MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Kecemerlangan pengurusan sijil halal




Info Akhbar Halal Malaysia

Kecemerlangan pengurusan sijil halal

RAMAI pemain industri halal menyangka urusan halal hanya termaktub dalam perundangan negara pada awal 1970-an.

Sebenarnya prinsip halal sekian lama menjadi sebahagian daripada amalan masyarakat Melayu-Islam, malah terakam dalam kanun kesultanan Melayu.

Sejak awal sejarah perundangan kesultanan Melayu Melaka, Pahang dan Terengganu mencatat dengan jelas dalam kanun negeri masing-masing mengenai pengawalan tatacara aktiviti ekonomi dan perniagaan menepati dasar patuh syariah melibatkan halal haram.

Kanun berkenaan melarang transaksi perkara yang diharamkan syarak seperti judi, arak, tuak, anjing dan babi serta perkara berkaitan yang dianggap suatu kesalahan. Malah orang Melayu sangat sensitif apabila menyentuh isu halal haram kerana terikat dengan kepercayaan dan hukum hakam agama mereka.

Dalam konteks pensijilan halal hari ini di Malaysia berlangsung selama lebih 40 tahun. Ia bermula pada 1971 dengan mengambil kira cadangan dalam MKI dan Akta Perihal Dagangan 1972. Pada awalnya, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) JPM hanya mengeluarkan sekeping surat rasmi menyatakan pengesahan halal.

Pengesahan ini tertumpu kepada makanan dijual di restoran dan haiwan sembelihan dijual di pasar terbuka dengan dua perkataan yang terkenal "Ditanggung Halal".

Kalangan penyembelih juga didaftar dan ditauliahkan di bawah pihak berkuasa agama. Pengesahan halal bertujuan menjaga kepentingan orang Islam supaya tidak termakan atau menggunakan barangan haram dan syubhah kerana Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama.

Ini kerana kebanyakan peniaga dan pengeluar terdiri daripada bukan Islam. Manakala rata-rata masyarakat Melayu Muslim sebagai pengguna, petani dan penjawat awam. Situasi inilah yang mendesak pihak berkuasa agama mencari jalan supaya hak masyarakat Islam dilindungi.

Perkara ini sudah dibincang Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada Disember 1971 dengan melihat keutamaan kemaslahatan masyarakat Islam sentiasa terjamin.

Sungguhpun MKI sudah merekodkan laporan pengeluaran sijil halal terhadap syarikat pemohon, tetapi pengesahan halal dibuat tanpa sistem pensijilan dan standard yang lengkap serta bersifat domestik.

Pengesahan halal berjalan mengikut pendekatan negeri masing-masing tanpa logo, manual prosedur dan standard yang seragam.

Evolusi dan pembaharuan pengurusan sijil halal terus berlaku. Permohonan halal tidak lagi terikat dengan lokasi pasaran sama ada bagi domestik atau antarabangsa.

Sebaliknya permohonan boleh dibuat melalui dalam talian mengikut lokasi syarikat industri di negeri masing-masing dan JAKIM akan mengeluarkan sijil halal yang standard dengan satu logo.

Titik mula penyeragaman mula kelihatan apabila Akta Perihal Dagangan 2011 membuat pindaan secara rasmi apabila memasukkan JAKIM dan MAIN sebagai dua badan berautoriti di Malaysia yang bertanggungjawab terhadap pensijilan halal di Malaysia.

Melalui penyeragaman ini, banyak perkara dapat diselaraskan, bukan sahaja peraturan dalam pensijilan tetapi juga memberi kemudahan kepada industi pengeluar.

Ini menaikkan lagi imej Malaysia sebagai pelopor pensijilan halal dunia dan pada masa sama memberi keyakinan kepada masyarakat pengguna terhadap kualiti barangan yang membawa jenama halal.

Malahan produk halal menjadi pilihan pengguna bukan Islam yang yakin kepada kualiti dan keselamatan yang disahkan halal.

Pensijilan halal menjadi sangat penting kepada industri pengeluar apabila ia menjadi salah satu piawaian kepada produk keperluan umat Islam yang berjumlah lebih 1.7 bilion.

Piawaian halal bukan hanya merujuk kepada MPPHM (Manual Prosedur Persijilan Halal Malaysia) yang dikeluarkan JAKIM, malah diperincikan seperti makanan, minuman, rumah sembelih, kosmetik, pergudangan dan peranti perubatan.

Piawaian ini diterjemahkan dalam bentuk Standard Malaysia yang dikeluarkan Jabatan Standard Malaysia yang berjaya diterbitkan sebanyak lapan siri khusus mengenai produksi halal.

Amalan di Malaysia, sungguhpun sijil halal hanya sebagai pilihan kepada syarikat, tetapi permintaannya sangat menggalakkan setaraf dengan keperluan sistem mata kawalan analisis kritikal (HACCP) dan amalan pengilangan baik (GMP) dalam industri pengeluaran.

Di Malaysia, pasaran industri halal mampu menjana ekonomi negara dianggarkan RM45 bilion menyebabkan pengusaha berebut mendapatkan sijil halal.

Industri halal terus berkembang maju khususnya makanan kini menjadi kelas aset dalam komuniti pelaburan menerusi indeks makanan semenjak 2011. Dalam tempoh tiga tahun terakhir ini 2017-2019, sejumlah 12,843 syarikat berjaya memperolehi sijil halal.

Pensijilan halal Malaysia sangat berpengaruh di dunia, di samping perbankan Islam, sukuk, takaful dan pengurusan haji. Impak besar ini menunjukkan keupayaan MKI sebuah badan starategik bukan sahaja menjaga kepentingan umat Islam, malah memberi manfaat dan rahmatnya dikongsi bersama merentasi sempadan agama, bangsa dan negara.

*Penulis adalah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dasar Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

(Sumber:- Harian Metro, 23 Jun 2020)
https://www.hmetro.com.my/addin/2020/06/592597/kecemerlangan-pengurusan-sijil-halal





Post a Comment

0 Comments