MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030)



Apa itu dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030)?

WKB2030 ialah dokumen yang menggariskan matlamat sepuluh tahun untuk penstrukturan semula ekonomi ekonomi kemahiran rendah Malaysia kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, dengan rakyat menikmati standard kehidupan yang baik.

Berikut takrifan rasmi WKB2030: "Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

 "Iltizam ini akan diteruskan ke arah mengukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa."

Adakah ia satu rancangan yang spesifik?

Seperi dasar ekonomi sebelum ini seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), WKB2030 ialah dokumen dasar kerajaan, bukan panduan kaedahnya. Ia akan menjadi panduan untuk kerajaan merangka dasar ekonomi untuk sepuluh tahun akan datang.
Kementerian dan jabatan kerajaan perlu merangka dan melaksana perancangan untuk mencapai sasaran itu. Strategi pelaksanaan mungkin akan digariskan dalam Rancangan Malaysia akan datang.

Apa justifikasi WKB2030?

Pertumbuhan ekonomi Malaysia ketinggalan berbanding Asia Timur kerana kebergantungan terhadap komoditi eksport yang harganya tidak stabil. Tidak seperti ekonomi Asia Timur, penggunaan teknologi tinggi di Malaysia masih rendah.
Kerajaan juga berdepan jurang pendapatan yang semakin melebar antara majikan dengan pekerja, kelas, wilayah dan kaum.

Penyertaan bumiputera masih tidak memadai dalam sektor profesional, perusahaan kecil dan sederhana dan sumbangan pendapatan langsung dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sumbangan bumiputera kepada KDNK, jika tidak mengambil kira syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dilaporkan pada kadar 28 peratus pada 2014.

Apakah prinsip di sebalik WKB2030?

Sementara DEB menumpukan untuk merapatkan jurang kekayaan dan peluang sama rata, prinsip di belakang WKB2030 ialah pertumbuhan ekonomi melalui "kesaksamaan keberhasilan".
Menurut dokumen itu, DEB ialah dasar afirmatif yang menambahkan kekayaan sejumlah bumiputera tetapi tidak mencapai matlamat asalnya.

"Ketirisan dalam pelaksanaan dasar (DEB), penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan cabaran utama dalam mencapai kesaksamaan keberhasilan dalam agenda bumiptera.
"Sehubungan itu, pendekatan dasar, intervensi dan program yang lebih komprehensif dalam mencapai kesaksamaan keberhasilan adalah penting bagi mencapai matlamat WKB kepada semua kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan," kata dokumen itu.
Bagaimanapun kesaksamaan keberhasilan hanyalah satu daripada 15 prinsip panduan WKB2030.

Sebesar mana jurang pendapatan antara kaum?

Dari segi pendapatan penengah isi rumah, nisbah antara bumiputera dengan kaum Cina ialaih 0.74:1. Nisbah antara India dengan Cina pula ialah 0.81:1.
WKB2030 ingin mengurangkan jurang tersebut kepada hampir setara (0.9:1:1).

Apakah pelan strategi WKB2030?

Ada tujuh teras strategik dan sejumlah cadangan bagaimana ia dapat dilaksana. Dokumen itu juga menggariskan lapan (8) "pemboleh daya" berkenaan cara kerajaan boleh berperanan untuk mencapai strategi itu.
  1. Kemampanan Fiskal - Pengurusan Kewangan Kerajaan yang mampan bagi mengukuhkan keyakinan pelabur dan pasaran.
  2. Modal Kewangan - Pengembangan perniagaan melalui pembiayaan holistik dan mesra PKS.
  3. Keberkesanan Penyampaian Institusi - Penambahbaikan pelaksanaan inisiatif dan program berteraskan keberhasilan.
  4. Tadbir Urus dan Integriti - Pengukuhan tadbir urus melalui ketelusan dan akauntabiliti bagi meningkatkan kepercayaan rakyat.
  5. Pendidikan & TVET - Peningkatan tenaga kerja berkemahiran dan berpendidikan tinggi, masyarakat peribelajar dan pendidikan berasaskan keberhasilan.
  6. Data Raya - Penggubalan dasar berpandukan data dan fakta empirikal di bawah satu sistem data yang bersepadu dan berintegrasi.
  7. Kelestarian - Pembangunan Negara yang mesra alam dan menekankan kepada pemeliharaan dan pemuliharaan sumber asli.
  8. Masyarakat Berpencerahan - Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat melalui pembelajaran berterusan, wacana intelektual, dialog dan kesedaran bagi meningkatkan pengetahuan, perkongsian pengalaman dan empati.
Adakah dokumen itu khusus untuk bumiputera?

Bab sembilan khusus untuk "keberhasilan bumiputera".
"Keberhasilan bumiputera perlu diberi keutamaan serta diterapkan secara sistematik dalam setiap teras strategik dan pemboleh ubah untuk mencapai matlamat WKB.

"Golongan bumiputera perlu mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan minda dan sikap yang drastik dengan menunjukkan iltizam yang kuat bagi meningkatkan produktiviti bumiputera," kata dokumen itu.

Dalam aspek hala tuju, matlamat WKB2030 adalah untuk kerajaan merangka dasar bagi menangani amalan diskriminasi terhadap pekerja bumiputera dalam sektor swasta dan perniagaan bumiputera.
Matlamat lain termasuk memecahkam monopoli, menggalakkan pemilikan hartanah di kawasan bandar dan pembangunan ekonomi di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Adakah ia menetapkan lebih banyak tindakan afirmatif?

Tidak. Istilah "tindakan afirmatif" hanya disebut dua kali dalam dokumen itu, dan dengan nada negatif.

Bagaimanapun, salah satu prinsip panduan WKB2030 ialah "pendekatan ekonomi keperluan", yang mengutamakan perangkaan dasar berasaskan target demografik yang khusus.
Secara spesifik, pendekatan ini memerlukan penakrifan semula "kemiskinan".

Siapa yang merangka dokumen WKB2030?

Ia dirangkan Kementerian Hal Ehwal ekonomi dan Institut Masa Depan Negara, dan dibentang di kabinet pada 15 September 2019.

 Sumber: Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments