MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Pelaksanaan Cukai Digital Januari 2020


Pelaksanaan cukai digital sebanyak enam peratus kepada penyedia perkhidmatan digital di Malaysia bermula 1 Januari 2020, dijangka berpotensi menjana RM449 juta kepada kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, jumlah berkenaan masih tidak mencukupi untuk mengurangkan sasaran defisit bajet 2020 kepada tiga peratus, demikian menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota penyelidikannya, hari ini bertarikh 14 Mei 2019.
Bank pelaburan itu berkata, pelaksanaan cukai digital itu akan memberi persaingan adil kerana ketika ini hanya penyedia perkhidmatan digital tempatan yang dikenakan cukai perkhidmatan di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) 2.0, (perlaksanaan cukai SST kali ke dua (2) di wujudkan semula) yang menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Sebagai contoh, pelanggan yang menggunakan perkhidmatan iFlix ketika ini perlu membayar enam peratus SST kepada iFlix (tempatan), tetapi bukan untuk Netflix (asing) yang menyebabkan berlaku persaingan tidak adil.
Justeru menyebabkan penyedia perkhidmatan digital tempatan tidak berpuas hati,  sedangkan pihak negara luar yang menyediakan peekhidmatan yang sama tidak dikenakan cukai dan mengaut keuntungan yang banyak serta pengaliran keluar wang ke luar negara memberi kesan kepada mata wang Malaysia.
Antara penyedia perkhidmatan digital popular yang dijangka akan dikenakan cukai ini termasuk Netflix, Spotify, Amazon, pengiklanan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, pengkomputeran awan, aplikasi dan permainan di telefon pintar.
Penyedia perkhidmatan digital asing ini mempunyai pilihan sama ada mahu melepaskan kos ini kepada pelanggan menerusi kenaikan harga sebanyak enam peratus atau mengekalkan harga dan menyerap cukai ini.
Mengulas lanjut, HLIB berkata cukai itu tidak akan memberi kesan kepada pembelian barang dalam talian kerana ia sudah pun tertakluk kepada cukai jualan dan duti import.
Cabaran utama yang akan dihadapi kerajaan ialah untuk mendapatkan penyedia perkhidmatan digital asing mendaftarkan cukai itu.
Biarpun syarikat lebih besar mungkin akan patuh kerana alasan reputasi, namun sebaliknya untuk peserta lebih kecil. Selain itu, adalah sukar untuk mengenalpasti peserta lebih kecil yang menjana pendapatan lebih RM500,000 di Malaysia.
Justeru, HLIB berpendapat terdapat dua langkah penguatkuasanaan boleh dilakukan iaitu:-
  1. Menutup laman web dan aplikasi mereka atau
  2. Bekerjasama dengan bank tempatan bagi menghalang transaksi pembayaran.
Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata pelaksanaan cukai digital itu dibuat tepat pada masanya, terutama ketika sudah banyak negara lain yang turut melaksanakannya.
Adalah menjadi kerugian jika Malaysia tidak melaksanakannya kerana kebanyakan syarikat luar yang menyediakan perkhidmatan digital adalah bertaraf gergasi dunia dan meraih berbilion ringgit pendapatan.
Ini kerana, secara digitalnya, syarikat ini beroperasi di Malaysia. Maka sewajarnyalah untuk mereka turut dikenakan cukai.
Cuma apa yang perlu kerajaan perhalusi ialah mekanisme bagaimana cukai digital ini mahu dikenakan memandangkan ini ialah sesuatu yang baharu, maka sudah tentu banyak ketidakpastian akan berlaku.
Mengulas mengenai hasil kutipan cukai digital yang tidak mampu mengurangkan defisit bajet negara, Ahmed Razman turut bersetuju dengan perkara itu.
“Namun, lebih baik ada (hasil) daripada tiada langsung. Malah, ekonomi digital juga dijangka akan berkembang lebih besar pada masa akan datang dan yakin hasil kutipan ini akan terus bertambah setiap tahun.

Sumber : Berita Harian dan Penulis sendiri 

Post a Comment

0 Comments