MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Untung Bersih TNB Meningkat 18.7 Peratus Kewangan Berakhir Pada 31 Disember 2019





28 Februari 2020. Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 18.7 peratus kepada RM4.45 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (TK2019) berbanding RM3.75 bilion pada 2018.

Pendapatan kumpulan meningkat 1.1 peratus kepada RM50.94 bilion daripada RM50.39 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pencapaian itu didorong terutamanya oleh rosot nilai yang lebih rendah dan sumbangan positif daripada subsidiari antarabangsa TNB yang direkodkan pada TK2019.

“Penjualan elektrik kumpulan meningkat 3.5 peratus dalam tempoh pelaporan kepada RM49.02 bilion, daripada RM47.36 bilion pada 2018. Dari segi Gigawatt jam (GWh), jualan elektrik berkembang sebanyak 2.7 peratus kepada 123,252.0 GWh, sejajar pertumbuhan permintaan sebanyak 2.7 peratus di Semenanjung Malaysia, pada tempoh yang sama.

“Prestasi kewangan TNB ini 'munasabah' walaupun Bahagian Penjanaan TNB menghadapi cabaran operasi pada suku terakhir, menyebabkan sumbangan lebih rendah kepada kumpulan.

“Pada suku keempat, dua loji janakuasa arang batu TNB, iaitu KEV (Unit 6) dan TNB Janamanjung (Unit 2), mengalami gangguan bekalan berpanjangan akibat masalah teknikal. Operasi kedua-dua unit telah mula beroperasi semula pada suku pertama 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai perniagaan antarabangsa TNB, Amir berkata, hasil pemulihan aset di Turki dan India membolehkan syarikat bersekutu memberikan pulangan keuntungan.

Beliau berkata, pelaburan TNB di Turki (GAMA Enerji) yang mana TNB memiliki kepentingan ekuiti 30 peratus, menunjukkan peningkatan prestasi operasi secara keseluruhan yang mendorong peningkatan pendapatan.

Berikutan rosot nilai aset TNB di India (GMR Energy Ltd) pada tahun 2018, TNB kini katanya menjalankan penstrukturan semula, terutamanya melalui penjualan aset.

Ketika mengulas mengenai pakej rangsangan ekonomi 2020, Amir berkata, diskaun elektrik 15 peratus untuk tempoh enam bulan bagi sektor yang terjejas akibat wabak COVID-19 tidak menjejaskan kewangan TNB kerana ia menggunakan sepenuhnya Tabung Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

“TNB juga akan membuat pelaburan sebanyak RM13 bilion tahun ini bagi menyuntik pertumbuhan industri elektrik. Ini merangkumi RM11 bilion seperti yang dirancang untuk tahun 2020, dan pelaksanaan projek bernilai tinggi yang dipercepatkan bernilai kira-kira RM2 bilion.

“Jumlah RM2 bilion ini antara lain meliputi projek pemasangan lampu LED bagi lampu jalan, projek rangkaian penghantaran dan pembahagian serta pemasangan sistem solar atas bumbung,” katanya.

Mengenai prospek ekonomi Malaysia pula, Amir berkata ianya berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019.

Pertumbuhan itu katanya disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih kukuh, di tengah gangguan dalam sektor komoditi.

“Secara keseluruhan bagi 2019, ekonomi berkembang sebanyak 4.3 peratus. Pertumbuhan ekonomi di Malaysia untuk 2020, terutamanya pada suku pertama tahun ini, akan terjejas oleh COVID-19.

“Kesan ini akan dirasai sebahagian besarnya dalam sektor berkaitan pelancongan dan sektor perkilangan melalui gangguan dalam rantaian bekalan global dan kelembapan yang dijangkakan di negara China.

“Ini akan memberi tekanan tambahan kepada pertumbuhan permintaan elektrik, terutamanya dalam sektor perindustrian.

“Di samping cabaran itu, Lembaga Pengarah berpendapat bahawa prestasi kumpulan dijangka kekal berdaya tahan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Post a Comment

0 Comments