MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

PKPDB Di Lahad Datu, Tawau, Kunak & Semporna Bermula 29.09.2020

 


MENGENAI PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN DIPERKETATKAN BERSASAR (PKPDB) SECARA PENTADBIRAN DI DAERAH LAHAD DATU, TAWAU, KUNAK DAN SEMPORNA.


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 1,195 kes positif jangkitan COVID-19 di daerah Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna dalam tempoh 1 hingga 27 September 2020.




Daripada jumlah itu Lahad Datu merekodkan 241 kes, Tawau (634 kes), Kunak (65 kes) dan Semporna (255 kes).


Mengambil kira jumlah kes tersebut, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melaksanakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentadbiran di kawasan-kawasan ini.


PKPDB secara pentadbiran ini akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam ini, 29 September 2020 sehingga 12 Oktober 2020 dan akan melibatkan seramai 962,661 orang penduduk.


Pelaksanaan PKPDB ini bagi membendung jangkitan dan penularan COVID-19 dalam daerah tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.


Dengan pelaksanaan perintah ini :


•Semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPDB sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.


•Bukan penduduk dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke empat daerah terlibat sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan.


 •Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan dan perkhidmatan (essentials) di empat daerah terlibat.


•Pengkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPDB.


•Semua laluan keluar masuk kawasan PKPDB ditutup.


Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Pihak Berkuasa Tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.


Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa.


Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas Ibu Pejabat Polis Daerah seperti berikut :


Lahad Datu : 089-881255

Tawau : 089-752222

Kunak : 089-851222

Semporna : 089-782020


YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB

Menteri Kanan (Keselamatan)

Menteri Pertahanan Malaysia


28 September 2020


Majlis Keselamatan Negara ( MKN)

Post a Comment

0 Comments