MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Parti Konservatif Memenangi "Pilihan Raya Brexit"



Parti Konservatif telah memenangi pilihan raya awal United Kingdom yang turut digelar sebagai "pilihan raya Brexit" selepas memperoleh lebih 326 kerusi di Dewan Rakyat, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik keputusan yang diisytihar di 626 daripada 650 kawasan.

Menurut keputusan itu, Parti Konservatif pimpinan Boris Johnson kini mempunyai majoriti legislatif di parlimen.

Parti itu telah memenangi 348 kerusi Dewan Rakyat yang melepasi jumlah 326 bagi majoriti mudah.

Johnson mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi dalam ucapan kemenangan beliau selepas mengekalkan kerusinya bagi kawasan Uxbridge dan Ruislip Selatan.

"Kerajaan Konservatif telah diberikan mandat baharu yang kukuh untuk merealisasikan Brexit – dan bukan sekadar merealisasikan Brexit malah menyatukan negara ini serta membawanya ke hadapan," katanya.

Sebaliknya, Parti Buruh diramal berdepan keputusan terburuk dalam tempoh beberapa dekad. Setakat ini parti itu memenangi 201 kerusi, yang menyaksikan ia kehilangan berpuluh-puluh kerusi yang dipegangnya sejak 2017.

Dalam ucapan kemenangan selepas mengekalkan kerusinya di kawasan Islington Utara, Jeremy Corbyn berkata beliau akan terus memimpin parti itu semasa “proses muhasabah diri,” sekali gus membayangkan pengundurannya.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa saya tidak akan menerajui parti ini dalam kempen pilihan raya akan datang,” katanya.

 “Saya akan berbincang dengan parti kita untuk memastikan ada proses muhasabah diri berkaitan keputusan ini dan mengenai dasar-dasar yang akan dibawa oleh parti pada masa akan datang.”

Parti Kebangsaan Scotland (SNP) telah memperoleh 46 kerusi, yang boleh dianggap satu kejayaan selain menghapuskan kenangan buruk keputusan pilihan raya kilat 2017.

Parti itu mempunyai agenda untuk mengadakan referendum bebas kedua pada 2020 jika Scotland diheret keluar dari Kesatuan Eropah tanpa kerelaannya.

Majoriti pengundi di Scotland memilih untuk kekal dalam EU dalam referendum 2016.

Pemimpin parti itu Nicola Sturgeon keputusan itu memberikan mereka mandat yang lebih kuat untuk mengadakan refedendum bebas kedua.

Pemimpin Parti Demokrat Liberal Jo Swinson pula menjadi satu-satunya pemimpin parti yang kehilangan kerusi parlimen. Beliau kalah tipis kepada calon SNP di kawasan Dunbartonshire Timur.

Swinson berkata perebutan bagi kerusi itu sebagai pemimpin sebuah parti adalah sesuatu yang amat mencabar lebih-lebih lagi kerana beliau telah menjadi anggota parlimen bagi Dunbartonshire Timur selama 12 tahun setengah.

Parti itu gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan selepas berjanji bahawa ia akan membatalkan Brexit jika berkuasa kerana hanya memenangi 9 kerusi.

Parti Brexit pimpinan Nigel Farage gagal memenangi sebarang kerusi setakat ini kerana ia tidak bertanding di kebanyakan kawasan yang ditandingi Parti Konservatif.

22 kerusi telah dimenangi calon bebas


Sumber : Bernama & Picture theeconomist

Post a Comment

0 Comments