MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Syafaat Rasulullah SAW Di Padang Mahsyar



SYAFAAT bererti “memohon pertolongan atau mengharapkan sesuatu yang boleh membantu ketika diri berada di saat kesukaran”. 


Ketika berada di Padang Mahsyar, manusia berada di dalam keadaan yang mengelirukan, penuh dengan hiruk-pikuk dan kacau-bilau tanpa mengira kedudukannya ketika di dunia dahulu.


Menerusi riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW menceritakan apabila manusia berada di dalam keadaan saling bertengkar dan pelbagai rupa di Padang Mahsyar, akhirnya mereka bertanya di antara satu sama lain berapa lamakah mereka akan berada di dalam keadaan itu ?

Masing-masing meluahkan keinginan untuk mencari syafaat yang boleh menyelamatkan mereka pada ketika itu. 

Akhirnya mereka membuat keputusan untuk meminta bantuan dari Nabi Adam AS.


Menurut Rasulullah, kelopok manusia yang berani mencari Nabi Adam AS untuk memohon syafaat daripada Baginda adalah di kalangan para ulama yang hidup selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.


Kelompok ulama ini akan bergerak mencari Nabi Adam AS dan apabila mereka bertemu dengan Baginda, mereka berkata kepadanya agar memohon kepada Allah agar mengadili manusia yang berada di Padang Mahsyar pada ketika itu. Nabi Adam tidak berani berbuat demikian kerana merasa dirinya pernah melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah dan meminta mereka meminta pertolongan daripada Nabi Noh AS.


Manusia mula bergerak di Padang Mahsyar mencari Nabi Noh selama lebih kurang seribu tahun dan setelah bertemu dengannya, Baginda berkata bahawa dia sangat takut kepada Allah dan belum pernah berasa takut sedemikian sebelum ini kerana Baginda pernah berdakwah di kalangan kaumnya tetapi tidak ada yang mahu mengikutinya malah berpaling daripada ajaran yang dibawanya.


Nabi Noh AS meminta mereka agar memohon bantuan daripada Nabi Ibrahim AS.


Pencarian golongan manusia di Padang Mahsyar itu berterusan selama seribu tahun lagi, namun apabila bertemu Nabi Ibrahim, Baginda berkata dirinya tidak mampu membantu kerana merasa dirinya pernah melakukan kesilapan kepada Allah dan mencadangkan kelompok manusia itu mencari Nabi Musa AS untuk membantu mereka.


Setelah seribu tahun kemudian mereka bertemu dengannya tetapi Baginda juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana pernah melakukan kesilapan dahulu dan meminta mereka mencari Nabi Isa AS dan setelah  seribu tahun, mereka bertemu dengannya namun Baginda juga tidak berani membantu kerana sangat takut dengan kemarahan Allah pada ketika itu yang tidak pernah dihadapinya sebelum ini kemudian Nabi Isa meminta kelompok manusia tersebut untuk memohon bantuan daripada Nabi Muhammad SAW.


Di sepanjang pencarian Baginda, kelompok manusia berada di dalam keadaan rupa yang berbeza-beza. 


Apabila bertemu dengan Rasulullah, mereka berkata :-

“Ya Rasulullah, kami sudah lama berada di Padang Mahsyar ini. Tolonglah berdoa dengan menggunakan syafaat yang ada padamu, agar Allah mempercepatkan pengadilan kita sebelum dihisab di sisi-Nya.”


Baginda mula sujud, lalu Allah bertanya melalui malaikat walaupun mengetahui sebabnya kenapa Rasulullah berbuat demikian.


Malaikat menjawab,

“Ya Allah, sesungguhnya Muhammad itu mengharapkan sesuatu daripada-Mu.”


Rasulullah bersujud sambil menangis dan merayu,

“Ya Allah tolonglah lakukan sesuatu untuk mengadili umatku ini.”


Lalu Allah memerintahkan agar umat Baginda yang belum dihisab, masuk ke dalam syurga melalui pintu yang terletak di sebelah kanan.


Menurut Rasulullah SAW mereka yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab adalah di kalangan manusia yang semasa hidupnya di dunia dahulu tidak pernah mendapatkan bantuan bomoh yang mempunyai amalan yang mensyirikkan Allah.


Selain itu mereka juga tidak pernah menjadi bomoh, tidak mempercayai perkara-perkara yang membawa sial dan hidup sentiasa bertawakal kepada Allah.


Pada hari akhirat nanti para nabi dan rasul akan berada di atas mimbar, dan para ulama akan berada di atas mimbar yang lebih kecil dan duduk di atas kerusi yang bercahaya manakala para syuhada dan orang-orang yang soleh berada di atas bukit pasir yang berbau harum, para ulama yang duduk di atas kerusi bercahaya itulah yang  akan memohon syafaat daripada Rasulullah bermula dari Nabi Adam AS hingga Nabi Muhammad SAW.



Riwayat Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah,

“Siapakah orang yang paling gembira apabila mendapat syafaat daripada kamu pada hari Kiamat kelak, ya Rasulullah?”


Baginda menjawab,

“Wahai Abu Hurairah, aku fikir bahawa tidak ada seorang pun yang akan bertanya kepadaku soalan ini, orang yang paling gembira adalah mereka yang mengucapkan laila illallah muhammadur rasulullah dengan tulus ikhlas daripada hatinya dan berusaha menjauhkan apa yang di larang oleh Allah SWT.”


Qadi bin Iyat berkata ada lima syafaat Rasulullah SAW  iaitu syafaat umum bagi seluruh umat manusia, syafaat kedua ialah untuk memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa dihisab terlebih dahulu, syafaat ketiga ialah untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa dari memasuki neraka, syafaat keempat untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa dari dalam neraka dengan syafaat Rasulullah, para nabi lain, malaikat dan orang yang beriman dan yafaat kelima ialah untuk meninggikan darjat penghuni syurga.



Sumber/ Kredit: @JomMubasabahDiri 


Post a Comment

0 Comments