MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Memerlukan Bantuan Pembiayaan Pengajian

KOTA BHARU: Hiba hatinya setiap kali menerima panggilan daripada anak yang kerap meluahkan hasrat untuk berhenti belajar di Timur Tengah disebabkan kekangan kewangan.
Itu masalah dialami Salma Ismail, 56, dari Wakaf Stan, di sini, yang buntu memikirkan bagaimana lagi ikhtiarnya bersama suami, Saadun Sani, 57, untuk menanggung pengajian anak mereka, Fatnin Afiqah Saadun, 25, di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Salma berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu kini melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan sedang berada di tahun kelima, namun menghadapi masalah dalam melunaskan yuran pengajian sebanyak RM35,000 setahun.
“Memang Fatnin ada mengambil pinjaman pengajian tetapi hanya RM21,000 setahun dan ia juga bergantung kepada kecemerlangan yang mana jika ‘mata’ tidak menepati kehendak pihak peminjam, pinjaman langsung tidak diteruskan.
“Untuk tahun ini, Fatnin menghadapi masalah kerana tidak memperoleh pinjaman dan saya terpaksa menebalkan muka meluahkan masalah kepada beberapa rakan dan mereka menguar-uarkan masalah saya itu kepada umum.
“Alhamdulillah, akhirnya jumlah sebanyak RM35,000 dapat dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai dan yuran pengajian yang sepatutnya dibuat setiap awal tahun itu baru dijelaskan dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Salma berkata, kekangan kewangan itu dihadapi selepas suaminya diserang angin ahmar sejak tiga tahun lalu yang memaksa Saadun berhenti kerja di sebuah syarikat juruukur.
Saadun kini hanya mengajar kanak-kanak di kampung itu mengaji al-Quran di masjid dengan upah RM200 sebulan manakala Salma pula menjadi tenaga pengajar di sebuah tadika di sini dengan pendapatan bulanan RM800.
Katanya, semua simpanan serta wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik suaminya sudah habis digunakan untuk membiaya pengajian Fatnin yang kini menjalani latihan di sebuah hospital di Kaherah.
“Setiap bulan apabila menerima gaji, saya terus mengirimkan kepada anaknya sebagai perbelanjaan di sana dan dalam masa sama Fatnin turut menjalankan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual tudung serta membuat kuih-muih.
“Setiap kali Fatnin meluahkan hasrat untuk berhenti belajar, saya akan menasihatinya supaya bertahan kerana tempoh pengajian hanya berbaki satu tahun setengah sahaja lagi.
“Saya sebagai ibu perlu terus memberikan sokongan bagi mengelakkannya tertekan walaupun kami di sini juga bingung bagaimana lagi harus mencari ikhtiar untuk mencari sumber kewangan bagi membayar yuran pengajiannya tahun depan,” katanya yang turut menanggung dua anaknya lagi yang masih bersekolah.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun bank HSBC milik Salma iaitu 060-006004-108 atau menghubunginya di talian 0196721817

Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments