MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Dajjal Siapakah Dia?



Definisi Dajjal

Kata Dajjal (دجال) berasal dari kata dajala, artinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.


-Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan.

-Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar.

-Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran.

-Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi.

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya.

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda SAW melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah:

-Seorang manusia.

-Rambutnya kerinting dan kusut masai.

-Sebelah daripada matanya buta.


-Tertulis pada dahinya كفر (kufur).

Di manakah Dajjal Akan Keluar?

Dajjal akan keluar dari arah timur iaitu dari Khurasan (Khurasan adalah satu tempat yang luas, terletak di sebelah timur dan ia terdiri daripada beberapa daerah, antaranya Naisabur). 

Kemudian Dajjal akan mula berjalan di bumi dan tidak akan ditinggalkan satu tempat pun melainkan dia akan memasukinya kecuali Makkah dan Madinah. Dajjal tidak dapat memasuki Makkah dan Madinah kerana terdapat malaikat yang menjaga kedua tanah suci itu. Selain itu juga, Imam Ibn Hajar mengatakan bahawa Dajjal ini pasti akan muncul dari arah timur. (Lihat Fath al-Bari) 

Kenyataan ini disandarkan atau dikuatkan lagi dengan beberapa buah hadith yang sahih, antaranya:

Daripada Abu Bakar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الدَّجَّالُ يَخْرُجُ مِنْ أَرْضٍ بِالمَشْرِقِ يُقَالُ لَهَا: خُرَاسَانُ

Maksudnya“Dajjal akan keluar ke bumi dari arah timur, dikatakan tempat tersebut adalah Khurasan”.

Riwayat al-Tirmizi (2237). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai Hasan Gharib dan Syeikh Ahmad Syakir mengatakan sanad hadith ini adalah sahih.

Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Wabil menyebut bahawa Dajjal akan keluar dari arah timur dari Khurasan dari Perkampungan Yahudiyah di Kota Asfahan. 

Ini berdasarkan kepada hadis Fatimah bint Qais R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ إِنَّهُ فِى بَحْرِ الشَّامِ أَوْ بَحْرِ الْيَمَنِ لاَ بَلْ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ ما هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ مِنْ قِبَلِ الْمَشْرِقِ مَا هُوَ ». وَأَوْمَأَ بِيَدِهِ إِلَى الْمَشْرِقِ.

Maksudnya: Ketahuilah bahawa dia berada di laut Syam atau laut Yaman. Oh tidak, bahkan dia akan datang dari arah timur. Apa itu dari arah timur? Apa itu dari arah timur.. Dan baginda berisyarat dengan tangannya menunjuk ke arah timur.”
Riwayat Muslim (7573)

Dalam riwayat yang lain menunjukkan ia berada di sebuah pulau sebagaimana hadis Tamim al-Dari.

أَنَّهُ رَكِبَ فِي سَفِينَةٍ بَحْرِيَّةٍ ، مَعَ ثَلاَثِينَ رَجُلاً مِنْ لَخْمٍ وَجُذَامَ ، فَلَعِبَ بِهِمِ الْمَوْجُ شَهْرًا فِي الْبَحْرِ، ثُمَّ أَرْفَؤُوا إِلَى جَزِيرَةٍ فِي الْبَحْرِ حَتَّى مَغْرِبِ الشَّمْسِ ، فَجَلَسُوا فِي أَقْرُبِ السَّفِينَةِ فَدَخَلُوا الْجَزِيرَةَ.”


Maksudnya“Bahawa dia belayar bersama 30 orang dari Kabilah Lakham dan Juzam dengan sebuah kapal laut. Kemudian mereka terumbang-ambing oleh ombak selama satu bulan. Hingga mereka terdampar di sebuah pulau di tengah laut di kawasan tempat terbenamnya matahari. Lalu mereka berehat di suatu tempat yang dekat dengan kapal. Kemudian, mereka masuk ke pulau tersebut.”

Riwayat Muslim (7496)


Adakah Dajjal itu manusia?

Diriwayatkan daripada Fatimah bint Qais R.Anha, beliau berkata: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah SAW memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah SAW.

Apabila Rasulullah SAW selesai solat, Baginda duduk di atas mimbar lalu sambil tersenyum Baginda bersabda, "Setiap orang tetaplah duduk di tempat solatnya.” Kemudian Baginda bersabda: "Tahukah kamu kenapa aku mengumpulkan kamu semua?" Para sahabat menjawab: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui." Kemudian Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Demi Allah, sesungguhnya aku mengumpulkan kamu bukanlah untuk suatu khabar gembira atau khabar buruk, akan tetapi aku mengumpulkan kamu kerana Tamim al-Dari, yang dahulunya seorang Nasrani kini telah memeluk Islam dan berbai'ah kepadaku. Ia telah mengatakan sesuatu yang pernah aku katakan kepada kalian tentang al-Masih Dajjal.

Ia mengisahkan perjalanannya kepadaku bahawa dia belayar bersama 30 orang dari Kabilah Lakham dan Judzam dengan sebuah kapal laut. Kemudian mereka terumbang-ambing oleh ombak selama satu bulan. Hingga mereka terdampar di sebuah pulau di tengah laut di kawasan tempat terbenamnya matahari. Lalu mereka berehat di suatu tempat yang dekat dengan kapal.

"Kemudian, mereka mendarat di pulau tersebut dan bertemu dengan satu makhluk yang berbulu lebat, sehingga mereka tidak dapat menganggarkan mana ekornya dan mana kepalanya, kerana tertutup oleh bulunya yang terlalu banyak.

"Mereka berkata, "Celaka, dari jenis apakah kamu ini."

"Ia menjawab, "Saya adalah Al-Jassasah."

"Mereka bertanya, "Apakah Al-Jassasah itu?"

"Tanpa menjawab soalan mereka, lalu ia berkata, "Wahai kalian, lihatlah seorang lelaki yang berada di rumah terpencil itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengar maklumat daripada kalian! "

"Tamim al-Dari berkata, "Ketika ia menjelaskan kepada kami tentang lelaki itu, kami pun terkejut kerana kami menyangka bahawa ia adalah syaitan. Lalu kami akan berangkat sehingga kami memasuki rumah tersebut, di sana terdapat seorang manusia yang paling besar (yang tidak pernah kami lihat sebelum ini) dalam keadaan terikat sangat kuat. Kedua-dua tangannya terikat ke bahunya, serta antara dua lutut dan kedua-dua mata kakinya terbelenggu dengan besi. "

"Kami berkata, "Celaka, siapakah kamu ini?" Ia menjawab, "Takdir telah menentukan bahawa kamu akan menyampaikan maklumat kepadaku, maka khabarkanlah kepadaku siapakah kamu ini?"

"Mereka menjawab, "Kami adalah orang-orang Arab yang berlayar dengan sebuah kapal, tiba-tiba kami menghadapi sebuah laut yang bergoncang, lalu kami terumbang-ambing di tengah laut selama satu bulan, dan terdamparlah kami di pulau ini. Lalu kami duduk di tempat yang berdekatan dengan kapal, kemudian kami masuk pulau ini, maka kami bertemu dengan seekor binatang yang sangat banyak bulunya yang tidak dapat dianggarkan mana ekor dan mana kepalanya kerana banyak bulunya.

"Maka kami berkata, "Celaka, apakah kamu ini?"

"Ia menjawab, "Saya adalah Al-Jassasah."

"Kami bertanya, "Apakah Al-Jassasah itu?"

"(Tanpa menjawab soalan kami), ia berkata, "Wahai kalian, lihatlah seorang lelaki yang berada di rumah terpencil itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengar maklumat daripada kalian! "

"Lalu kami segera menuju tempat kamu ini dan kami terkejut bercampur takut kerana menyangka bahawa ia adalah syaitan. "

"Laki-laki besar yang terikat itu mengatakan, "Beritahu kepada saya tentang pohon-pohon kurma yang ada di Daerah Baisan?"

"Kami bertanya, "Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?"

"Ia berkata, "Saya bertanya sama ada pohon-pohon kurma itu berbuah?"

"Kami menjawab, "Ya."

"Ia berkata, "Adapun pohon-pohon kurma itu maka hampir saja tidak akan berbuah lagi."

"Kemudian ia berkata, "Beritahu kepadaku tentang Tasik Galilee."

"Mereka berkata, "Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?"

"Ia bertanya, "Apakah ia masih tetap berair?"

"Mereka menjawab, "Airnya masih banyak."

"Ia berkata, "Adapun airnya, maka hampir sahaja akan habis."

"Kemudian ia berkata lagi, "Beritahu kepada saya tentang mata air Zugar."

"Mereka menjawab, "Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?"

"Ia bertanya, "Apakah di sana masih ada air dan penduduk di sana masih bertani dengan menggunakan air dari mata air Zugar itu?"

"Ia bertanya, "Apakah di sana masih ada air dan penduduk di sana masih bertani dengan menggunakan air dari mata air Zugar itu?"
"Kami menjawab, "Benar, ia berair banyak dan penduduknya bertani dari mata air itu."
"Lalu ia berkata lagi, "Beritahu kepadaku tentang Nabi yang ummi (tidak boleh tulis baca), apa sajakah yang sudah ia perbuat?"
"Mereka menjawab, "Dia telah keluar dari Makkah dan menetap di Yathrib (Madinah)."
"Lalu ia bertanya, "Apakah ia diperangi oleh orang-orang Arab?"
"Kami menjawab, "Ya."
"Ia bertanya, "Apakah yang dia lakukan terhadap mereka?"
"Maka kami memberitahu kepadanya bahawa Nabi itu telah menundukkan orang-orang Arab yang bersama dengannya dan mereka mentaatinya. "
"Lalu ia berkata, "Apakah itu semua telah berlaku?"
"Kami menjawab, "Ya."
"Ia berkata, "Sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya dan sungguh aku akan mengatakan kepada kamu tentang diriku. Aku adalah al-Masih Dajjal, dan sesungguhnya aku hampir saja yang dibenarkan untuk keluar. Maka aku akan keluar dan berjalan di muka bumi dan tidak ada satu pun negeri kecuali aku memasukinya dalam masa 40 malam selain Makkah dan Thaibah, kedua-dua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu dari negeri itu maka aku dihadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan sangat tajam untuk menghambatku dari kedua-dua negeri tersebut. Dan di setiap jalan-jalan yang ada di Kota Madinah terdapat malaikat yang menjaganya. "

"Fatimah berkata, "Rasulullah SAW bersabda sambil menghentakkan tongkatnya di atas mimbar," Inilah Thaibah, inilah Thaibah, inilah Thaibah (maksudnya Kota Madinah). Bukankah aku sudah menyampaikan kepada kamu tentang hal itu? "Para Sahabat menjawab," Benar. Baginda SAW bersabda,"Saya tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Tamim al-Dari, kerana ia bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan kepada kamu tentang dia (Dajjal) dan tentang Madinah dan Makkah. Ketahuilah, tempatnya (Dajjal) terletak di laut Syam atau laut Yaman. Ia datang dari arah Timur, dari arah Timur, dari arah Timur. Rasulullah SAW mengisyaratkan tangannya ke arah Timur."
Riwayat Muslim (7496) 

Cara Menghadapi Fitnah Dajjal

Antara cara lain untuk berdepan dengan fitnah Dajjal adalah:
  • Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith.
  • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah serta memperbanyakkan amalan soleh.
  • Beruzlah (menjauhkan atau mengasingkan diri) daripada fitnah yang berlaku.
  • Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu itu.
  • Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.
  • Dajjal tidak boleh memasuki Makkah dan Madinah.
  • Memperbanyakkan zikrullah (zikir kepada Allah SWT) dan sentiasa ingat kepada-Nya berdasarkan hadith di atas.

Berdoa Dari Fitnah Dajjal

Terdapat hadis Rasulullah SAW mengajar kita membaca selepas tahiyyat akhir:
إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الآخِرِ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ 
 جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara: Dengan berdoa:
 (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ) 
Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.”
Riwayat Muslim (588)

Dikatakan Thawus bin Kaisan, apabila anaknya selesai solat akan bertanya: Adakah beliau sudah membaca doa ini. Jika dijawabnya tidak, nescaya diminta untuk mengulangi solat dan membaca doa ini.
Dalam doa ini, terdapat empat yang diminta untuk berlindung dengan Allah:
  • Azab Neraka Jahannam
  • Azab kubur
  • Fitnah kehidupan dan kematian
  • Kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal
Ini menunjukkan kejahatan fitnah Dajjal dapat dielakkan dengan cara berdoa kepada Allah dan memohon kepada-Nya.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Post a Comment

0 Comments