MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Adakah Sah Solat Di Atas Sejadah Yang Empuk ?

SOALAN
Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Dalam pasaran hari ini terdapat pelbagai jenis sejadah. Antaranya, ada yang sangat empuk dan lembut sehingga tenggelam dahi apabila sujud. Sesetengah orang berpendapat bahawa ia menambahkan lagi kekhusyukan dalam solat. Sesetengah orang lagi berpendapat tidak sah kerana tidak tetap dahi. Soalan saya, adakah dibolehkan dan sah solat di atas sejadah yang empuk dan lembut tersebut?
Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pertamanya, hukum meletakkan alas hamparan di atas tempat sujud seperti kain, tikar atau sejadah adalah harus dan dibolehkan. Ini kerana ia dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW seperti dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa:
عن أبي سعيد الخدري : أنَّه دَخَلَ على النبيِّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ قالَ: فَرَأَيْتُهُ يُصَلِّي على حَصِيرٍ يَسْجُدُ عليه
Maksudnya: Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa beliau masuk untuk menemui Nabi SAW dan beliau berkata: “Aku melihat Baginda SAW sedang mendirikan solat di atas hamparan yang dia sujud di atasnya”.
Hadith riwayat Muslim: (519)
Begitu juga, dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RAnha bahawa beliau berkata:
كُنْتُ أَنَامُ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَرِجْلاَيَ فِي قِبْلَتِهِ ، فَإِذَا سَجَدَ غَمَزَنِي ، فَقَبَضْتُ رِجْلَيَّ ، فَإِذَا قَامَ بَسَطْتُهُمَا
Maksudnya: Pada suatu hari, aku tidur di sisi Rasulullah SAW dan kedua-dua kakiku menghala ke arah kiblat. Apabila Baginda SAW ingin sujud, dia memberi isyarat kepada-ku dan aku mendakap kedua-dua kaki-ku. Apabila Baginda SAW berdiri, maka aku melepaskan kedua-dua kaki-ku.
Hadith riwayat al-Bukhari: (382)
Imam al-Bukhari meletakkan hadith di atas pada bab menyatakan tentang solat Nabi SAW di atas tikar (الصلاة على الحصير) . Ibn Rajab al-Hambali dalam mensyarahkan hadith ini berkata:
هذا يدل على أنه كان يسجد على طرف الفراش الذي كانت نائمة عليه ، وكانت رجلاها عليه
Maksudnya: Hadith ini menunjukkan bahawa Baginda SAW sujud di hujung katil (tikar) yang Saidatina Aisyah RAnha tidur di atasnya dan kedua-dua kakinya turut berada di atas tikar itu. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 3:27)
Namun begitu, secara asasnya Rasulullah SAW telah menetapkan tujuh anggota perlu disentuhkan di atas tempat sujud ketika sujud iaitu dahikedua-dua tapak tangankedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أُمِرْتُ أنْ أسْجُدَ على سَبْعَةِ أعْظُمٍ على الجَبْهَةِ، وأَشارَ بيَدِهِ على أنْفِهِ واليَدَيْنِ والرُّكْبَتَيْنِ، وأَطْرافِ القَدَمَيْنِ
Maksudnya: Aku diperintahkan sujud dengan tujuh tulang anggota, iaitu dahi (sambil Baginda SAW mengisyaratkan tangganya ke bahagian atas hidung), kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan hujung kedua-dua belah kaki.
Hadith riwayat al-Bukhari (812) dan Muslim (490)
Hal ini juga seperti yang disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh al-Syafie, antaranya Syeikh Hasan al-Kaff dengan berkata bahawa:
أَن يَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْضاءٍ : الجبهة و بطون اليدين و الركبتين و و بطون أصابع الرجلين
Maksudnya: Hendaklah seseorang itu sujud di atas tujuh anggota iaitu: dahi, kedua-dua tapak tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 221)
Justeru itu, daripada syarat sujud di atas, maka dahi mestilah diletakkan dan ditempelkan di atas tempat sujud, tidak kira sama ada seseorang itu sujud di atas tanah atau di atas alas seperti tikar, sejadah atau tilam. Selain itu, disyaratkan juga ketika sujud untuk menekan dan memberatkan kepalanya sehingga tetap dan berjejak dahinya pada tempat sujud. Syeikh Hasan al-Kaff menyebutkan perkara ini bahawa:
التَحَامُل بِراْسِهِ : بِحيْثُ لَوْ سَجَدَ عَلَى قُطنٍ لانكبست
Maksudnya: Disyaratkan untuk menekan kepalanya (pada tempat sujud sehingga tetap dahi), iaitu pada kadar jika sekiranya dia sujud di atas kapas, maka ia melekat. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 221)
Oleh sebab itu, hendaklah diperhatikan kepada ketebalan sejadah tersebut, sama ada ia boleh untuk tetap dan berjejak dahinya ketika sujud ataupun tidak. Sekiranya ketebalan dan kelembutan sejadah tersebut menyebabkan dahi tidak tetap dan tidak boleh ditekan, seolah-olah berada dalam keadaan terapung kerana terlalu lembut, maka tidak sah sujudnya.
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum sujud di atas sejadah yang empuk dan lembut adalah sah dan dibolehkan jika sekiranya apabila ditekan dahi padanya, maka dahi itu tetap dan berjejak pada tempat sujud tersebut. Ini kerana antara syarat sah sujud adalah meletakkan tujuh anggota iaitu iaitu dahikedua-dua tapak tangankedua-dua lutut dan kedua-dua tapak jari kaki pada tempat sujud. Selain itu disyaratkan juga, untuk menekan dan memberatkan kepalanya sehingga tetap dan berjejak dahinya pada tempat sujud.
Oleh itu, jika sekiranya sejadah tersebut terlalu empuk dan lembut sehingga tidak menjadikan dahi seseorang tetap dan berjejak pada tempat sujud dan dirasakan seolah-olah terapung, maka tidak sah sujudnya di atas sejadah seperti itu.
Akhir sekali, ketahuilah bahawa sujud merupakan keadaan paling dekat seseorang hamba dengan Allah SWT dan Baginda SAW menganjurkan supaya memperbanyakkan doa pada ketika tersebut. Rasulullah SAW bersabda:
أَقْرَبُ ما يَكونُ العَبْدُ مِن رَبِّهِ، وهو ساجِدٌ، فأكْثِرُوا الدُّعاءَ
Maksudnya: Keadaan yang paling hampir seseorang itu kepada Tuhan-nya adalah ketika dia sedang sujud. Oleh itu, perbanyakkanlah doa ketika sujud.
Hadith riwayat Muslim: (482)
Justeru itu, marilah sama-sama kita mengambil peluang untuk berdoa sebanyak-banyaknya ketika kita tunduk bersujud kepada Allah SWT dan janganlah terlalu cepat mengangkat kepala kita untuk bergegas kepada hal-hal keduniaan. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.
WaAllahu a’lam.

Sumber : www.muftiwp.gov.my

Post a Comment

0 Comments