MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

UOB kekalkan unjuran inflasi pada 2.0 peratus pada 2019


United Overseas Bank (Malaysia) Bhd mengekalkan unjuran inflasi sebanyak 2.0 peratus pada 2019 berikutan harga minyak yang pulih secara berterusan, harga jalur lebar yang stabil, gangguan cuaca yang berpotensi dan permintaan domestik yang berdaya tahan.
Pakar Ekonomi Kanan Julia Goh berkata inflasi teras boleh kembali kepada trend sebelumnya apabila kesan asas yang tinggi dalam komponen pengangkutan berkurangan dan harga minyak terus meningkat.
"Kerajaan telah menyatakan walaupun harga minyak diapungkan, parasnya akan dihadkan untuk mengurus tekanan kos," katanya kepada Bernama.
Indeks Harga Pengguna (IHP) merosot pada Januari, yang pertama dalam hampir satu dekad dengan indeks keseluruhan susut 0.7 peratus pada Januari 2019 kepada 120.5 berbanding 121.3 pada bulan sama pada tahun sebelumnya. 
Penurunan dalam indeks pengangkutan (-7.8 peratus), yang menyumbang 14.6 peratus daripada keseluruhan indeks, diimbangi oleh peningkatan dalam indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.0 peratus) serta makanan dan minuman bukan alkohol (+1.0 peratus).
"Ini merupakan penurunan pertama dalam IHP sejak November 2009 dengan kemerosotan dalam komponen pengangkutan apabila harga minyak antara 8.0 peratus dan 12 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lepas," kata Goh.
Beliau berkata harga makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan lebih tinggi disebabkan kos makan luar, daging, ikan dan makanan laut, dan buah-buahan yang lebih tinggi, manakala inflasi perkhidmatan kekal berdaya tahan.
UOB menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.25 peratus buat masa ini.
Bank-bank pusat utama amat berhati-hati dan sebahagiannya mengambil langkah berhati-hati berhubung tindakan mengenai kadar. Mesyuarat dasar monetari BNM yang akan datang pada 5 Mac," kata Goh.
Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Mohd Rashid turut menjangka bank pusat akan mengekalkan OPR pada 3.25 peratus pada 2019 tertakluk kepada prospek ekonomi yang berkembang.
"Bagi BNM, kadar inflasi yang lebih rendah akan bermakna ruang yang lebih besar bagi dasar monetari untuk memacu.
"Pada asasnya, bank pusat mempunyai fleksibiliti untuk mengurangkan kadar jika mereka mahu berbuat demikian. Ini terutamanya apabila Rizab Persekutuan AS turut dilihat mengambil tempoh yang lama berhubung keputusan mengenai kenaikan kadar faedahnya," katanya.
- Bernama

Post a Comment

0 Comments