MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Kempen Hari Jumaat Sebagai Hari Jawi



Kerajaan telah memutuskan hari Jumaat sebagai Hari Jawi dalam usaha memartabatkan tulisan ini.

Pada tanggal 10 Julai 2020 yang lalu, YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah mengisytiharkan bahawa Hari Jumaat sebagai Hari Jawi bagi membuktikan keseriusan pihak kerajaan dalam usaha memperkasakan 
serta memartabatkan tulisan Jawi di peringkat nasional. Usul ini juga disokong sepenuhnya oleh barisan Ahli-Ahli Jemaah Menteri dalam satu Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2020.

Umum mengetahui bahawa tulisan Jawi telah diiktiraf di dalam Perlembagaan Persekutuan dalam seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963 / 67 : “Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu,
yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan”. Tulisan Jawi juga merupakan bahasa perantara yang penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perdagangan dan urusan seharian masyarakat sejak dahulu lagi.


Kempen ini dilihat sebagai salah satu usaha yang sangat baik bagi mengekalkan dan memperkasakan tulisan Jawi itu sendiri.

Penglibatan secara langsung pihak kerajaan dalam usaha ini merupakan suatu keperluan dan seolah memberi nafas semula kepada tulisan Jawi kerana pihak kerajaan merupakan pihak yang paling berautoriti dalam struktur negara Malaysia.

Kempen ini dimulakan dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yakni penggunaan tulisan Jawi pada kepala surat rasmi (letterhead) bagi urusan rasmi bermula 10 Julai 2020.

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri juga mengajak serta menyeru semua pihak terutamanya pihak kementerian, jabatan, agensi dan badan kerajaan untuk memperluaskan penggunaan tulisan Jawi di kesemua platform media sosial sebagai satu usaha memelihara salah satu daripada warisan negara yang tercinta ini. Badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat awam turut diseru agar usaha ini dapat dilakukan bersama-sama oleh seluruh lapisan masyarakat.

Kami menyokong penuh terhadap kempen “Hari Jumaat Hari Jawi” dan sebarang usaha bagi memperkasakan dan memartabatkan tulisan Jawi daripada pihak kerajaan mahupun pihak-pihak yang lain. Kami melihat kempen ini antara langkah awal yang diambil oleh pihak kerajaan agar tulisan Jawi ini terus terpelihara dan tidak hilang dek ditelan zaman. Kami juga menyeru dan mengajak semua pihak terutamanya mahasiswa dan mahasiswi UM agar menyambut baik usaha ini dengan memperluaskan penggunaan tulisan Jawi di mana-mana medium media sosial.


Sumber: DBP & @Neo_SiswaUM

Post a Comment

0 Comments