MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Pendirian Mufti Malaysia Tentang Novel Coronavirus (2019-nCoV)


Mukadimah
Pada 25 Januari 2020, kami dikejutkan dengan satu berita hangat berkaitan Novel Coronavirus (2019-nCoV). World Health Organization (WHO) pada 28 Januari 2020 baru sahaja melancarkan Global 2019-nCoV Clinical Data bagi membenarkan negara-negara ahli untuk menyumbang data klinikal bagi menyampaikan maklumbalas klinikal kesihatan awam.
Sehingga 28 Januari 2020, terdapat 4593 kes yang telah disahkan di seluruh dunia dengan China berada di kedudukan tertinggi sebanyak 4537 kes yang telah disahkan dan 106 orang mangsa telah meninggal dunia. Sebanyak 56 kes telah disahkan di luar China yang melibatkan 14 buah negara termasuk Malaysia.[1] Tindakan pantas KKM dalam membendung virus ini daripada terus merebak dalam negara patut diberi pengiktirafan dan sokongan.
Tatkala kami mahu menerbitkan Bayan Linnas maka didapati terlalu banyak pandangan telah dikemukakan oleh pelbagai pihak. Ini menyebabkan kami menangguhkan seketika penulisan artikel ini bagi untuk melihat dan menekuni dengan lebih banyak lagi maklumat serta situasi yang berlaku. Dalam masa yang sama, kami masih berada di bumi Sultan Muhammad al-Fateh semasa isu ini berlaku.
Melihat kepada keperluan panduan kepada umat Islam di Malaysia, kami namakan Bayan Linnas ini dengan tajuk Mauqif (Pendirian) Kami Tentang Novel Coronavirus (2019-nCoV). Semoga Bayan Linnas ini boleh menjadi panduan serta sikap yang perlu diambil oleh masyarakat apabila wujudnya wabak seperti ini.
Beberapa Noktah
Tiga lagi kes positif 2019 novel koronavirus dilaporkan dan sehingga hari ini, menjadikan jumlah kes yang disahkan di negara ini meningkat kepada tujuh kes. Menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang dikeluarkan awal pagi ini, kesemua tujuh kes itu melibatkan warganegara China.
Di bawah ini adalah beberapa nasihat utama kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam bagi menghadapi wabak 2019-nCoV. Kami merasakan lapan noktah di bawah ini adalah amat penting untuk ditekuni bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berkaitan isu ini.
Pertama: Ujian Pasti Mendatang
Benarlah firman Allah SWT:
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ . الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar – (Iatu) orang-orang yang apabila mereka di timpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.
(Surah Al-Baqarah: 155-156)
Pada ayat ini, Allah S.W.T memberi khabar bahawa Dia menguji hamba-hamba-Nya yang beriman dengan beberapa ujian di saat mereka berada dalam keadaan suka dan duka, dan kesemua mereka akan mendapat pahala jika mereka bersabar terhadapnya. Mereka kemudiannya mengucapkan lafaz istirja’ bukti sebagai seorang yang sabar dan syukur. (Lihat Tafsir al-Maraghi; 1/467). Justeru, senjata yang ampuh bagi umat Islam adalah sentiasa berhati-hati, menggunakan kebijaksanaan untuk mengatasi rintangan dan cabaran, di samping doa dan tawakkal kepada-Nya.
Kedua: Mengucapkan Istirja’
Begitulah petunjuk yang telah diberikan melalui wahyu yang mana apabila berlakunya musibah (kematian) maka antara ciri-ciri mereka yang bersabar dengan musibah tersebut adalah mereka mengucapkan istirja’ iaitu ucapan:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيۡهِ رَٰجِعُونَ
Maksudnya: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”.
Ummu Salamah R.A berkata bahawa dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
"مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللهُ: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَخْلَفَ اللهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا".
Maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah, ‘Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala karena mushibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya.' melainkan Allah menukar baginya dengan yang lebih baik".
(Riwayat Muslim, no. 918)
Maka jelaslah melalui hadith ini bahawa setiap orang yang beriman digalakkan untuk menyebut lafaz istirja’ ketikamana ditimpa musibah sama ada musibah tersebut kecil ataupun besar. Imam al-Nawawi menyebut sunat melafazkannya kerana Rasulullah S.A.W disuruh melafazkannya dan ayat al-Quran juga menunjukkan hal yang sama begitu juga ijma’ muslimin. (Lihat al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 6/220).
Imam al-Qurtubi pula menyatakan dalam tafsirnya, musibah ialah setiap perkara yang menimpa manusia dan menyakiti mereka. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 2/175). Perlu difahami di sini bahawa lafaz istirja’ ini bukan hanya disunatkan untuk dilafazkan pada waktu berlakunya sesebuah kematian namun ia umum pada setiap perkara atau kejadian yang menimpa manusia apatah lagi menyakiti mereka.
Dari ‘Ikrimah R.A bahawasanya pelita Rasulullah SAW terpadam pada satu malam. Lantas Baginda mengucapkan:
إنّا للهِ وإنّا إليْه راجعونَ. فقيل: أمصيبةٌ هي يا رسولَ اللهِ؟ قال: نعم، كلُّ ما آذى المؤمنَ فهو مصيبةٌ.
Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Kemudian dikatakan kepadanya: ‘Adakah ini dianggap musibah wahai Rasulullah?’ Jawab Baginda: ‘Ya. Setiap yang menyakiti orang beriman maka ia dianggap musibah.” (Lihat: Tafsir al-Qurtubi, 2/175) dan sabit maknanya dalam al-Sahih
Justeru itu, disunatkan ke atas setiap Muslim untuk mengucapkan lafaz istirja’ pada setiap musibah ataupun dugaan yang menimpa diri mereka. Ini kerana ada beberapa hikmah di sebaliknya termasuklah pengakuan terhadap keesaan Allah S.W.T, kepercayaan pada Hari Akhirat (tempat kembalinya manusia), berserah diri dengan ketentuan Ilahi serta berharap akan ganjaran di sisiNya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/281)
Ketiga: Jangan Sesekali Menakutkan Dengan Hebahan Yang Tidak Tepat
Firman Allah SWT:
وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).
(Surah al-Nisa: 83)
Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ حَمَلَ عَلَيْنا السِّلاَحَ فَلَيْسَ مِنّا
Maksudnya: Sesiapa yang membawa senjata untuk menakut-nakutkan kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.
(Riwayat al-Bukhari, no. 6874)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini di sisi ahli ilmu memberi maksud perbuatan membawa senjata untuk menakutkan orang ramai bukanlah daripada petunjuk dan amalan kami. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 1/109)
Begitu juga sabda Rasulullah SAW:
لَا يَحِلُّ ِلمُسْلِمٍ أَن يَرَوِّعَ مُسْلِمًا
Maksudnya: Tidak halal bagi seorang Islam menakutkan orang Islam yang lain.
(Riwayat Abu Daud, no. 5004)
Termasuk juga dalam ertikata menakutkan orang adalah dengan maklumat palsu yang menjadikan masyarakat merasa panik, takut dan bimbang. Begitu juga sebaran maklumat yang menggerunkan tanpa usul periksa sedangkan hakikat sebenarnya adalah berlainan. Dengan sebab itulah kami selalu katakan
إن كنت ناقلاً فالصحة، أو مدعياً فالدليل
Maksudnya: Jika sekiranya menukilkan sesuatu, maka sahkan terlebih dahulu. Atau jika membuat dakwaan, maka hendaklah mengemukakan bukti.” (Lihat Dhawabit al-Ma’rifah, m. 368)
Tahniah sekali lagi kepada KKM kerana telah menghimpunkan senarai berita-berita palsu berhubung Novel Coronavirus (2019-nCoV).[2]
Keempat: Mengambil Asbab Kerana Ia Termasuk Dalam Hakikat Tawakkal
Menjadi sunnatullah agar kita berusaha dan mencari sebab bagi melaksanakan sesuatu atau mengenal sebarang bentuk penyakit seterusnya dengan itu dapat mencari ramuan serta rawatan untuk penyakit tersebut.
Benarlah hadith Nabi SAW Daripada Abi al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ الله عزّ وجلّ أنْزَلَ الدَّاءَ والدَّواء، وجَعَلَ لِكُل داءٍ دَوَاءً، فَتَداووا، ولا تَدَاووا بحرَام
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menurunkan penyakit dan penawarnya. Dia jadikan setiap penyakit ada penawarnya. Maka hendaklah kamu berusaha merawat tetapi jangan merawat dengan bahan yang haram.”
(Riwayat Abu Daud, no. 3874)
Syeikh ‘Abd al-‘Azim Abadi menyatakan: “(إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ) iaitu Allah menjadikannya penyakit dan memberikan penawarnya juga. (لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ) iaitu daripada yang halal. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 10/251)
Dalam konteks Novel Coronavirus (2019-nCoV), kita digalakkan untuk berjaga-jaga dengan mengikuti segala bentuk panduan daripada KKM.
Kelima: Memahami Nas Dengan Sebaiknya
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى
Maksudnya: "Tidak ada penyakit yang berjangkit.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 5770)
Apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW ialah tidak boleh membiarkan penyakit menjangkit, membiak, menjalar, menular dan merebak. Hadis tersebut tidak bererti bahawa penyakit berjangkit tidak wujud.
Keenam: Memelihara Kesihatan Melalui Kebersihan Adalah Perintah Syarak
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Syeikh Ali Al-Sabuni berkata: “Sesungguhnya Allah amat mencintai orang yang bertaubat dari dosa dan membersihkan diri dari perbuatan yang cela dan juga dari kekotoran.” (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/127)
Firman Allah SWT:
لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya: “Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”
(Surah al-Taubah: 108)
Ayat ini menunjukkan betapa Allah memuji golongan yang menjaga kebersihan.
Ketujuh: Kaedah Pencegahan
Bagi mengelakkan penyakit berjangkit, banyak kaedah pencegahan yang disarankan oleh pakar yang berautoriti. Dalam Islam, Rasulullah SAW telah memberikan asas pencegahan yang baik melalui udara (airbone), titisan (droplet) mahupun sentuhan (contact).
Daripada Ibnu Abbas RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُتَنَفَّسَ فِي الْإِنَاءِ أَوْ يُنْفَخَ فِيهِ
Maksudnya: Bahawa Nabi SAW melarang untuk bernafas dalam bejana atau meniupnya.
(Riwayat al-Tirmizi, no. 1888)
Daripada Abu Hurairah RA:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا عَطَسَ غَطَّى وَجْهَهُ بِيَدِهِ أَوْ بِثَوْبِهِ وَغَضَّ بِهَا صَوْتَهُ
Maksudnya: “Bahawasanya apabila Nabi SAW bersin, baginda menutup wajah dengan tangan atau kainnya sambil merendahkan suaranya.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 2745) Katanya hadith ini hasan sahih.
Praktikal di zaman ini adalah dengan memakai facemask bagi menghalang air liur, kahak dan hingus si pemakai dari tersebar ke udara ketika batuk atau bersin.
Daripada Abu Hurairah RA:
لاَ يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ
Maksudnya: “Pesakit yang berjangkit tidak boleh menjangkiti orang yang sihat.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 5771)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Padanya penguat tegahan daripada membawa atau menyebarkan penyakit.” (Lihat Fath al-Bari, 10/242)
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا
Maksudnya: “Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 5728)
Hadis ini menunjukkan boleh pemerintah mengambil tindakan kuarantin agar penyakit atau wabak tidak tersebar. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA pernah menyebutkan hadith ini kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak taun sedang merebak di sana. Mendengar hadith ini, Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5)
Dalam perbincangan kami dengan al-Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad ‘Awwamah di Istanbul, Turki pada hari Isnin 27 Januari 2020 berkenaan dengan maksud ta’un juga dalam hadith dengan maksud sebarang bentuk wabak juga penyakit umum yang melanda pada satu-satu tempat. Justeru, ia juga terpakai kepada penyakit Novel Coronavirus (2019-nCoV).
Hadith-hadith di atas ini menyimpulkan tiga hikmah terbesar bagi mencegah penularan penyakit berjangkit iaitu:
  • Tidak berada di tempat yang berisiko tinggi
  • Menjaga kebersihan diri
  • Keperluan kuarantin bagi yang menghidap penyakit berjangkit
Kelapan: Tabayyun Setiap Berita Yang Diperoleh
Terdapat kaedah masyhur yang berdasarkan nas Ilahi, Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah al-Hujurat: 6)
Syeikh Ali Al-Sobuni berkata: “Jika datang kepada kamu seorang lelaki fasiq yang mana ia tidak boleh dipercayai dengan kebenaran dan keadilannnya, dengan apa yang diberitakan, maka hendaklah kamu menyemak akan kesahihan berita. Ini supaya kamu tidak mengenakan hukuman atau musibah kepada satu-satu kaum sedangkan kamu jahil tentang hakikat sebenar. Ketika itu, jadilah kamu menyesal tak sudah atas perbuatan kamu. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 3/216)
Ibn Kathir berkata: Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan berwaspada seupaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan. Kebanyakan ahli tafsir menyebut turunnya ayat ini kepada al-Walid bin ‘Uqbah bin Abi Mu’it ketika menjadi utusan Rasulullah untuk memungut zakat daripada Bani Mustaliq (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/264)
Berdasarkan huraian di atas, dapat difahami bahawa antara adab-adab tabayyun adalah mengelakkan diri daripada mendengar sesuatu berita yang belum dapat dipastikan kesahihannya oleh pihak yang berautoriti.
Sebab itulah dalam Surah al-Hujurat juga, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik dan tidak mudah menjatuhkan hukum atau kesimpulan sebagaimana yang disebut ayat 12 dalam surah yang sama: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.”
Umat Islam hendaklah menjadi pembawa berita gembira dan bukan menakutkan orang ramai dengan berita palsu dan analisis yang bukan daripada ahlinya. Inilah yang diajar oleh Nabi SAW. Sebagai contohnya, apabila Baginda SAW menziarahi orang sakit, makanya Baginda memberi semangat kepadanya dengan berkata:
لَا بَأْسَ طَهُورٌ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: Tidak mengapa, semoga kesucian dan kesembuhan dengan kehendak Allah.
(Riwayat al-Bukhari, no. 5656)
Berkata al-Hafiz Ibn Hajar: (طَهُورٌ) bermaksud mudah-mudahan Allah SWT membersihkan dosa-dosa-mu.” (Lihat Fath al-Bari, 10/124)
Berkata al-Mula Ali al-Qari: “(طَهُورٌ) ertinya tidak ada rasa berat dengan sakit ini, kerana ia akan menjadi penghapus dosa-dosa.” (Lihat di Mirqah al-Mafatih, 2/1123)
Begitu juga, boleh jadi apa sahaja yang kita ulas dan kongsi di media sosial bukanlah sesuatu yang benar, sebaliknya hanya khabar angin yang kita dengan dan peroleh daripada sumber yang tidak berautoriti. Benarlah sabda Nabi SAW, daripada Hafs bin ‘Asim:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Maksudnya: Cukuplah seorang itu dianggap berdusta apabila dia bercakap segala apa yang dia dengar.
(Riwayat Muslim, no. 7)
Imam al-Nawawi berkata: Di sini menunjukkan larangan daripada bercakap setiap apa yang dia dengar kerana boleh jadi dia dengar pada adatnya benar atau dusta. Justeru, apabila dia berbicara setiap apa yang dia dengar, maka sesungguhnya dia telah mendustakan dengan berita-beritanya yang boleh jadi bukan begitu. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 1/75)
Oleh itu, marilah sama-sama kita menginsafi supaya jangan kita menjadi penyebab ke arah ketidakbaikan atau dengan kenyataan dan hebahan kita membawa kepada keadaan yang panik dan bimbang yang melampau.
Junjung Kasih Atas Titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong
Kami menjunjung kasih titah KDYMM Tuanku Agong berhubung Novel Coronavirus (2019-nCoV). Kebawah Duli yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menitahkan kesemua masjid di seluruh negara mengadakan solat hajat dan doa selamat memohon ihsan Allah SWT supaya memelihara rakyat daripada sebarang penyakit yang tidak diingini.
Kecaknaan Seri Paduka Baginda yang menyeru kepada rakyat untuk memperbanyakkan doa agar Malaysia dan dunia dilindungi daripada wabak berkenaan menzahirkan sikap Seri Paduka Baginda yang amat prihatin akan masalah negara.
Kesimpulan
Langkah-langkah yang diambil oleh pihak KKM perlu diberi sokongan penuh. Sebarang bentuk nasihat daripada pihak berautoriti hendaklah dipatuhi oleh masyarakat.
Semua lapisan masyarakat perlu bersama-sama menjadi ejen bagi membanteras berita palsu berkaitan Novel Coronavirus (2019-nCoV). Tanamkan disiplin dalam diri untuk menyelidik terlebih dahulu setiap berita yang diperoleh di media sosial. Lazimilah solat hajat dan doa munajat kepada Allah SWT dengan doa yang ma’thur sebagaimana yang telah dibacakan oleh Rasulullah SAW.
Saya berdoa kepada Allah SWT agar kabus wabak ini akan berlalu pergi dan digantikan dengan sinar kesihatan yang terbaik untuk seluruh masyarakat di Malaysia dan juga di tempat lain agar wabak tidak lagi merebak. Amin.
Akhir kalam, kami titipkan doa seperti berikut:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ ، فِي دِينِي ، وَدُنْيَايَ ، وَأَهْلِي ، وَمَالِي ، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي ، وَآمِنْ رَوْعَاتِي ، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ ، وَمِنْ خَلْفِي ، وَعَنْ يَمِينِي ، وَعَنْ شِمَالِي ، وَمِنْ فَوْقِي ، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) dalam agamaku, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah, jagalah aku; dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawahku.”
(Riwayat Abu Daud, no. 5074)

Sumber : www.muftiwp.gov.my

Post a Comment

0 Comments