MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Pelanjutan Tempoh Penguatkuasaan Pendidikan Merokok

Pada 1 Januari 2019 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewartakan semua restoran, tempat makan dan premis makanan di Semenanjung Malaysia, manakala Sabah melaksanakan peraturan itu mulai 1 Feb 2019 dan Sarawak 1 Mac 2019 sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983. Namun tempoh mendidik selama enam bulan bermula Januari 2019 sehingga Julai 2019 diberikan sebelum kompaun dikeluarkan.

Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan pada hari ini 25 April 2019 melanjutkan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan di restoran, tempat makan dan premis makanan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok selama enam bulan lagi hingga Disember 2019.




Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pelanjutan dibuat bagi membolehkan kerajaan meningkatkan usaha membantu orang ramai berhenti merokok kerana memahami kesukaran mereka berbuat demikian dan juga bertujuan memberi pengetahuan serta kesedaran mengenai bahaya kesan merokok,  termasuk memberi pencerahan berkenaan kawasan - kawasan yang terbabit dengan larangan merokok.

Pada 16 April 2019 Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada 10  Kementerian dan satu wakil daripada bukan kerajaan (NGO) mencapai kata putus bersetuju dalam cadangan pelanjutan tempoh akriviti penguatkuasaan pendidikan.

Jawatankuasa juga memutuskan peruntukan tambahan dipohon kepada Jemaah Menteri supaya kumpulan perokok ini dibantu untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok  program mQuit.

Sila klik: mQuit

KKM juga berpendapat kesan daripada penguatkuasaan pendidikan dijalankan sebelum ini memberikan impak yang sangat positif, mendorong pelanjutan tempoh penguatkuasaan terbabit.

Namun begitu, sepanjang tempoh penguatkuasaan pendidikan dijalankan, KKM maklum terdapat perokok masih lagi merokok di tempat makan/premis makan/restoran yang diwartakan sebagai kawasan larangan.

Walaubagaimanapun usaha ini memperlihatkan kesan yang positif melalui tinjauan yang dibuat oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia pada 1 April hingga 17 April lalu itu membabitkan 173 tempat makan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapati sebahagian besar masyarakat sudah tidak lagi merokok di kawasan larangan.

Hasil tinjauan tersebut:-
  1. secara purata 170 (98 peratus) tempat makan /restoran/premis makanan tidak menyediakan tempat abu rokok di dalam kawasan yang diwartakan.
  2. Sebanyak 131 (76 peratus) tempat makan/restoran/premis makanan ini mempunyai tanda larangan yang jelas. " seperti "Dilarang Merokok".
  3. Sebanyak 104 (60 peratus) tempat makan adalah 100 peratus bebas daripada sebarang aktiviti merokok.
  4. Sebanyak 69 (40 peratus) tempat makan lagi hanya mempunyai tidak lebih daripada tiga orang merokok.
Impak positif juga dapat dilihat berkaitan bilangan perokok berdaftar untuk berhenti merokok di laman web jomquit.moh.gov.my yang mana jumlah puratanya meningkat kepada 580 orang bermula Januari hingga April 2019, berbanding 428 orang bagi beberapa tahun sebelumnya.

Di bawah juga dikongsikan hukuman kesan tidak mematuhi penguatkuasaan undang-undang/Akta/Peraturan larangan merokok.

Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok, pesalah yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih setahun.

Di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Mengenai Akta Kawalan Tembakau yang sedang dirangka Kementerian Kesihatan merangkumi kawalan ke atas rokok elektronik dan vape, penjualan cecair rokok elektronik dan vape yang mengandungi nikotin adalah tertakluk di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Jika ia (cecair) mengandungi nikotin, penjual tidak sepatutnya jual kerana mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.

Larangan itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun bagi mereka yang didapati melanggar Peraturan 11, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008.

Peraturan 12 pula memperuntukkan semua pemilik, pengusaha atau tuan punya premis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Sumber : Akhbar tempatan dan Penulis sendiri 


Post a Comment

0 Comments