MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Ekonomi Malaysia Dijangka Berkembang Januari - Mac 2020



Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada Januari hingga Mac 2020 berikutan Indeks Pelopor September 2019 menunjukkan negara berada pada fasa 'pemulihan’, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, Indeks Pelopor digunakan bagi mengukur jangkaan hala tuju keseluruhan aktiviti ekonomi untuk masa hadapan yang berupaya memberi isyarat awal arah tuju ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Mohd Uzir berkata, indeks Pelopor itu divisualisasikan melalui Malaysia Business Cycle Clock (MBCC) yang merupakan inovasi baharu Jabatan Perangkaan untuk memberi kefahaman kepada pengguna secara lebih mudah dan mesra mengenai kitaran ekonomi secara visual berbanding data siri masa.

MBCC merupakan visualisasi kitaran yang terbahagi kepada empat kuadran iaitu, Expansion (Pengembangan); Slowdown (Penurunan); Recession (Kemelesetan) dan Recovery (Pemulihan), katanya pada majlis pelancaran Statistik Eksport Import Malaysia Mengikut Negeri dan MBCC, di sini, hari ini.

MBCC, katanya turut menggambarkan secara visual Indeks Serentak yang digunakan sebagai ukuran komprehensif terhadap ekonomi semasa serta gambaran kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar bulanan.

“Indeks Serentak September 2019 berada pada fasa 'slowdown’ yang menandakan ekonomi bertumbuh perlahan pada September 2019,”katanya.

Mohd Uzir berkata pembangunan MBCC telah meletakkan Malaysia setanding dengan inisiatif National Statistical Office yang hanya dikeluarkan di beberapa negara maju seperti Belanda, Korea dan Pertubuhan bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Dalam pada itu, katanya, berdasarkan Statistik Eksport Import Malaysia Mengikut Negeri, terdapat empat negeri yang menguasai eksport bagi tempoh Januari hingga September tahun ini iaitu Pulau Pinang (28.4 peratus); Johor (20.2 peratus); Selangor (19.8 peratus) dan Sarawak (8.3 peratus).

Bagi import pula, Selangor merupakan penyumbang terbesar sebanyak 27.5 peratus diikuti Pulau Pinang (21.1 peratus); Johor (20.4 peratus) dan Kuala Lumpur (8.7 peratus).

Eksport dan import di Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2019 mencatatkan pertumbuhan negatif iaitu RM728.5 bilion berbanding RM736.8 bilion (penurunan 1.1 peratus) dan RM627.7 bilion berbanding RM649.3 bilion (penurunan 3.3 peratus) bagi tempoh yang sama pada 2018.

Sumber: Bernama

Post a Comment

0 Comments