MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Mencegah Penyakit Berjangkit

 


Mencegah Penyakit Berjangkit


عَنْ ابْنِ شِهَابٍ أَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ يُحَدِّثُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا عَدْوَى وَيُحَدِّثُ مَعَ ذَلِكَ لَا يُورِدُ الْمُمْرِضُ عَلَى الْمُصِحِّ


Daripada Ibnu Syihab; telah mengkhabarkan kepadaku Abu Salamah bin 'Abdur Rahman dia mendengar Abu Hurairah RA berkata; Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak ada penyakit yang menular secara sendirian.' Juga baginda bersabda:  Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat.”  (HR Muslim No:  2221) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Di antara ajaran Nabi SAW apabila berhadapan dengan masalah penyakit berjangkit seperti Covid 19 adalah melalui langkah pencegahan. 


2.  Menjadi tanggungjawab setiap individu dan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan. Bagi mengelakkan penyakit berjangkit seperti Covid 19, perlu  mengelakkan diri dari berada ditempat-tempat awam, lebih-lebih lagi di kawasan yang telah dikenalpasti ada penularan wabak tersebut. 


3.  Nabi SAW juga telah memerintahkan agar melakukan kurantin. Mereka yang berada di tempat yang telah menular wabak, tidak keluar dari kawasannya. Mereka yang sihat pula diperintahkan untuk tidak memasuki tempat yang terkena wabak. Sabda Rasulullah SAW:


 إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ


 “Apabila kamu mendengar (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (HR Muslim no: 2219)


4.  Al-Quran mengingatkan agar setiap kita tidak mendedahkan diri dengan sesuatu yang boleh membawa kepada musibah dan kebinasaan. Hal ini termasuk dalam perkara maqasid syariah iaitu memelihara nyawa. Firman Allah:


لَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ


“Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…” Surah Al-Baqarah (195)


Setiap perkara yang membawa kepada kebinasaan dalam agama mahupun dunia, maka ia termasuk dalam makna ayat ini.  (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 1/367). Kebinasaan disini termasuk memelihara nyawa daripada wabak Covid-19. 


5.  Bagi mengelakkan penularan wabak virus Covid 19, beberapa langkah perlu sentiasa diambil oleh setiap orang antaranya:


–  Elakkan berada di tempat tumpuan ramai

–  Tinggal di rumah

–  Sentiasa memakai mask apabila berada di tempat awam dan berhubung dengan orang lain.

–  Kerap cuci tangan

–  Jaga kebersihan diri

–  Ikut arahan KKM dan pihak berkuasa dari semasa ke semasa


Kredit: @islamitu_indah

Gambar: Pinterest

Post a Comment

0 Comments