MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Kronologi Agihan Pusaka

SERING berlaku masyarakat terkeliru bagaimana sebenarnya harta pusaka diagihkan. Di manakah letaknya kedudukan faraid, hibah, wasiat, harta sepencarian, ama­nah dan wakaf dalam kronologi agihan harta dan harta pusaka seorang Muslim. Tambahan pula terdapat ramai orang bercakap tentang isu ini daripada pelbagai sudut menyebabkan masyarakat terkeliru.
Analogi isu ini ialah seperti seekor gajah yang cuba ditafsir oleh orang buta. Si buta yang memegang ekor gajah akan mengatakan gajah itu seperti tali. Si buta yang memegang telinga pula akan kata gajah itu seperti dulang yang leper. Yang meme­gang badan pula akan kata gajah itu seperti tembok tinggi.
Akhirnya si gajah marah sebab diraba dan terus memijak ketiga-tiga si buta sampai mati! Begitu jugalah dengan isu ini. Akibat terkeliru kerana terlalu banyak maklumat yang bercanggah, akhirnya kita memilih untuk tidak berbuat apa-apa dan harta pusaka yang ditinggalkan akhirnya berisiko untuk bermasalah.

Harta si mati bukanlah boleh difaraid: 

Sebenarnya apabila orang Islam meninggal dunia, hartanya tidak secara automatik dianggap sebagai harta pusaka keseluruhannya yang berhak ke atas waris-warisnya mengikut hukum faraid. Masyarakat selalu beranggapan bila mati faraid sajalah. Sebenarnya terdapat kronologi (turutan) khusus yang perlu dilalui oleh harta yang di­tinggalkan sebelum ia diagihkan mengikut hukum faraid.
Izinkan saya terangkan melalui satu contoh. Amran mempunyai pelbagai jenis harta seperti rumah banglo yang bernilai RM2 juta, wang tunai dalam akaun semasa di bank berjumlah RM1 juta, pelaburan dalam amanah saham bernilai RM1 juta dan sekeping tanah kosong bernilai RM500,000. Nilai harta milik Amran ialah RM4.5 juta. Amran mempu­nyai hutang kad kredit seba­nyak RM100,000.
Amran mempunyai seorang isteri dan dua orang anak pe­rempuan. Ibu bapanya telah lama meninggal dunia dan dia mempunyai dua orang adik lelaki. Waris kepada hukum fa­raid ialah isteri sebanyak 2/16, setiap anak perempuan mendapat 4/16 dan setiap adik lelaki mendapat 3/16.
Semasa hidupnya Amran telah menghibahkan rumah banglonya kepada dua anak perempuannya. Tanah kosongnya telah diwakafkan kepada Baitulmal nege­ri manakala pelaburan unit amanahnya telah diletakkan di bawah bidang kuasa syarikat amanah untuk diteruskan sebagai amanah bagi pasangan dan anak-anaknya. Untuk amal jariahnya, Amran mewasiatkan 1/3 daripada harta pusakanya kepada rumah anak yatim.
Apabila Amran meninggal dunia, rumah banglo yang te­lah dihibah, tanah kosong yang telah diwakafkan dan amanah saham yang telah diletak hak di bawah bidang kuasa syarikat amanah bukanlah harta pusaka. Waris tiada hak untuk menuntut harta-harta ini kerana ia te­lah dilupuskan oleh Amran melalui hibah, wakaf dan amanah.

Waris boleh tuntut di mahkamah syariah: 

Jika waris-waris mengikut hukum faraid di atas tidak berpuas hati dan mahu menuntut juga harta-harta di atas sebagai harta pusaka, mereka perlu membuat tuntutan di mahkamah syariah (bagi isu hibah dan wakaf) dan mahkamah sivil (bagi isu ama­nah) untuk memutuskan sama ada hibah, wakaf dan amanah itu adalah harta pusaka.
Ini bermakna harta pusaka milik Amran hanyalah seba­nyak RM1 juta sahaja iaitu wang di dalam akaun simpanannya. Baki ini perlu ditolak pula dengan hutang kad kreditnya sebanyak RM100,000. Maka tinggallah baki harta pusakanya sebanyak RM900,000.
Dari jumlah RM900,000 yang berbaki, isterinya menggunakan hak untuk menuntut harta sepencarian di mahkamah syariah. Selepas perbicaraan, mahkamah syariah memutuskan isteri berhak ke atas separuh daripada harta pusaka (andaian). Maka RM450,000 akan diserahkan kepada isteri. Tinggallah baki harta pusaka Amran sebanyak RM450,000 sahaja.
Oleh kerana Amran telah berwasiat supaya 1/3 harta pusakanya diserahkan kepada rumah anak yatim, RM150,000 iaitu 1/3 akan ditolak daripada baki harta pusaka RM450,000 di atas untuk menjelaskan hasratnya. Maka baki harta pusaka Amran seba­nyak RM300,000 sahaja.

Harta sepencarian diberi keutamaan:

Harta sepencarian diberikan keutamaan untuk dituntut terlebih dahulu daripada wasiat kerana dianggap tuntutan kepada harta pusaka manakala wasiat dianggap ikhtiyarriah iaitu hasrat si mati. Di antara tuntutan dan hasrat, tuntutan diutamakan.
Baki harta pusaka Amran yang berbaki RM300,000 itu adalah hak waris-warisnya mengikut hukum faraid. Maka dibahagikan RM300,000 itu kepada 16 bahagian mengikut kiraan faraid bagi mendapat berapakah nilai sebahagian iaitu RM18,750 sebahagian. Apabila dikira balik hak setiap waris, akan didapati RM37,500 ialah hak isteri, RM75,000 ialah hak setiap anak perempuan dan RM56,250 ialah hak setiap adik lelaki.
Walaupun harta yang ditinggalkan Amran berjumlah RM4.5 juta, tetapi yang di faraid hanyalah RM300,000 sahaja selepas ditolak elemen lain dalam peranca­ngan harta yang dibuat. Tetapi jika Amran tidak membuat apa-apa perancangan hartanya semasa hidup, berapa nilai harta pusakanya?
Sebenarnya apabila orang Islam meninggal dunia, hartanya tidak secara automatik dianggap sebagai harta pusaka keseluruhannya yang berhak ke atas waris-warisnya mengikut hukum faraid. Masyarakat selalu beranggapan bila mati faraid sajalah.



Post a Comment

0 Comments