Ya Allah!
Rasa kesyukuran kami terhadap nikmat ihsan dan
rahmat Mu, pada hari ini kami zahirkan dengan penuh kehambaan. Kami bersyukur
kepada Mu atas kurniaan kehidupan di dunia ini dengan penuh nikmat dan anugerah
yang begitu banyak dari mu jua.
Ya Allah!
Bersempena sambutan hari lahir kami hari ini,
limpahkanlah rahmat dan berkat Mu kepada kedua ibu bapa kami yang telah
melahirkan dan membesarkan kami sehingga menjadikan kami golongan yang berjaya
pada hari ini.
Kau gantikanlah setiap titisan darah dan
kesakitan ibu ketika melahirkan kami dengan nikmat tidak terhingga di dalam
syurga Mu nanti. Kau gantikanlah setiap titisan keringat dan keperitan ayah
ketika membesarkan kami dengan nikmat bersenang lenang di dalam syurga Mu nanti.
Ya Allah!
Seandainya ibu dan ayah kami telah pergi
meninggalkan kami buat selamanya, kau jadikanlah alam kubur mereka sebagai
sebahagian daripada taman-taman syurga Mu, ya Allah. Kurniakanlah kepada mereka
nikmat kedamaian dan ketenangan di alam persemadian mereka.
Seandainya ibu dan ayah masih bersama kami,
kau hulurkanlah rahmat dan keberkatan Mu kepada kedua-duanya sebagaimana mereka
menyayangi kami sejak kami masih dalam kandungan lagi.
Ya Allah!
Dalam meniti usia yang semakin dewasa ini,
pimpinlah kami dengan hidayah dan taufik Mu agar kami tidak terpesong akidah,
tidak melanggar syari’at, tidak merosak akhlak. Bantulah kami menjadi hamba Mu
yang bersyukur walau dengan nikmat yang sedikit, menjadi hamba Mu yang bersabar
dengan dugaan dan cabaran, menjadi hamba Mu yang kuat melawan godaan syaitan
dan nafsu.
0 Comments