat kubur dan ditunjukkan tempatnya di syurga. Bagi manusia berdosa, mereka gagal menjawab soalan sehingga diseksa berulang kali sehingga akhirat.

Terdapat banyak jenis seksaan kubur mengikut tahap kemaksiatan manusia. Antara seksaan dijelaskan Rasulullah SAW ialah disempitkan ruang kubur sehingga tulang rusuknya patah, jasad dipalu dengan tukul besi serta dipatuk dan dilahap 99 ular berkepala tujuh atau sembilan.

Seksaan kubur sememangnya amat pedih dan menyakitkan serta tidak mampu ditanggung manusia.

Banyak penyebab seksaan kubur dan selain dosa besar, punca lain ialah dosa yang sering dianggap remeh oleh manusia seperti tidak bersuci selepas kencing, mengadu domba, mengumpat dan tidak menolong manusia dizalimi yang meminta pertolongannya.

Ketika melalui dua kubur, Rasulullah SAW bersabda: “Kedua-dua mayat ini sedang diseksa. Kedua-duanya tidak diseksa kerana dosa besar. Salah satunya diseksa kerana tidak beristinjak selepas kencing dan yang lain diseksa kerana selalu mengadu domba.” (riwayat Bukhari).

Bagaimanapun, terdapat amalan yang dapat menjauhi seksa kubur, antaranya membaca surah Yasin dan al-Mulk setiap malam, syahid, berperang di jalan Allah, mati kerana sakit dalam perut, mati pada hari atau malam Jumaat dan memperbaharui taubat setiap malam.

Selain itu, ada juga amalan yang terus menyalurkan pahala kepada seseorang yang sudah meninggal dunia iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat yang diajarkannya dan doa anak soleh selama amalan itu terus dilakukan dan dimanfaatkan orang hidup.

Bagi manusia beriman dan soleh pula, mereka memperoleh nikmat barzakh seperti sabda Rasulullah SAW:

“Di dalam kuburnya, seorang Mukmin itu berada di satu taman hijau. Ruangan kuburnya akan menyambut dengan tujuh puluh lengan. Di sana dia juga akan diterangi cahaya seperti rambulan pada malam purnama.”

Sumber: Jentikhati



Post a Comment

0 Comments