MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Utusan Melayu (M) Berhad



Utusan Malaysia merupakan sebuah akhbar berbahasa Melayu terbitan Utusan Melayu (M) Berhad atau dikenali juga dikenali dengan nama Utusan Melayu (Malaysia) Bhd (UMMB). Menurut laporan Audit Bureau of Circulations (ABC) pada 2004 jualan harian akhbar Utusan adalah sebanyak 256,247 naskhah tetapi pada 2009 jualan harian akhbar menjunam ke 169,548 naskhah. 

Pada awal penerbitannya, UMMB merupakan saluran utama penduduk Semenanjung Tanah Melayu untuk menyuarakan pendapat mereka terhadap penjajah British dan ditulis menggunakan tulisan Jawi. Kini ia telah dicetak menggunakan tulisan Rumi (Bahasa Melayu). Beberapa agensi berita Malaysia telah melaporkan bahawa UMMB akan menutup operasi pada 21 Ogos 2019 akibat masalah kewangan.

Kumpulan Utusan telah diperbadankan pada tahun 1938 di Singapura sebagai Utusan Melayu Press Limited. Akhbar sulungnya, Utusan Melayu, telah dilancarkan pada 29 Mei 1939. Dengan menggunakan Jawi, iaitu tulisan Arab, akhbar tersebut dicetak di Singapura dan memenuhi kehendak para pembaca yang celik Jawi di Tanah Melayu jajahan British.

Pada tahun yang sama edisi Ahad, Utusan Zaman telah diterbitkan. Utusan Melayu dan Utusan Zaman berada di barisan hadapan pembangunan intelek-intelek nasionalis Melayu yang kemudiannya telah melahirkan kepemimpinan politik yang berkesedaran tentang persediaan untuk mencapai kemerdekaan.

Pada bulan Februari 1958, lima bulan selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, ibu pejabat Utusan Melayu telah dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Utusan Melayu telah memperkukuhkan kedudukannya dan terus memainkan peranan utama sebagai penyumbang aktif dalam pembangunan ekonomi, sosial dan politik Tanah Melayu, yang pada tahun 1963 diperluaskan untuk merangkumi wilayah yang lebih besar untuk menubuhkan negara Malaysia.

Pada tahun 1967, Utusan Melayu telah diperbadankan sebagai sebuah syarikat berhad awam di bawah Akta Syarikat, bernama UMMB. Sejak itu, syarikat ini telah berkembang maju dengan amat pesat sehingga mencapai puncaknya dengan penyenaraian di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1994.

Sehingga kini Kumpulan Utusan bukan sahaja memberi tumpuan dalam penerbitan akhbar Utusan Malaysia, tetapi juga Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad di samping beberapa perniagaan media lain melalui anak-anak syarikatnya. Antaranya ialah pengiklanan melalui Utusan Media Sales (UMES) dan Utusan Airtime, penerbitan majalah (Utusan Karya), penerbitan buku (Utusan Publications & Distributions - UP&D), percetakan (Utusan Printcorp) dan perkhidmatan Online (Perfisio).

Di sebalik sejarah dan kegemilangannya UMMB tidak terkecuali daripada menempuh cabaran dan dugaan dalam mengharungi arus semasa terutama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 selepas kekalahan Parti Barisan Nasional (UMNO dan kompenan parti politiknya seperti MCA & MIC dan parti politik di Sabah & Sarawak). Cabaran terburuk UMMB adalah ketika terpaksa memberhentikan separuh daripada pekerja iaitu sebanyak 800 staf melalui Skim Pemberhentian Kerja Sukarela (VSS) pada Disember 2018. Pemberhentian yang bertujuan untuk mengurangkan kos operasi syarikat sekaligus menyelamatkannya itu bagaimanapun gagal. Kemelut sebuah syarikat akhbar gah itu terus terpalit kontroversi apabila pengurusannya gagal menunaikan pampasan kepada bekas staf seperti dijanjikan. Peristiwa yang dianggap sejarah dalam industri media itu sedikit sebanyak memalit prejudis terhadap UMMB yang dianggap sebagai akhbar membela nasib orang-orang Melayu selama ini.

Pada 30 Jun 2019, kerugian terkumpul Utusan Melayu berjumlah RM261.61 juta.

Selain gagal membayar gaji kakitangannya, syarikat itu juga berdepan masalah menjelaskan pampasan peserta skim pemberhentian kerja sukarela (VSS) yang dibuat secara beransur-ansur sejak Disember 2018.

UMMB mula disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) pada tahun 1994 dan saham syarikat di dinyah senarai pada 30 Ogos 2019 dengan dagangan sahamnya (kod 5754) digantung, dengan harga dagangan terakhir pada 5.5 sen. Mengalami kerugian sejak 2012, mencetuskan status Nota Amalan PN17 (PN17) pada Ogos 2019, selepas ingkar atas pembayaran prinsipal termasuk keuntungan kepada Bank Muamalat Malaysia Bhd dan Maybank Islam Bhd berjumlah RM1.18 juta.

PN17 merujuk kepada syarikat-syarikat yang mengalami kesulitan kewangan.

Lembaga pengarahnya berkata kumpulan itu tidak dapat memenuhi keperluan Bursa Malaysia untuk meningkatkan status PN17 selepas mengambil kira kerugian yang ditanggung dalam dua suku pertama 2019 dan kekangan aliran tunainya.

UMMB tidak dapat mencari pelabur berpotensi untuk memulihkan kumpulan itu, terutama disebabkan oleh liabilitinya yang besar.

Pada 7 Oktober 2019 UMMB melepaskan 70 peratus pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd. UMMB berkata pelepasan pegangan dalam Dilof itu adalah untuk memastikan kesinambungan penerbitan kedua-dua akhbar arus perdana itu.

"Ia untuk memastikan akhbar Utusan Malaysia yang telah berusia 80 tahun tidak dikuburkan dan akhbar Kosmo! yang berusia 15 tahun dapat diteruskan,". Dilof merupakan anak syarikat 100 peratus milik UMMB yang kini merupakan pemegang permit menerbitkan dua akhbar berbahasa Melayu berpengaruh iaitu Utusan Malaysia dan Kosmo!.

UMMB kini berhadapan dengan masalah aliran tunai dan pelaburan dalam Dilof akan membolehkan suntikan kewangan daripada Aurora Mulia dan seterusnya memastikan penerbitan kedua-dua akhbar ini dapat diteruskan.

Menurut UMMB, Aurora Mulia dipilih kerana syarikat tersebut merupakan pemegang saham utama Media Prima Berhad.

Pelaburan itu juga bakal menyaksikan penggabungan jabatan-jabatan sokongan kepada penerbitan beberapa jenama akhbar utama di negara ini seperti percetakan, pengedaran dan pengiklanan.

Namun susulan masalah kewangan yang dihadapi, akhbar bahasa Melayu tertua negara Malaysia Utusan Malaysia dan Kosmo! akan menghentikan operasinya bermula 9 Oktober 2019.

Perkara itu dimaklumkan oleh satu memo dalaman bertarikh 9 Oktober 2019 (hari ini). Menurut memo itu, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (Malaysia) Berhad (UMMB) Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata syarikat itu tidak lagi solven (mampu membayar hutang) untuk meneruskan perniagaan, walaupun telah melaksanakan beberapa langkah untuk menyelamatkannya.

Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019.

"Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan telah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019, manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019,".

 “Pelbagai usaha telah dilaksanakan dengan harapan untuk meletakkan syarikat kepada kedudukan yang lebih kukuh dan terjamin. 

“Antara langkah yang diambil ialah menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang menyaksikan lebih 700 kakitangan melepaskan jawatan mereka. 

“Ini merupakan pemberhentian kerja berskala besar yang terpaksa dilakukan bagi kelangsungan syarikat.
“Syarikat juga telah berusaha dengan menjual aset-aset syarikat dan kumpulan untuk menampung modal dan mendapatkan aliran tunai yang mencukupi,” katanya. 

Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. 

“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah Utusan telah pada 7 Oktober 2019 meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator),”. 

Sumber : Bernama, Malaysiakini & penulis sendiri 

Post a Comment

0 Comments