MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Kenali Jata Negara

 


Jata Negara Malaysia merupakan lambang rasmi kerajaan Malaysia yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna. Jata Negara menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan. 


Bintang bersama-sama anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris pula sebagai lambang Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.


Bahagian sebelah kiri perisai yang berimej pokok pinang menandakan negeri Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan yang berimej dengan pokok Melaka mewakili negeri Melaka. Kedua-dua buah negeri tersebut adalah sebahagian daripada Negeri-negeri Selat suatu ketika dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya di  bahagian tengah yang berwarna merah, hitam, putih dan kuning itu, warna-warna hitam dan putih mewakili warna Pahang; merah dan kuning mewakili warna Selangor; hitam, putih dan kuning mewakili warna Perak; dan merah, hitam dan kuning mewakili warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini adalah Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang asal. Dua ekor harimau juga merupakan simbol keberanian, kegagahan dan kekuatan. Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan negeri


Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia. Cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.


Sumber: Malaysia 2017 (Jabatan Penerangan Malaysia)

Infografik: Jabatan Perkhidmatan Awam 

Post a Comment

0 Comments