MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Perkhidmatan Kewangan yang Penting Masih Tersedia untuk Isi Rumah dan Perniagaan




Susulan daripada langkah-langkah yang diumumkan oleh Kerajaan untuk mengehadkan pergerakan di seluruh negara mulai 18 Mac hingga 31 Mac bagi membendung secara lebih berkesan penularan wabak novel coronavirus (COVID-19), Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan bahawa orang ramai boleh terus mendapatkan akses kepada perkhidmatan kewangan yang penting di seluruh negara. 

Sehubungan dengan itu, semua institusi perbankan, institusi kewangan pembangunan, syarikat insurans dan pengendali takaful akan memastikan operasi yang berikut berjalan seperti biasa:
  1. Akses yang lancar dan tanpa gangguan kepada terminal layan diri (contohnya, ATM, mesin deposit wang tunai) di semua cawangan  dan lokasi yang boleh diakses di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Kerajaan (Government’s Movement Control Order);
  2. Perbankan elektronik, perbankan mudah alih, perkhidmatan pengurup dan pengiriman wang, perkhidmatan kad pembayaran dan apa-apa perkhidmatan dalam talian lain;
  3. Pemprosesan dan kelulusan pinjaman baharu atau permohonan pembiayaan; dan
  4. Pemprosesan dan pengendalian tuntutan insurans/ takaful, pengeluaran surat jaminan dan pembaharuan polisi insurans/ sijil takaful tahunan.
Cawangan-cawangan penyedia perkhidmatan kewangan ini akan terus dibuka semasa tempoh sekatan ini bagi menyediakan perkhidmatan penting kepada orang ramai. Orang ramai dinasihati supaya merujuk laman sesawang atau menelefon talian khidmat pengguna syarikat penyedia perkhidmatan mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang disediakan di premis mereka dalam tempoh tersebut. Kami berharap orang ramai akan terus bertenang dan bersabar apabila penyedia perkhidmatan kewangan membuat kawalan ke atas orang ramai dan menjalankan langkah-langkah pengurusan masing-masing bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan dan kakitangan mereka diutamakan dan dipelihara sepanjang tempoh ini.

Selain itu, perkhidmatan pengurup wang bukan bank dan pengiriman wang akan dibuka sekurang-kurangnya tiga hari seminggu bagi memastikan perkhidmatan penukaran dan pengiriman wang tersedia sepanjang tempoh ini. Untuk keterangan lanjut, orang ramai dikehendaki merujuk aplikasi MSB Advisor dan laman sesawang pengendali yang tertentu.

Semua penyedia e-pembayaran telah dinasihati supaya memastikan tidak berlaku sebarang gangguan terhadap seluruh kemudahan pembayaran dan pindahan wang yang dilakukan melalui e-dompet dan e-akaun pelanggan mereka.

Pasaran kewangan Malaysia akan terus boleh diakses dan beroperasi pada waktu urusan biasa sepanjang tempoh ini.Bagi tujuan ini, BNM akan terus menyediakan mudah tunai yang mencukupi dalam pertukaran asing, bon dan pasaran mata wang bagi memastikan pengantara kewangan tidak terjejas. 

Orang ramai sangat digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan elektronik dan perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan penjarakkan sosial (social distancing) bagi memastikan wabak COVID-19 dibendung dengan berkesan. Isi rumah dan perniagaan yang mengalami masalah kewangan akibat wabak COVID-19 dinasihati menghubungi penyedia perkhidmatan kewangan mereka lebih awal untuk berbincang tentang langkah-langkah pembayaran balik alternatif.

Orang ramai juga dinasihati supaya terus berjaga-jaga terhadap penipuan yang berkaitan dengan COVID-19 menerusi pelbagai saluran seperti media sosial, e-mel atau panggilan telefon. Penipuan ini dibuat kerana ingin mengambil kesempatan ketika orang ramai berada dalam keadaan kecemasan.

Bagi sebarang pertanyaan dan bantuan, orang ramai boleh terus menghubungi pusat khidmat pelanggan penyedia perkhidmatan kewangan.


Pusat hubungan persatuan penyedia perkhidmatan kewangan bagi industri kewangan disenaraikan di bawah ini:
  1. Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) - 03 2078 8041 atau ABM Connect di 1-300-88-9980 atau https://www.abm.org.my/eabmconnect
  2. Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) - 03 2026 8002/8003 atau staff@aibim.com
  3. Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia(ADFIM) - 03 2694 9871 atau adfim@adfim.com.my
  4. Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) - 03 2691 6168/6628 atau liaminfo@liam.org.my
  5. Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) - 03 2274 7399 atau pic@piam.org.my
  6. Persatuan Takaful Malaysian (MTA) - 03 2031 8160 atau mtasecretariat@malaysiantakaful.com.my
  7. Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) - 03 7722 5808 atau office@mamsb.org.my
Perkhidmatan BNMLINK untuk para pengunjung ditutup kepada orang ramai dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020. Walau bagaimanapun, orang ramai boleh menghubungi BNM melalui saluran-saluran yang berikut atau merujuk laman sesawang Bank di www.bnm.gov.myuntuk maklumat lanjut:
  1. eLINK (https://telelink.bnm.gov.my/); atau
  2. BNMTELELINK (Tel: 1-300-88-5465)dari Isnin hingga Jumaat (9.00 pagi - 5.00 petang)
Bank Negara Malaysia
18 Mar 2020

Sumber :BNM 



Post a Comment

0 Comments