MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Toyota Akan Panggil Semula 3.4 Juta Kereta Kerana Masalah Beg Udara





Toyota akan memanggil semula 3.4 juta kenderaan di seluruh dunia kerana masalah elektronik yang boleh menyebabkan beg udara tidak berfungsi ketika kemalangan.

Panggilan semula itu, yang merangkumi 2.9 juta kenderaan AS, meliputi kenderaan model 2011-2019 Corolla, 2011-2013 Matrix, 2012-2018 Avalon dan 2013-2018 Avalon Hybrid dan dikaitkan dengan laporan satu kemalangan maut.

Kenderaan berkenaan dibimbangi mempunyai unit kawalan elektronik yang tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi terhadap hingar elektrik yang boleh berlaku dalam kemalangan, yang seterusnya boleh menyebabkan beg udara tidak berfungsi. Ia juga boleh menjejaskan fungsi tali pinggang keledar.

Pada bulan April, Pentadbir Keselamatan Lalu Lintas AS (NHTSA) memperluaskan penyelidikan ke atas 12.3 juta beg udara yang berpotensi mempunyai masalah meliputi sejumlah pembuat kereta, termasuk Toyota.

NHTSA berkata pada April ia telah mengenal pasti dua kejadian kemalangan, termasuk satu kemalangan maut yang melibatkan produk Toyota di mana disyaki beg udara tidak berfungsi. Kedua-dua kemalangan itu melibatkan kereta Corolla model baru.

NHTSA berkata beg udara yang disiasat dipasang di lebih daripada 12 juta kenderaan dari 2010 hingga 2019 yang dijual oleh Toyota, Fiat Chrysler, Honda, Hyundai, Kia dan Mitsubishi.
Beg udara berkenaan dilengkapi unit kawalan beg udara yang pada mulanya dihasilkan oleh TRW Automotive Holdings Corp, yang kini dimiliki oleh ZF Friedrichshafen.

Keseluruhannya, NHTSA berkata sebanyak lapan kematian dikaitkan dengan masalah itu.
Hyundai, Kia dan Fiat Chrysler sebelum ini memanggil semula lebih daripada 2.5 juta kenderaan dengan unit kawalan airbag TRW yang mungkin tidak berfungsi dalam kemalangan.

Ketika memanggil semula hampir 2 juta kenderaan susulan masalah beg udara pada 2016, Fiat Chrysler berkata ia mempunyai laporan mengenai tiga kematian dan lima kecederaan yang mungkin berkaitan dengan masalah itu.

Hyundai dan Kia akhirnya memanggil semula lebih daripada 1 juta kenderaan atas kebimbangan sama pada 2018.

Hyundai dan Kia pada 2018 mengatakan mereka mempunyai laporan mengenai empat kematian dan enam kecederaan di Amerika Utara yang berkaitan dengan isu itu.

Toyota enggan menyatakan berapa banyak kematian atau kecederaan yang dikaitkan dengan masalah itu. Toyota akan memaklumkan pemilik kenderaan berhubung panggilan semula itu pada pertengahan Mac.

- Reuters

Post a Comment

0 Comments