MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Anugerah Nasyid 19 (AN19)


Buta ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan dan Ezra Kong dendangan Caliph Buskers diumumkan sebagai Juara Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Nasyid 19 (AN19) yang berlangsung di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini, malam tadi. (30 November 2019).

Gelaran naib juara menjadi milik lagu Doa ciptaan Izo yang dipersembahkan oleh XPDC, manakala kumpulan Rabbani bersama lagu Ittihad dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.

Trofi Lirik Terbaik menjadi milik Eenaz Mokhtar yang menghasilkan seni kata untuk lagu ciptaan Keroz Nazri, Gugur Di Setiamu, manakala penyanyinya, kumpulan Far East, diumumkan pemenang Vokal Terbaik.
Anugerah Persembahan Terbaik diberikan kepada bekas anggota kumpulan The Fabulous Cats, Adeep Nahar, yang mempertaruhkan lagu Izinkan.
Pada acara itu juga, penyanyi dan komposer baharu, Ikhwan Fatanna, diangkat sebagai Artis Baru Terbaik, manakala Muzik Video Terbaik dimenangi kumpulan Inteam menerusi lagu Dia yang kini mencatat 4.4 juta tontonan di YouTube.
Bagi kategori anugerah pilihan pendengar, penyanyi popular, Khai Bahar, memenangi kategori Lagu Pilihan dan Artis Solo Pilihan, sementara Saujana membawa pulang trofi Artis Duo / Berkumpulan Pilihan dan ReUNIC memenangi Media Sosial Terbaik.
Hadiah utama disampaikan oleh Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Hadir sama, Ketua Pengarahnya, Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin.
Sebanyak 11 kategori dipertandingkan pada AN19 membabitkan 12 finalis iaitu ReUNIC bersama lagu Bertemu Semula, Ikhwan Fatanna (Bismillah), Caliph Buskers (Buta), Saujana (Satu Dalam Perjuangan), Mirwana (Cinta Bukan Mainan), Inteam (Dia), XPDC (Doa), Far East (Gugur Di Setiamu), Rabbani (Ittihad), Adeep Nahar (Izinkan), Rabithah (Jalan Keluar) dan Khai Bahar (Cahaya 114).
Karya dan persembahan peserta dinilai oleh empat juri profesional iaitu Farihin Abdul Fattah selaku ketua juri, Rozman Shafie atau LY (penjurian lagu), Norkhayati Mohd Hashim (Baiduri - penjurian lirik) serta Huzaimi Mohd Zaimi (penjurian persembahan & vokal).
Peminat dapat menyaksikan acara berkenaan secara dalam talian melalui ‪www.ikim.my‬ dan ‪www.tvikim.my‬.

Sumber : Berita Harian 

Post a Comment

0 Comments