MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Hikmah Dan Amalan Di Bulan Puasa

 


"HIKMAH Dan AMALAN Di Bulan Puasa"

( Ilmu, Perkongsian)


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 


(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Apakah hikmah disebalik puasa?


Puasa merupakan madrasah akhlak yang besar dalam melatih keperibadian mukmin, melawan hawa nafsu dan tergoda dengan tipu daya syaitan. Puasa mengajar erti amanah dan muqarabah kepada Allah SWT sentiasa sama ada dalam sir atau terang-terangan. Begitu juga menguatkan semangat dalam menambahkan lagi kesabaran.


Puasa membawa seorang mukmin mempunyai nizam dan disiplin yang tinggi. Hal ini berdasarkan waktu yang dihadkan untuk makan dan perlakuan ibadah.


Dr. Yusuf al-Qaradawi berkata: “Puasa adalah tarbiyyah yang berkesan dan suatu jihad mengawal diri dan hawa nafsu serta membiasakan diri dengan bersifat sabra, sama ada sabar melakukan ketaatan atau sabar menjauhi maksiat.”


Semarakkan Ramadhan dengan Amalan Kebaikan


Daripada Ibn Abbas RA berkata: “Bahawa Rasulullah SAW merupakan orang yang paling pemurah melakukan pelbagai kebaikan. Kemurahan Baginda SAW akan bertambah menjelangnya bulan Ramadhan ketika malaikat Jibril AS menemui Baginda SAW. Jibril AS akan datang menemui Baginda SAW pada setiap malam pada bulan Ramadhan, lalu Jibril AS mengajarkan al-Qur’an kepada Baginda SAW. Sesungguhnya Baginda SAW bersifat pemurah dengan bersegera melakukan kebaikan umpama angin yang bertiup kencang.” (Muttafaqun ‘Alayh, riwayat al-Bukhari, no. 6, 1906, 3220, 3554, 4997, Muslim, no: 2308)

 

Matan Hadith:


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ ‏ ‏رَضِيَاللهُعَنْهُمَا قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ.مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.

]صحيح البخاري , كتاب بدء الوحي , حديث رقم 6 , عن إبن عباس رضي الله عنهما[


Pengajaran Hadith :


1.Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk menggandakan amalan kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi dan merupakan rahsia antara seorang hamba dengan Pencipta-Nya. Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadahnya pada bulan Ramadhan sahaja dengan tidak beramal pada bulan yang lain, tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang dan momentum memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik.


2.Antara amalan kebaikan yang selalu dilakukan oleh Nabi SAW pada bulan Ramadhan adalah bertadarus al-Qur’an. Al-Qur’an adalah Kalamullah yang diturunkan oleh Allah SWT dan mukjizat kepada Nabi Muhammad SAW, yang akan diberikan pahala apabila membacanya. Setiap Muslim dituntut membaca al-Qur’an pada setiap hari, terutamanya pada bulan Ramadhan yang mulia ini kerana dengan bertadabbur makna dan isi al-Qur’an akan meningkatkan keimanan dan kekayaan hati ke arah kebaikan. Bahkan demi kebesaran dan kemuliaan Ramadhan, maka Allah SWT menurunkan al-Qur’an pada bulan tersebut.


3.Marilah kita bersama-sama mengisi kedatangan Ramadhan ini dengan penuh keinsafan dan memperbanyakkan bersedekah, mempelajari dan mengajarkan al-Quran kerana pada bulan ini adalah bulan yang dipenuhi keberkatan serta dihidangkan di dalamnya dengan pelbagai amal ibadah yang pahalanya digandakan.


Oleh itu, jom kita sama-sama menzahirkan kesyukuran kepada Allah dengan melakukan sebanyaknya amalan sunat yang InshaAllah pahalanya berlipat kali ganda.


Antaranya:


1.Solat terawih


Solat terawih adalah solat sunat yang hanya dilakukan di bulan Ramadhan dan rugi sekiranya kita mengabaikan solat terawih. Kita boleh melakukan solat terawih di masjid atau bersendirian di rumah.


Jadi, kita tidak ada alasan untuk mengelak daripada solat terawih.


2.Menyegerakan berbuka puasa apabila masuk waktu berbuka.


Sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang, segerakan berbuka puasa. Tidak kisah sekiranya kita ingin berbuka dengan kurma dan air kemudian solat Maghrib ataupun berbuka puasa dengan makanan berat tetapi jangan sampai berlebihan dan menyusahkan kita untuk solat maghrib dan solat terawih.


“Manusia itu selalu dalam kebaikan selama mana mereka segera berbuka puasa.” (HR Bukhari dan Muslim)


3.Melaksanakan makan sahur dan melewatkannya


Ramai yang memandang enteng tentang sahur kerana tidak ramai yang tahu tentang keberkatan sahur. Pada waktu sahur memudahkan kita untuk qiamullail dan membaca Al-Quran pada ketika di bulan yang lain kita sedang lena dibuai mimpi.


“Bersahurlah kalian, kerana pada sahur itu ada berkatnya.” (HR Bukhari dan Muslim)


“Kelebihan puasa kami dan puasa ahli kitab adalah adanya sahur.” (HR Muslim)


 

4.I’tikaf


I’tikaf adalah berdiam diri di masjid dengan niat untuk beribadat kepada Allah. Rebutlah peluang untuk datang ke masjid pada bulan Ramadhan kerana masjid adalah tempat untuk mendapat hidayah.


Mereka yang ke masjid adalah mereka yang punya iman dalam hatinya kerana ketahuilah masjid adalah tempat yang paling berat untuk dikunjungi walaupun jarak hanya sejengkal.


5.Membaca Al-Quran


Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran diturunkan. Gunakan kesempatan Ramadhan untuk membaca dan memahami Al-Quran sampai khatam. Bersihkan hati kita dengan menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran walaupun hanya 1 juzuk. Pastikan kita meletakkan target yang spesifik untuk Ramadhan.


6.Bersedekah


Banyakkan bersedekah pada bulan Ramadhan kerana pahala yang Allah janjikan berlipat kali ganda. Tidak kisah akan bilangan atau bentuk apa pun yang kita sedekahkan kerana Allah menilai hati dan keikhlasan kita ketika bersedekah. Ikutlah kemampuan kita.


7.Memperbanyakkan doa


Doa adalah senjata kita umat Islam. Perbanyakkan doa kerana Allah pasti akan mengabulkan doa setiap hambaNya. Tambah-tambah doa sebelum kita berbuka dan juga doa ketika tahajud.


8.Melakukan umrah


Pahala menunaikan umrah pada bulan Ramadhan sangat besar pahalanya dan berlipat kali ganda. Bayangkan pahala ketika solat di Masjidil Haram 100000 pahala berbanding tempat lain apatah lagi ketika bulan Ramadhan. Jangan lepaskan peluang bagi mereka yang berkemampuan.


“Apabila datang bulan Ramadhan, hendaklah ia melakukan umrah, kerana nilainya setara dengan haji bersama Rasulullah.” (HR Bukhari dan Muslim)


9.Memberi makan orang yang berbuka


Berkongsi rezeki ketika berbuka puasa supaya kita sama-sama dapat berbuka puasa dalam keadaan yang gembira dan dalam kenikmatan dalam berbuka puasa. Di samping itu, salah satu cara untuk kita merapatkan silaturrahim antara saudara seislam. Berkongsi makan dengan keluarga besar, kawan-kawan dan juga jiran sekampung pun boleh.


10.Mencari lailatul qadar


Dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang sangat special… malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar. Rasulullah sangat menjaga sepuluh malam terakhir demi mendapatkan Lailatul Qadar. Dengan itu, Rasulullah menyuruh kita mencari Lailatul Qadar dalam malam-malam ganjil sepuluh malam terakhir Ramadhan. Jangan lepaskan peluang kita untuk mencari Lailatul Qadar.


Itu adalah antara 10 amalan sunat yang dapat saya kongsikan. Marilah kita sama-sama menghidupkan Ramadhan supaya Ramadhan kita kali ini lebih baik daripada yang sebelumnya, inshaAllah. Fokus utama kita adalah niat kerana ALLAH untuk semua ibadah yang kita lakukan.


Alhamdulillah

@islamitu_indah



Post a Comment

0 Comments