MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Hukum Solat Tahiyyatul Masjid


Dari sudut hukum solat tahiyyatul masjid ini, Imam Al-Nawawi rahimahullah menyebutkan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, (4/52)

Meskipun begitu, perlu dijelaskan bahawa tahiyyatul masjid ini terhasil dengan sendirinya apabila (seseorang itu) melakukan solat fardhu atau solat-solat sunat yang lain seperti solat rawatib qabliyah dan seumpamanya. Tujuannya adalah supaya seseorang itu tidak harus duduk di dalam masjid tanpa bersolat terlebih dahulu kerana menghormati masjid.

Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/215)

Manakala berkaitan isu mendirikan solat tahiyatul masjid sesudah duduk sebentar, maka hal ini ada petunjuknya berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir R.A bahawa Sulaik Al-Ghatafani menghadiri Solat Jumaat dan pada ketika itu Rasulullah S.A.W sedang duduk di atas mimbar. Sulaik terus duduk sebelum mendirikan solat (dua rakaat). Lalu Rasulullah S.A.W bertanya : ‘’Adakah kamu telah mendirikan dua rakaat ?’’ Maka Sulaik menjawab : ‘’Tidak’’. Kemudian baginda S.A.W bersabda :

 قُمْ فَارْكَعْهُمَا

Maksudnya : Bangunlah kamu dan tunaikan ia (solat dua rakaat).

Riwayat Muslim (875)

Imam Al-Nawawi ketika mengulas hadis ini beliau berkata :

فَاَلَّذِي يَقْتَضِيهِ هَذَا الْحَدِيثُ أَنَّهُ إذَا تَرَكَ التَّحِيَّةَ جَهْلًا بِهَا أَوْ سَهْوًا يُشْرَعُ لَهُ فِعْلُهَا مَا لَمْ يَطُلْ الْفَصْلُ وَهَذَا هُوَ الْمُخْتَارُ

Maksudnya : Antara maksud yang terkandung di dalam hadis ini adalah apabila seseorang itu meninggalkan tahiyyat (masjid) secara jahil atau secara lalai maka dituntut kepadanya untuk melakukannya (solat tahiyatul masjid) selama mana tidak panjang tempoh (di antara duduk dengan solat) dan ini adalah pendapat yang terpilih. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/53).

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum mendirikan solat tahiyatul masjid sesudah seseorang itu duduk adalah dibolehkan. Namun pendapat yang terpilih adalah ia dibolehkan sekiranya tempoh masa duduk itu adalah sebentar sahaja dan bukanlah berlanjutan dalam tempoh yang panjang.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Untuk pencerahan lanjut sila berjumpa dengan Ustaz, Ahli Agama, Ustazah dan seumpamanya.


Sumber : WhatsApp 

Post a Comment

0 Comments