MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Hampir 250,000 Orang di Idlib, Syria Terpaksa Menjadi Pelarian Domestik


ANKARA, 28 Dis -- Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata hampir 250,000 orang di Idlib, Syria terpaksa menjadi pelarian domestik dalam tempoh dua minggu lalu, lapor agensi berita Anadolu.

"Menurut anggaran semasa, lebih 235,000 orang menjadi pelarian domestik di selatan Idlib sejak 12 Dis termasuk sekurang-kurangnya 140,000 kanak-kanak," kata Pejabat Penyelarasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam satu kenyataan pada Jumaat.

OCHA berkata PBB "sangat prihatin" mengenai keselamatan dan perlindungan terhadap lebih tiga juta orang awam di Idlib, lebih separuh daripadanya terpaksa menjadi pelarian domestik akibat peningkatan gelombang keganasan baru-baru ini.

Beberapa bandar di kawasan sekitar dilaporkan hampir kosong apabila penduduk melarikan diri menuju ke utara demi keselamatan keluarga masing-masing.

PBB turut menerima laporan terdapat orang awam yang terbunuh semasa mereka menuju ke bahagian utara untuk mencari perlindungan.

"Pada 24 Dis, satu serangan udara dilaporkan turut menjejaskan kampung Jawbas, berhampiran bandar Saraqab, tempat penduduk yang berpindah berlindung. Sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk empat kanak-kanak, dilaporkan terbunuh," katanya.

Menurut agensi itu lagi puluhan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak cedera akibat pertempuran di barat laut wilayah Hama yang turut memusnahkan kawasan kediaman.

Selain bedilan roket dan pengeboman, musim sejuk memburukkan lagi keadaan, kata agensi itu.

Tabung Syria

-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments