MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Cerapan Hilal Dan Penentuan Awal Bulan Hijri


1. Soalan : Kenapa perlu mencerap hilal untuk menentukan puasa dan hari raya?
Jawapan: Asas penentuan awal Ramadan dan Syawal dari sudut syarak, ia merujuk kepada panduan yang telah diterangkan oleh Allah SWT dan junjungan besar nabi Muhammad SAW kepada kita iaitu al-Quran dan Sunnah.
i. Dalil al-Quran.
Surah al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa..”.
ii. Dalil hadis Rasulullah SAW.
Maksudnya:
Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda; “Berpuasalah kamu kerana melihat hilal dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu,maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari)”.
(Riwayat Imam Muslim)
2. Soalan : Kenapa bulan-bulan lain tidak memerlukan kepada cerapan sepertimana tarikh-tarikh hari raya dan sebagainya?
Jawapan: Kebiasaannya cerapan rasmi dilaksanakan bagi penetuan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Walaubagaimanapun, cerapan bagi bulan-bulan lain masih dilaksanakan bagi tujuan kajian dan semakan data bagi cerapan hilal berkenaan.

3. Soalan : Bagaimana proses penyediaan takwim hijriah di Malaysia?
Jawapan: Penyediaan takwim hijriah di Malaysia adalah dibawah selian unit falak Jakim.dengan menggunakan rujukan Almanak Falak Syarie Malaysia.
Hitungan dibuat secara manual untuk menentukan kedudukan hilal dan matahari bagi stesen rujukan iaitu stesen paling timur Malaysia di Kampung Ateamu, Sabah dan paling barat Malaysia di Tanjung Chinchin, Langkawi, Kedah. Apabila semua hitungan selesai, hasilnya disemak dan kriteria Imkanur-Rukyah diguna pakai. Sekiranya hitungan pada hari ke-29 setiap bulan hijriah memenuhi syarat Imkanur-Rukyah, maka keesokan harinya adalah awal bulan baru. Sebaliknya jika ia tidak memenuhi syarat Imkanur-Rukyah, maka bulan itu akan menjadi 30 hari.Takwim disediakan apabila selesai semakan dilakukan bagi tahun yang diperlukan.
Hasil hitungan ini kemudiannya dibawa ke Mesyuarat Panel Pakar Falak Jakim untuk semakan dan disahkan sebelum diedarkan kepada Jabatan/Pejabat Mufti Negeri dan agensi kerajaan berkaitan untuk hebahan kepada umum.

4. Soalan : Apakah jenis takwim hijrah yang digunapakai diseluruh dunia?
Jawapan: Pada asasnya Takwim Hijriah berdasarkan kepada peredaran bulan,tetapi secara praktikalnya ia terbahagi kepada beberapa jenis takwim yang akan mempengaruhi penentuan awal bulan hijri seperti berikut:-
Takwim Istilahi
  • Bilangan hari bagi bulan-bulan yang terdapat di dalam takwim ini disusun berselang-seli 30 dan 29 hari menjadikan 354 hari setahun.
Takwim Ijtimak Hakiki
  • Takwim yang berdasarkan kepada sistem ijtimak bumi-bulan-matahari, di mana penentuan awal bulan hijrah dikira berpandukan ketika berlakunya ijtimak hakiki. Apabila ijtimak berlaku sebelum matahari terbenam, maka sejak terbenamnya matahari itulah dikira awal bulan hijriah yang baru. Sebaliknya jika ijtimak berlaku selepas terbenam matahari, maka keesokan harinya digenapkan 30 haribulan.
Takwim Wujudul Hilal
  • Takwim yang berasaskan sistem ijtimak juga, tetapi penentuan awal bulan dikira mengikut wujudnya hilal di atas ufuk ketika matahari terbenam. Bermula dari waktu terbenam matahari itulah bulan baru dikira.
Takwim Imkanur-Rukyah
  • Takwim Imkanur-Rukyah adalah di mana penentuan bagi setiap awal bulan hijriah yang berdasarkan rukyah dan hisab mengikut kriteria ketetapan yang telah ditentukan.

5. Soalan: Bagaimanakah kaedah penentuan awal Ramadan Syawal dan Zulhijjah dan apakah maksud Imkanur-rukyah (kebolehnampakan hilal)?
Jawapan: Penentuan awal bulan Ramadhan, Syawwal dan Zulhijjah di Malaysia adalah berdasarkan satu kriteria kebolehnampakan hilal atau disebut sebagai Imkanur-rukyah Kriteria Imkanur-rukyah (kebolehnampakan) ialah penentuan masuknya awal bulan baru, apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam berada dalam keadaan yang kemungkinan kenampakannya dan hilal dianggap dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu syarat-syarat berikut:
a) Ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung (bulan-matahari) tidak kurang daripada 3°.
ATAU
b) Ketika bulan terbenam, umur anak bulan tidak kurang daripada 8 jam (selepas ijtimah berlaku).
Walau bagaimanapun tarikh sebenar permulaan Ramadan (Puasa), Syawal (Hari Raya Puasa) dan Zulhijjah (Hari Raya Korban) adalah berdasarkan perisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia selepas mendapat laporan keseluruhan cerapan yang dilaksanakan pada tarikh melihat anak bulan (29hb) bulan sebelumnya.

6. Soalan: Bilakah tarikh sebenar puasa sunat Arafah?
Jawapan: Umat Islam di Malaysia yang ingin berpuasa sunat arafah hendaklah mengikut tarikh 9 Zulhijjah yang telah ditetapkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia selaras dengan ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan.

7. Soalan: Perbezaan penentuan hari raya di Malaysia dan Arab Saudi?
Jawapan:
i. Penentuan hari raya di Malaysia dan Arab Saudi adalah tidak sama kerana kaedah penentuan yang digunakan adalah berbeza dan butirannya dalah seperti berikut:
   a) Malaysia : Rukyah dan hisab dengan menggunakan kriteria Imkanur-rukyah iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan hilal.
   b) Arab Saudi: Hanya menggunakan kaedah Rukyah (melihat hilal) sahaja.
ii. Terdapat perbezaan matlak yang jauh di antara Malaysia dan Arab Saudi. Perbezaan waktu antara kedua-dua negara ialah lima jam. Oleh itu ketika Hilal dilihat di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut berada pada kedudukan 1.25° lebih tinggi di Matla' Malaysia.
iii. Bagi rakyat negara Malaysia yang bermazhab Syafie, mereka perlu memahami bahawa setiap negara di dunia ini mempunyai matla' atau kawasan lingkungannya sendiri. Oleh itu Malaysia tidak harus mengikut keputusan cerapan hilal yang dilaksanakan oleh Arab Saudi.

Sumber : www.muftiwp.gov.my dan gambar google imej 

Post a Comment

0 Comments