MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Langkah Untuk Membantu Perniagaan Dan Isi Rumah Yang Terjejas Oleh Wabak COVID-19



Bagi membantu perniagaan dan isi rumah yang terjejas oleh wabak COVID-19, Bank Negara Malaysia (BNM) memperuntukkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM3.3 bilion di bawah Tabung BNM untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Kemudahan pembiayaan ini bertujuan untuk menyediakan sokongan kepada PKS dalam meneruskan operasi perniagaan, mengekalkan pekerjaan dan menggalakkan pelaburan dalam negeri.
PKS yang berminat boleh memohon tiga jenis kemudahan pembiayaan seperti yang berikut:
  • Kemudahan Bantuan Khas (Special Relief Facility, SRF), dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion, bagi membantu meringankan beban aliran tunai jangka pendek PKS yang terjejas oleh wabak COVID-19. PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 5.5 tahun, termasuk enam bulan tempoh penangguhan bayaran balik. Kadar pembiayaan ditetapkan tidak melebihi 3.75% setahun. Permohonan untuk SRF dibuka mulai 6 Mac 2020 sehingga 31 Disember 2020.
  • Kemudahan Agromakanan (Agrofood Facility, AF), dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion, untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara dan untuk eksport. PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM5 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga lapan tahun. Kadar pembiayaan ditetapkan tidak melebihi 3.75% setahun. Permohonan AF dibuka mulai 6 Mac 2020.  
  • Kemudahan Automasi dan Digital PKS (Automation and Digitalisation Facility, ADF), dengan peruntukan sebanyak RM300 juta untuk menggalakkan PKS mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi mereka bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan. PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM3 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun. Kadar pembiayaan adalah pada 4.00% setahun. Permohonan untuk ADF dibuka mulai 6 Mac 2020 sehingga 31 Disember 2020.
PKS yang berminat boleh memohon terus daripada institusi kewangan peserta yang terdiri daripada bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh BNM. PKS juga boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi platform rujukan pembiayaan perniagaan di imsme.com.my.

Institusi kewangan peserta boleh mendapatkan perlindungan jaminan daripada Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) bagi kemudahan pembiayaan ini.

Pembiayaan dan Sokongan Berterusan daripada Institusi Kewangan

Institusi kewangan juga komited untuk menyokong perniagaan dan isi rumah yang terjejas. Akses kepada pembiayaan yang lebih luas terus disediakan. Institusi kewangan menjangka akan meluluskan sebanyak kira-kira RM200 bilion pembiayaan perniagaan kepada PKS yang berdaya maju dan pembiayaan perumahan kepada isi rumah yang layak pada tahun 2020.

BNM mengalu-alukan usaha oleh institusi kewangan yang secara proaktif telah menyediakan bantuan kepada perniagaan yang berdaya maju dan isi rumah yang sedang menghadapi masalah kewangan sementara, dengan menstrukturkan dan menjadualkan semula kemudahan pembiayaan mereka, termasuk memberikan penangguhan (moratorium) bayaran balik pembiayaan. Pengendali insurans dan takaful juga turut memberikan jaminan bahawa pemegang polisi akan mendapat perlindungan bagi kemasukan ke hospital dan rawatan yang berkaitan dengan COVID-19 di hospital kerajaan dan swasta.

Orang ramai dinasihati supaya menghubungi terus pusat khidmat pelanggan institusi kewangan mereka bagi sebarang pertanyaan atau bantuan. Orang ramai juga boleh menghubungi TELELINK Bank Negara Malaysia melalui talian 1-300-88-5465 untuk maklumat lanjut atau bantuan.

Ciri-ciri Kemudahan Pembiayaan BNM untuk Membantu PKS Malaysia


Kemudahan Bantuan Khas (SRF)
Kemudahan Agromakanan (AF)
Kemudahan Automasi dan Digital PKS (ADF)
Peruntukan
RM2 bilion
RM1 bilion
RM300 juta
Objektif
Meringankan beban aliran tunai jangka pendek yang dihadapi PKS yang terjejas oleh wabak COVID-19
Meningkatkan pengeluaran makanan negara dan untuk eksport
Menggalakkan PKS untuk mengautomasikan proses dan mendigitalkan operasi untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
Kelayakan
PKS[1] Malaysia yang terjejas oleh COVID-19
PKS Malaysia
PKS Malaysia
Tujuan
Modal kerja
  • Perbelanjaan modal
  • Modal kerja
  • Pembangunan projek pertanian
Membeli kelengkapan, mesin, perkakasan dan perisian komputer, solusi dan perkhidmatan IT, perkhidmatan sokongan teknologi dan aset tak ketara lain untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan
Kadar pembiayaan
Sehingga 3.75% setahun (termasuk sebarang fi jaminan)
Sehingga 3.75% setahun
(termasuk sebarang fi jaminan)
4.00% setahun
(termasuk sebarang fi jaminan)
Jumlah pembiayaan maksimum
RM1 juta setiap PKS
RM5 juta setiap PKS
RM3 juta setiap
PKS
Tempoh pembiayaan maksimum
5.5 tahun, termasuk 6 bulan penangguhan (moratorium) bayaran balik pembiayaan
8 tahun
10 tahun
Tempoh penyediaan kemudahan
6 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020
Mulai 6 Mac 2020
6 Mac 2020 hingga
31 Disember 2020

Bank Negara Malaysia
27 Februari 2020


Sumber : www.bnm.gov.my

Post a Comment

0 Comments