MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Datuk Seri Abdul Hamid Bador KPN Malaysia Baharu 2019



 


Kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berubah 3 April 2019 (esok)  apabila Ketua Polis Negara (KPN) Malaysia akan bersara wajib pada 4 Mei 2019.

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) pada 4 Sept 2017 dijadual bersara pada Jumaat ini. Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang merupakan KPN ke-11.

Beliau yang dilahirkan pada 4 Mei 1959 di Parit, Perak mula memasuki perkhidmatan PDRM sebagai Kadet ASP pada 8 Jan 1984.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya ialah Ketua Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada 1998 hingga 2005; Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman pada 2007 hingga 2009; Pengarah Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism) Bukit Aman pada 2009 hingga 2014; dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman pada 2015 hingga 2017.

Jika mengikut hierarki, jawatan itu bakal diisi oleh orang nombor dua dalam PDRM sekarang iaitu Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang kini adalah Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara yang memangku jawatan itu sejak 15 Mac 2018 lepas apabila Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim bersara wajib pada tarikh yang sama.

Semalam Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan Datuk Seri Abdul Hamid dicadangkan sebagai Ketua Polis Negara ke-12 yang baharu.

Menurut sumber Bukit Aman, majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Negara akan diadakan esok di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) manakala pada sebelah petang pula akan diadakan upacara paluan berundur pegawai tertinggi PDRM.

Jika semua berjalan seperti dijadual, mata akan bertumpu kepada individu yang bakal mengisi jawatan nombor dua PDRM yang kosong sekiranya Datuk Seri Abdul Hamid Bador  dilantik sebagai Ketua Polis Negara.

Antara nama-nama yang disebut sebagai Timbalan Ketua Polis Negara ialah Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Jika Datuk Seri Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara, ia seolah-olah memenuhi tradisi kepimpinan tertinggi PDRM yang menyaksikan kebanyakan jawatan itu diisi oleh pegawai tertinggi daripada Cawangan Khas.

Ia dapat dilihat daripada bekas KPN ketiga iaitu Tan Sri Abdul Rahman Hashim, bekas KPN keempat Tun Mohammed Hanif Omar, bekas KPN kelima Tan Sri Abdul Rahim Noor serta bekas KPN keenam Tan Sri Norian Mai.

Kecuali bekas KPN pertama Tan Sri Sir Claude Fenner, bekas KPN kedua Tun Mohamed Salleh Ismael, bekas KPN ketujuh Tan Sri Mohd Bakri Omar dan bekas KPN kesembilan Tan Sri Ismail Omar yang bukan daripada kepimpinan Cawangan Khas.


Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan berkata bahawa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memperkenankan pelantikan itu.

Kontrak Datuk Seri Hamid Bador yang berumumr 60 tahun adalah mulai esok dan tamat pada 3 Mei, 2021.



Latarbelakang Datuk Seri Hamid Bador

Datuk Seri Hamid Bador, yang dilahirkan pada 7 Ogos 1958, di Kuala Lumpur, adalah anak kepada seorang konstabel polis, Allahyarham Bador Ijoh, yang membesar dalam suasana kerap berpindah-randah.

Beliau bersama sembilan adik-beradik dan ibunya yang juga seorang suri rumah berketurunan Cina, mendiami berek-berek polis di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur; Balai Polis Serendah (Rawang); Balai Polis Jerantut (Pahang); Balai Polis Tampin (Negeri Sembilan).

Disebabkan tugas bapanya itu, Abdul Hamid terpaksa berpindah sekolah bermula dari Sekolah Rendah Inggeris (Sekolah Rendah Sinaran Budi) di Rawang, Selangor, pada 1965 sebelum menyambung darjah dua di Sekolah Rendah Inggeris, Jerantut Pahang, dari 1966 hingga 1970; Sekolah Menengah Sulaiman, Bentong, Pahang (1971-1976); Sekolah Menengah Tunku Besar Tampin, Negeri Sembilan pada 1977.

Selepas menamatkan persekolahan, Abdul Hamid kemudian bekerja sebagai pelayan dan penyambut tetamu di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dari 1977 sehingga 1979.

Beliau mula menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Pelatih, pada 4 November 1979 sebelum ditempatkan di Cawangan Khas Bukit Aman, bermula 1980 hinggalah 1996.

Pada 1999, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, sebelum kembali ke Cawangan Khas, Bukit Aman pada 2001, seterusnya dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas, Polis Kontinjen Kelantan pada 2005.

Setahun selepas itu, beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan Cawangan Khas, Polis Kontinjen Sabah sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, pada 2009.

Beliau kemudian ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 18 Ogos 2015 sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, tidak lama selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.

Hamid Bador mula mendapat perhatian pada 2015 apabila mendedahkan ada pihak tertentu menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain mendesak siasatan secara telus semasa menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB) Bukit Aman.

Beliau yang hampir 40 tahun berkhidmat dalam PDRM, pernah dianugerahkan Bintang Bhayankara Nararya, bintang kepahlawanan tertinggi daripada kerajaan Indonesia selepas membantu kerajaan dan pihak berkuasa Indonesia melumpuhkan kegiatan pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan elemen pengganas DAESH.

Sumber: Bernama, Berita Harian dan Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments