MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

UBS Cawangan Singapura Menyatakan Prospek Ekonomi Malaysia Kekal Positif



Bank gergasi Switzerland, Union Bank of Switzerland (UBS) cawangan Singapura hari ini 24 April 2019 membuat kenyataan dan mengakui pegawainya, bernama Kelvin Tay memegang jawatan sebagai ketua pegawai pelaburan serantau bank UBS melakukan kesilapan berhubung penilaian ekonomi negara Malaysia memiliki defisit akaun semasa, dalam wawancara secara “live” bersama Bloomberg pada yang 11 April 2019 dengan David Ingles sebagai pengacaranya.

Kelvin Tay dari UBS Global Wealth Management memberikan pandangan yang sangat negatif ke atas ekonomi Malaysia berdasarkan fakta-fakta yang secara terang-terangan adalah salah dan berat sebelah dilaporkan secara meluas.

Negara Malaysia sebaliknya mempunyai lebihan akaun semasa (nilai jumlah eksport melebihi import) selama lebih 20 tahun. Ini dapat dibuktikan pada tahun 2018, Malaysia mencatat lebihan akaun semasa sebanyak 2.3 peratus daripada KDNK. Memandangkan lebihan perdagangan Malaysia yang sihat setakat ini, baki akaun semasa negara akan kekal berlebihan untuk tahun 2019.

Walau bagaimanapun, Malaysia mengalami defisit fiskal, sesuatu yang lazim bagi negara-negara membangun. Bagi tahun 2018, defisit adalah 3.7 peratus daripada KDNK, sementara ini diunjurkan jatuh kepada 3.4 peratus pada tahun ini. Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng juga menjangkakan defisit fiskal akan menurun lagi kepada 3 peratus menjelang 2020 dan kurang daripada 2.8 peratus untuk 2021.

Kelvin Tay juga mendakwa hasil minyak Malaysia menyumbang 30 peratus daripada KDNK Malaysia.

Kenyataan ini disangkal dengan pencerahan Malaysia diiktiraf oleh agensi penarafan dan komuniti pelaburan sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian ekonomi dengan perlombongan (termasuk sektor minyak dan gas), pembuatan dan perkhidmatan masing-masing menyumbang sebanyak 7.9 peratus, 23.0 peratus dan 55.5 peratus kepada KDNK 2018.

Bank UBS juga menjelaskan bahawa Kelvin Tay telah secara salah menyatakan bahawa penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh Putrajaya akan menyebabkan pergantungan yang lebih tinggi terhadap hasil minyak. 

Penguguman oleh menteri kewangan Malaysia dalam ucapan belanjawannya, dividen khas sebanyak RM30 bilion yang ditawarkan oleh Petronas itu adalah untuk membantu kerajaan dalam pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion yang tidak didedahkan oleh pemerintahan BN di bawah pentadbiran Dato Najib Razak mantan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

Malah, hasil minyak dan gas sebagai peratusan daripada jumlah hasil kerajaan telah menurun sejak beberapa tahun lalu, dengan kemuncaknya pada tahun 2008 iaitu pada 44 peratus.

Ketua komunikasi korporat UBS Singapura, Adeline Lee menjelaskan bahawa Kelvin Tay, telah membuat kesilapan kerana tempoh wawancara "live" yang singkat dengan Bloomberg.

Sehubungan itu beliau berkata bank itu "kesal dengan sebarang salah faham" hasil daripada wawancara tersebut.

Penilaian dilakukan Tay itu dibuat ketika banyak laporan berita menegaskan keadaan pasaran saham Malaysia kurang baik berbanding negara-negara jirannya. 

Sehubungan dengan itu Gergasi perbankan Switzerland, UBS cawangan Singapura membuat penilian semula dan membuat pencerahan dalam kenyataan negara Malaysia kekal  positif terhadap prospek ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang dan pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK) bagi 2020 dianggarkan pada kadar antara 4.6 ke 5 peratus.

Pada suatu kenyataan hari ini, UBS cawangan Singapura berkata semakin baik ekonomi China, maka semakin meningkat eksport Malaysia. Kenyataan ini merujuk hubungan dua hala negara China dan negara Malaysia bertambah baik dengan persefahaman persetujuan projek ECRL dan pembelian produk berasaskan minyak kelapa sawit serta jemputan Presiden China terhadap Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ruangan “Layan Khas oleh negara China” baru-baru ini.

UBS juga telah menaik taraf jangkaan ringgit (berbanding dolar AS) untuk tempoh 3, 6 dan 12 bulan kepada RM4.05 daripada RM4.15 sebelum ini, kenyataan yang dikeluarkan oleh  Pengurus Komunikasi Korporat UBS Adeline Lee.

Bagi prestasi pasaran saham Malaysia, Adeline Lee menjelaskan pasaran saham negara Malaysia kekal bertahan di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran global.

"Apabila pasaran ekuiti global semakin baik hasil daripada kitaran ekonomi yang sampai ke penghujungnya, sebuah pasaran yang bertahan seperti Malaysia akan lebih menarik untuk peluang pelaburan," kata Lee.

Penjelasan daripada Lee ini merupakan sebahagian daripada sebaran akhbar UBS bagi memperbetul kan kesilapan penilaian Kelvin Tay mengenai ekonomi Malaysia pada wawancara bersama Bloomberg.

Sumber: Malaysiakini dan Penulis sendiri













Post a Comment

0 Comments