MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Pelantikan Timbalan Gabenor Dan Penolong Gabenor BNM Baharu



Bank Malaysia ingin mengumumkan hari ini bahawa Menteri Kewangan telah meluluskan pelantikan Encik Marzunisham Omar sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Jun 2020 serta pelantikan Dr. Norhana Endut sebagai Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia.

Sebagai Timbalan Gabenor, Encik Marzunisham akan memantau keseluruhan bidang pengurusan korporat Bank, termasuk mata wang dan kewangan, digital dan teknologi, modal insan dan perkhidmatan korporat. Beliau juga akan menjadi Timbalan Gabenor yang bertanggungjawab atas Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan. Encik Marzunisham akan menjadi ahli Lembaga Pengarah dan akan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa Bank, antaranya ialah Jawatankuasa Pengurusan, Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko. Beliau juga akan menjadi pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (National Coordination Committee to Counter Money Laundering, NCC).

Encik Marzunisham memulakan kerjaya beliau di Bank Negara Malaysia pada tahun 1993 dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana serta Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada University of Cambridge, United Kingdom. Beliau mempunyai pengalaman selama 27 tahun dalam pelbagai bidang Perbankan Pusat yang merangkumi ekonomi dan dasar monetari, pengawalan dan pembangunan sektor kewangan, rangkuman kewangan dan pembangunan organisasi. Antara tahun 2015 hingga 2017, Encik Marzunisham berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Southeast Asia Voting Group Constituency di Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF).

Bank Negara Malaysia juga ingin mengumumkan pelantikan Dr. Norhana Endut sebagai Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia.

Dr. Norhana akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Ekonomi, Dasar Monetari, Pengurusan Data & Statistik serta Jabatan Antarabangsa.

Sebelum pelantikan ini, Dr. Norhana telah berkhidmat di Jabatan Ekonomi dan Jabatan Dasar Monetari. Beliau merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi daripada Washington University, Amerika Syarikat, serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada University of Warwick, United Kingdom.


Sumber: https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=bm_press&pg=bm_press&ac=5064&lang=bm

Post a Comment

0 Comments