MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Ganjaran Solat Berjemaah Di Rumah Jika Meninggalkan Perlaksanaannya Di Masjid Disebabkan Keuzuran





Soalan :

Assalamu’alaikum tuan, sekiranya masjid-masjid dan surau akan ditutup disebabkan isu Covid- 19, adakah pahala mereka yang selama ini menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau akan berkurangan sekiranya mereka solat berjemaah di rumah atau adakah akan mendapat pahala yang sama ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menghadiri solat berjemaah di masjid merupakan suatu perkara yang dituntut di sisi syarak. Begitu banyak nas yang menunjukkan kepada anjuran perbuatan tersebut. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya : Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.

Riwayat Ibn Majah (793)

Menurut hadis di atas, secara asasnya seseorang itu dituntut untuk menghadiri solat berjemaah sekiranya dia mendengar panggilan azan. Meskipun begitu, jika ada keuzuran tertentu maka dia diberi pengecualian untuk hadir menyahut seruan tersebut. Manakala dalam sebuah riwayat yang lain, para sahabat bertanya kepada Rasulullah S.A.W apakah yang dimaksudkan dengan keuzuran ? Maka Rasulullah S.A.W. menjawab :

خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya : Perasaan takut ataupun sakit.

Riwayat Abu Daud (551)

Maka jelas daripada hadis di atas bahawa perasaan takut atau sakit termasuk dalam kategori uzur yang membolehkan seseorang itu untuk tidak hadir ke masjid bagi solat berjamaah.

Syeikh Mulla ‘Ali Al-Qari dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : ‘’Iaitu perasaan takut ke atas diri sendiri, maruah atau takut ke atas harta’’. Beliau turut menukilkan pendapat lain yang mendatangkan contoh ketakutan seperti : Takutkan kezaliman berlaku pada dirinya, demikian juga hujan, kesejukan yang melampau, serta mengelakkan diri dari kekotoran. Rujuk Mirqat al-Mafatih, Mulla ‘Ali al-Qari (3/839).

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu sentiasa melazimi solat berjemaah di masjid atau surau, lalu ia ditinggalkan disebabkan adanya keuzuran tertentu, dan dia mendirikan solat berjemaah di rumah, maka dia akan mendapat pahala sama seperti yang dilakukannya semasa ketiadaan keuzuran tersebut. Pendapat ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa Al-‘Asy’ari R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

 إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا

Maksudnya : Apabila seseorang hamba itu sakit atau bermusafir, akan ditulis buat dirinya ganjaran sama seperti yang diamalkannya semasa bermukim atau sihat.

Riwayat Al-Bukhari (2996)

Hadis di atas menunjukkan bahawa seseorang itu sekiranya dia bermusafir atau sakit, lalu dia melakukan keringanan atau rukhsah yang diberikan kepadanya kerana dua keuzuran tersebut, maka dia akan mendapat ganjaran yang sama sekiranya dia melakukan sesuatu perbuatan dalam keadaan dia bermukim atau sihat. Sebagai contoh, seseorang yang melaksanakan solat secara duduk disebabkan uzur sakit, maka akan ditulis buat dirinya ganjaran mengerjakan solat secara berdiri. Ini kerana, sekiranya tidak kerana keuzuran sudah tentulah dia akan mendirikan solat secara berdiri.

Imam Ibn Hajar Al-Asqalani dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : ‘’Hadis ini ditujukan bagi hak mereka yang melakukan ketaatan lalu terhalang dari melakukannya (disebabkan ada keuzuran), dalam keadaan niatnya jika tidak terdapat penghalang nescaya dia akan berterusan melakukannya (ketaatan)’’. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Hajar (6/136).

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah kami menekuni beberapa nas dan hujahan di atas maka kami menyatakan :

Seseorang yang sentiasa melazimi solat berjemaah di masjid, kemudian terhalang dari melakukannya disebabkan keuzuran seperti takut ke atas diri sendiri akan terdedah kepada penyakit berjangkit, atau dia mempunyai simptom penyakit maka dia tetap akan mendapat ganjaran yang sama sekiranya melakukan solat berjemaah di rumah.
Ini kerana, perasaan takut خَوْفٌ dan juga sakit termasuk dalam keuzuran yang membolehkan seseorang itu untuk tidak pergi ke masjid.
Selain itu, sekiranya ternafi halangan dan keuzuran tersebut sudah pastilah dia akan tetap menghadiri solat berjemaah di masjid kerana kelazimannya dalam melakukan perkara tersebut. Wallahu A’lam.
Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Post a Comment

0 Comments