MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Hukum Menggunakan Ubat Kitaran Haid Bagi Kekalkan Solekan Penggantin


SOALAN :
Assalammualaikum, saya akan mengadakan majlis perkahwinan pada tarikh yang telah ditetapkan. Namun,  saya khuatiri tidak dapat melaksanakan solat kerana memenuhi tuntutan aturan majlis  sanding disamping menyukarkan untuk menanggal solekan (make-up) yang telah dibayar. Tambahan pula, waktu solat zohor dipertengahan antara  majlis  persandingan. Oleh itu, saya bercadang memakan pil  tahan haid (melewatkan  kedatangan haid)  agar haid dapat keluar pada waktu majlis perkahwinan. Persoalannya apakah hukum makan pil haid atas alasan tersebut?
JAWAPAN :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Kami mulakan dengan menyatakan bahawa  antara hak Allah dan hak makhluk, maka hak Allah wajib diutamakan. Sabda Rasullullah ﷺ:
إنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، ولِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، ولِأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا
Maksudnya : “Sesungguhnya untuk Tuhan kamu terdapatnya hak, dan untuk diri  kamu terdapatnya hak, dan untuk keluarga kamu terdapatnya hak
      [Riwayat al-Bukhari  (6139 )]
Solat merupakan hak Allah yang wajib ditunaikan pada waktunya tanpa mengambilkira apa jua keadaan kecuali dalam keadaan haid. Manakala, majlis persandingan adalah berkaitan hak individu serta urusan yang boleh diatur oleh  diri sendiri dan keluarga.
Seterusnya, meneliti situasi penyoal, niat utama memakan ubat mengatur kitaran haid adalah untuk mengelakkan diri  daripada mengerjakan solat kerana boleh menyebabkan terjejas solekan  (make-up) serta urusan waktu persandingan. Persoalannya, adakah niat  penggunaan  ubat kitaran  haid untuk meninggalkan solat berdasarkan alasan terjejas solekan  pengantin  termasuk alasan yang diterima syarak? Oleh itu, kami akan rungkaikan isu niat memakan pil haid  tersebut serta isu  alasan (hilah)  yang di gunapakai bagi mencapai tujuannya.
Niat
Niat menurut  Ibn Abidin ialah tujuan melakukan ketaatan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan perbuatan”. [Lihat: Rad al-Mukhtar, 105/1]. Niat seseorang penting bagi menilai setiap perbuatannya serta menentukan tujuan amalan. Daripada Umar bin al-Khattab RA, aku mendengar Nabi SAW bersabda: 
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat, Setiap orang akan dibalas berdasarkan niatnya. 
[Riwayat Muslim (1907) Riwayat al-Bukhari (1)].
Pengajaran daripada hadis tersebut ialah niat yang baik serta  ikhlas semata-mata kerana Allah SWT akan mendapatkan pahala ke atas apa yang diniatkan [ Lihat : al-Wafi fi Syarh  al-Arba’in al-Nawawi yyah (14)].  Niat dapat membezakan antara amalan ibadah dan adat  selain menentukan sesuatu amalan itu diterima atau ditolak oleh Allah SWT.  Perbuatan yang diniatkan   hanya untuk  tujuan duniawi  mahupun menunjuk-nunjuk tidak mendatang sebarang faedah.
 Begitu juga  kaedah tersebut:
الأَمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا
Maksudnya“Setiap perkara itu berdasarkan (dinilai) tujuan-tujuannya”.
Berbalik kepada isu niat penggunaan ubat kitaran haid adalah  ingin mengelak diri daripada tanggungjawab menunaikan solat. Bahkan, niat meninggalkan solat lebih kepada alasan  adat yang berpaksikan tuntutan keduniaan  dan jauh   terpesong daripada nilai ibadat.
Helah (alasan)
Antara makna helah الْحِيلَةُ ialah kemahiran menguruskan sesuatu perkara, seperti menukarkan sesuatu perkara kepada perkara yang lain sehinggalah mencapai matlamat dan tujuannya [Lihat:al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-kuwaitiyyah 2/101), Lihat: al-Hiyal; 109]. Menurut  Kamus Dewan Edisi Keempat, helah ialah akal, muslihat, tipu daya dan juga alasan yang dibuat-buat. Para fuqaha’ membahagikan helah ini kepada dua bahagian iaitu helah yang dibenarkan dan helah yang diharamkan.
Helah yang dibenarkan, penggunaannya dengan tujuan yang baik serta mempertahankan kebenaran. Penggunaan helah mestilah tidak bertentangan dengan syarak dan tidak bercanggah dengan maqasid syariah. Penggunaan helah yang bertepatan dengan syarak diterima oleh jumhur pada fuqaha’ [Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 18/330]
Helah yang diharamkan adalah penggunaannya untuk mencapai tujuan yang bertentangan dengan syarak dan memasukkan perkara yang syubhah. Ini seperti membatal dan menukarkan hukum syarak dengan meninggalkan yang wajib serta menghalalkan perkara yang haram serta bercanggah dengan maqasid syariah  [(Lihat: al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 18/330), [Lihat: Muwafaqaat  3/578)].   Sebagai contoh seseorang mencari alasan untuk menghindarkan diri daripada melaksanakan kewajipan solat, puasa, zakat atau mencari sebab untuk sesuatu yang diharamkan ke atas dirinya seperti   meminum arak  apabila waktu masuk solat sehingga waktu habis    [Lihat : Muwaafaqaat  (3/106-107)].
Berbalik kepada isu memakan pil haid dengan alasan  solekan tebal  pengantin  menyebabkan sukar menanggalkannya sehingga merasakan sulit untuk mengambil wuduk bagi melaksanakan ibadah solat termasuk bahagian helah (alasan) yang diharamkan. Hal ini kerana mencari alasan-alasan untuk menghindarkan diri daripada melaksanakan kewajipan solat.  Tambahan pula,  realiti solekan pengantin dilihat berlebihan-lebihan (tabarrruj)   untuk tampil cantik  bagi tatapan umum sepanjang majlis persandingan turut bertentangan dengan syarak. Perkara yang perlu diberi perhatian juga bagi pengantin wanita hendaklah dia mengelakkan diri daripada bertabarruj. Imam al-Syaukani menyatakan bahawa al-tabarruj  ialah menampakkan dan mempamerkan (perhiasan dan kecantikkannya) bagi mata-mata (melihat dan menikmatinya). (Lihat Fath al-Qadir, 4/61) .Firman Allah SWT :
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”
Surah al-Ahzab  (33)
Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam kitabnya bahawa larangan untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki seperti yang dilakukan oleh kaum perempuan pada zaman jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/6).
Walaubagaimanapun, Islam tidak menafikan fitrah seseorang yang ingin tampil cantik, lebih-lebih lagi pada majis persandingan. Namun solekan pengantin hanya  pada kadar sederhana yang dibenarkan syarak.
Sehubungan itu, penggunaan ubat kitaran haid sama ada berbentuk pil, suntikan (injection) atau alat yang dimasukkan dalam rahim bagi tujuan menyegerakan atau melambatkan haid mestilah penggunaannya selari dengan tujuan syariah.
Penutup
Tuntasnya, berdasarkan hujah yang dikemukakan,  penggunaan ubat  kitaran  haid dengan niat meninggalkan  solat  fardhu  atas alasan mengekalkan solekan  (make-up) semasa hari persandingan  adalah ditegah. Hal ini kerana niat serta  alasan  tersebut  tidak boleh diterima syarak  selain menafikan hak Allah yang telah  mewajibkan solat keatas hamba-hambaNya. Pernikahan termasuk dalam perkara tuntutan Islam, maka  majlis   yang bakal diadakan sepatutnya selari dengan tuntutan syariah agar  mendapat keberkatan  dalam majlis tersebut.  Oleh itu, kami menasihatkan agar  mengutamakan tuntutan agama berbanding tuntutan keduniaan. Namun, sekiranya terdapat alternatif lain seperti bakal pengantin perempuan  memilih tarikh persandingan  pada hari kebiasaan kedatangan haid berlaku. Maka,  hal tersebut  perlu mencapai kata sepakat pasangan pengantin  lelaki kerana setelah akad nikah, suami mempunyai hak keatas isterinya. Adapun, hal tersebut  tidak bermakna membenarkan pengantin perempuan menggayakan  solekan tebal (tabbarruj) di majlis persandingan untuk tatapan ajnabi. Hal ini kerana solekan yang  berlebihan (tabbarruj ) bagi seorang isteri hanya untuk tatapan suaminya sahaja. 
Akhir kalam, marilah kita berdoa agar Allah SWT memberi kefahaman agama yang baik serta  mendapat taufik  dan hidayah untuk mengamalkan syariatNya.

Sumber :  www.muftiwp.gov.my

Post a Comment

0 Comments