MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Pencemaran Sungai Kim Kim




Insiden pencemaran kimia/toksik daripada pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor, Malaysia disebabkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab telah menyebabkan pelajar-pelajar sekolah, guru-guru dan orang awam yang menetap berhampiran kawasan tersebut mengalami sesak nafas, loya dan muntah serta 111 buah sekolah ditutup sehingga notis pemberitahuan kelak .

Sejak insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini pada 7 Mac lalu, seramai 947 mangsa telah mendapatkan rawatan awal mengikut tahap kesihatan masing-masing, seramai 209 mangsa telah dimasukkan ke dalam wad manakala seramai lapan mangsa yang lain telah ditempatkan dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) juga stabil .

Dalam ruangan ini adalah baik rasanya saya nukilkan langkah-langkah yang perlu diambil langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan Malaysia bagi mengatasi masalah pencemaran kimia ini.

Langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan Malaysia.

1.Masyarakat dinasihatkan untuk tidak berada di kawasan yang terjejas pencemaran kimia khususnya di kawasan sungai berkenaan.

2.Sebarang aktiviti luar di kawasan sekitar dan berhampiran kawasan kejadian juga perlu dielakkan sehingga kawasan ini benar-benar di isytiharkankan Selamat oleh kerajaan Malaysia.

3.Penggunaan topeng muka jenis R95 bagi mengurangkan kemungkinan terdedah dengan pencemaran toksik.

4. Kerajaan negeri (Johor) bersetuju untuk mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Aras 3, Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai Bilik Gerakan Bencana Negeri/Daerah bagi menangani pencemaran toksik di Sungai Kim Kim.

5. Pihak kontraktor bersama-sama agensi terlibat seperti Jabatan Bomba Dan Penyelamat, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula membuat kerja pembersihan sisa toksik bermula pada 10 pagi menanda dan mengenal pasti kawasan tercemar sepanjang 1.5 kilometer ke hulu sungai Kim Kim.

6.Pihak kerajaan dengan kerjasama syarikat pembekal PPE, 3M Malaysia Sdn. Bhd telah mengumpul alat pernafasan yang sesuai untuk diagihkan di lokasi kejadian, fasa pertama sebanyak 20 set.

7. Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal (Pertubuhan NGO) ke lapangan untuk memberikan bantuan kepada mangsa dan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang terlibat.

Langkah-langkah yang perlu dipertimbangkan untuk diambil oleh kerajaan Malaysia

1.Melakukan pembenihan awan salah satu langkah yang baik walaupun melibatkan kos yang tinggi, air hujan yang turun melalui pembenihan awan dapat memerangkap dan menyerap serta membawa bahan kimia di udara untuk turun ke bumi dan seterusnya kemuara sungai dan laut. Pembenihan awan ini sangat penting kerana bahan kimia tersebut mempunyai reaksi lebih aktif apabila berlakunya cuaca panas selain dengan tiup­an angin.

2.Memohon bantuan daripada syarikat loji penapisan minyak untuk membersihkan sisa kimia di Sungai Kim Kim kerana syarikat tersebut mempunyai alat penuras minyak yang boleh digunakan untuk menyerap sisa toksik organik yang terapung di permukaan Sungai Kim Kim

3.Menambah isi padu air sungai yang tercemar bagi membantu menguraikan sisa toksik dibawa ke bahagian muara, memandangkan sungai kim kim cetek menyebabkan bahan kimia tersebut teleh melepaskan gas toksik ke udara dan merebak ke kawasan berhampiran sepanjang sungai. Pertambahan isipadu air boleh membantu daripada bahan kimia tersebut di uraikan dan di nyahkan di muara.

4.Mengosongkan kawasan kejadian sekiranya perlu bergantung kepada situasi semasa melibatkan arahan pihak kerajaan Malaysia.

Sementara Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mengesahkan, lima bahan kimia berbahaya yang dikenal pasti dibuang sehingga menyebabkan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim di sini ialah methane, hydrogen chloride, acrylonitrile, acrolein dan benzene.

Kata beliau, hasil analisa terperinci daripada lima sampel yang diambil itu, tiga lagi bahan dikenal pasti iaitu toulene, xylene dan limonene.

Menurutnya, salah satu bahan iaitu limonene digunakan untuk proses pyrolysis (penguraian) tayar kitar semula dan ada juga sebatian kimia berkenaan yang digunakan sebagai pelarut organik.
Selepas kita mengetahui bahan limonene itu yang digunakan untuk proses pyrolysis tayar, ia membantu kita mengecilkan skop siasatan yang menjurus kepada kilang tayar kitar semula dan itu adalah suspek utama kita. Hasil analisa itu juga kita mengesan suspek berkaitan dan daripada situ kita berjaya mengenal pasti seorang daripada tiga yang ditahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum ini, katanya dalam sidang akhbar di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Sebenarnya mengikut EQA semua pengeluaran sisa toksid perlu dilupuskan di tempat berlesen. Tapi apa terjadi sekarang adalah pesalah tidak mengikuti undang-undang.

Semua pihak perlu bersegera untuk mengawal keadaan di Pasir Gudang bagi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat dan berdoa ke hadrat Allah SWT agar bencana pencemaran alam di Pasir Gudang dapat dibendung dengan segera, ketepikan soal politik apa yang penting selamatkan nyawa manusia dan mangsa yang terlibat, bagi individu atau organisasi/syarikat yang menyebabkan kejadian ini berlaku tindakan undang-undang yang tegas hendaklah diambil mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000, jika disabit kesalahan.

Sumber : Utusan Melayu (M) Bhd dan Penulis sendiri

Post a Comment

0 Comments