MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Biodata Tuan Guru Datuk Haji Ismail Haji Abbas

 

#JejakDaie (29)


Almarhum Tuan Guru Datuk Haji Ismail Haji Abbas yang meninggal dunia semalam - jumaat 12 Februari 2021 jam 1.30 petang, dilahirkan di Kg Permatang Tok Gelam, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1 Februari 1931.


Pada tahun 1937, beliau memasuki Sekolah Rendah Atap Permatang Tok Jaya dan berhenti pada tahun 1941 kerana bermula penaklukan tentera Jepun di Tanah Melayu. Semasa itu, beliau sempat belajar di Sekolah Jepun di Kepala Batas selama dua tahun. 


Pada tahun 1945, beliau menyambung pelajaran di Madrasah al-Falah Kepala Batas. Pada tahun 1951, dengan dorongan yang kuat untuk mendalami ilmu agama, beliau bertolak ke Mekah dan menyambung pengajian di Madrasah Darul Ulum. 


Pada tahun 1958, beliau berjaya memperolehi syahadah aliah iaitu sijil peringkat tertinggi di madrasah tersebut. Oleh kerana beliau berjaya dengan cemerlang, beliau ditawarkan mengajar di madrasah tersebut. 


Beliau berkhidmat selama dua tahun sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Madinah pada tahun 1961 dan berjaya Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah pada tahun 1970. 


Pada awal tahun 1971, Tun Datu Mustapha telah membawa Datuk Haji Ismail bersama seluruh keluarganya ke Sabah. Pada bulan Februari, beliau mula bertugas di Sekolah Ugama Islam (SUI) Kota Kinabalu. 


Selepas enam bulan, beliau dipindahkan ke SUI Kg Karamunting Baru Sandakan dan dilantik sebagai guru besar. Pada waktu siang beliau mendidik di sekolah, manakala sebelah malam meneruskan aktiviti dakwah di masjid dan surau di sekitar Sandakan. 


Pada tahun 1973, beliau dipindahkan ke Kota Kinabalu dan dilantik sebagai pegawai agama di Bahagian Persekolahan MUIS. Bersama rakan-rakannya mereka menggembleng idea dan tenaga bagi meningkatkan minat anak-anak tempatan mempelajari Islam dengan lebih mendalam. 


Akhirnya tercetuslah idea daripada Datuk Haji Ismail dan rakan-rakannya untuk mengusulkan pembinaan Sekolah Menengah Ugama Islam (SMUI) Toh Puan Hajjah Rahmah di Sembulan Kota Kinabalu. 


Nama sekolah diambil sempena isteri Tun Datu Mustapha kerana sumbangan Tun yang mewakafkan tanah bagi pembinaan sekolah tersebut. Sekolah ini mula beroperasi pada tahun 1975 dengan jumlah seramai 21 orang pelajar tingkatan empat. 


Pada peringkat awal, pegawai-pegawai MUIS sendiri telah mengajar di sekolah ini mengikut jadual. Antaranya ialah Datuk Haji Ismail sendiri mengajar Tauhid dan Nahu Soraf dan Datuk Haji Ahmad Othman mengajar Fekah.


Penghujung 1976, Datuk Haji Ismail dilantik sebagai Timbalan Mufti Negeri Sabah dan sempat berkhidmat di bawah tiga orang mufti iaitu Haji Muhammad Ahmad, Haji Said Ibrahim dan Datuk Haji Ahmad Idris. 


Pada tahun 1988, beliau dilantik secara rasmi sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sabah sehingga bersara pada tahun 1999. 


Sementara itu, sekitar awal tahun 80an, beliau membuka kelas pengajian agama di Masjid Jamek Kg Likas selepas maghrib dan subuh. Antara kitab yang digunakan ialah Aqidatun Najin, Minhajul Abidin, Sairus Salikin dan Matlaul Badrain. 


Kuliah ini berlangsung setiap hari kecuali malam jumaat dan hujung minggu, dan tidak pernah berhenti kecuali beliau berada di luar kawasan. Oleh kerana masalah kesihatan, sejak 2010 beliau tidak lagi mengajar di masjid ini. 


Antara buah tangan dakwah beliau ialah program dakwah berterusan pada tahun 80an di Kg Rosok Kota Belud yang awalnya merupakan perkampungan masyarakat berbangsa Dusun bukan Islam. 


Usaha beliau bersama anak angkatnya bernama Haji Ahmad Yakin dan jemaah Masjid Kg Likas menarik minat penduduk terhadap Islam. Kini sekitar 80 peratus penduduk telah memeluk Islam. 


Pada pertengahan 90an, beliau juga membeli sebidang tanah seluas tiga ekar di Kg Manggis Menumbok untuk diwakafkan bagi pembinaan sebuah masjid yang telah siap pada Julai 2010. 


Dengan kedudukan masjid berkenaan yang strategik di tepi jalan memudahkan penduduk kampung untuk solat berjemaah dan juga para musafir dari Labuan ke Kota Kinabalu atau sebaliknya untuk singgah di masjid ini. 


Datuk Haji Ismail juga mempunyai kemahiran dalam penulisan khat. Antara peninggalannya ialah ukiran khat yang indah di Masjid Negeri Sabah. Ini adalah hasil usaha beliau bersama penulis khat yang diundang dari Mesir. 


Demikian sedikit coretan berkenaan Almarhum Tuan Guru Datuk Haji Ismail Abbas. Beliau telah memberikan separuh hayatnya untuk perkembangan dakwah Islam di Sabah. 


Pemergiannya pada tengah hari jumaat pada 12 Februari 2021, dalam usia 90 tahun bertepatan dengan tarikh yang sama pemergian Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz (1931-2015) dan asy-Syahid Hassan al-Banna (1906-1949). 


*****


Antara rujukan ialah Tesis Sarjana Pengajian Islam Ustazah Hamidah Haji Usman - "Ketokohan Datuk Haji Ismail Abbas Dalam Kegiatan Dakwah dan Fikah Di Sabah". Selain itu kenangan perbualan peribadi dengan Almarhum dan persahabatan yang lama dengan keluarganya.


Sumber: Aplikasi Pengguna WhatsApp

Post a Comment

0 Comments