MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Pembaharuan LKM & LMM Dilanjutkan Sehingga 30 September 2020

 



PENGECUALIAN PEMBAHARUAN LESEN MEMANDU DAN LESEN KENDERAAN MOTOR AKAN DITAMATKAN 31 OGOS, ORANG RAMAI DIBERI MASA SEHINGGA 30 SEPTEMBER UNTUK PERBAHARUI LESEN MASING-MASING.


Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada bulan Mac 2020, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan pengecualian pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dalam tempoh PKP kepada orang ramai. Ini bertujuan supaya mengelakkan kesesakan orang ramai di kaunter-kaunter agensi-agensi berkaitan.


Orang ramai dibenarkan memandu dan menggunakan kenderaan masing- masing semasa PKP dilaksanakan walaupun LMM atau LKM mereka telah tamat tempoh, dengan syarat kenderaan tersebut mempunyai perlindungan insurans yang sah dan masih berkuatkuasa. Buat masa ini, pengecualian bagi pembaharuan LMM dan LKM masih berkuatkuasa selagi Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 masih dikuatkuasakan. Sejak PKPP, semua kaunter JPJ telah dibuka sepenuhnya seperti biasa.


Memandangkan pelanjutan PKP selepas 31 Ogos 2020 sebagaimana Perutusan Khas YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Ogos 2020, maka pengecualian ini akan ditamatkan melalui satu instrumen pembatalan yang khusus. Walau bagaimanapun, orang ramai yang memiliki LMM dan LKM yang tamat tempoh masih diberi masa untuk memperbaharuinya dalam tempoh 30 hari iaitu sehingga 30 September 2020.


Pembatalan pengecualian ini adalah selaras dengan kuasa Menteri di bawah seksyen 66(1)(x) dan 127 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pengecualian) 2020.


MOT sentiasa memahami keperluan orang ramai dan akan terus memainkan peranan sebagai sebuah kementerian yang prihatin, lebih-lebih lagi pada waktu sukar ketika ini. Dalam masa sama, orang ramai diingatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat sahih dan tidak menyebarkan berita-berita palsu. Selain itu, orang ramai yang mengunjungi kaunter-kaunter JPJ atau mana-mana agensi di bawah MOT dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dalam usaha membebaskan negara sepenuhnya daripada pandemik COVID-19.


Facebook: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia


Post a Comment

0 Comments