MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Untung DRB-Hicom mungkin terjejas



Malaysian Rating Corporation (MARC) melihat keuntungan operasi DRB-Hicom Bhd. mungkin terus terjejas pada 2019 susulan prospek mencabar bagi sektor automotif didorong unjuran pertumbuhan ekonomi yang lemah.

Menurut agensi penarafan itu, segmen automotif kumpulan DRB-Hicom yang menyumbang 53 peratus kepada perolehan kumpulan bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2018 terus mencatat kerugian operasi. Katanya, Proton Holdings Bhd., dengan pegangan 50.1 peratus dimiliki oleh DRB-Hicom kekal memberi impak negatif kepada prestasi kumpulan dengan mencatat kerugian sebanyak RM134.6 juta pada tahun kewangan 2018. 

“Selain mengalami penurunan berterusan dalam jumlah jualan, Proton turut dihimpit tekanan harga yang kompetitif.

“Syarikat automotif bersekutu DRB-Hicom, terutama Honda (M) Sdn. Bhd., sebahagiannya mengimbangi kerugian dalam segmen automotif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Jualan kereta Proton mencatatkan 11 peratus penurunan tahun ke tahun kepada 64,459 buah pada tahun kewangan 2018. 

Semalam, Proton melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertamanya, X70 yang berharga RM99,800 sebuah bagi Standard 2WD, RM109,800 (Executive 2WD), RM115,800 (Executive AWD) dan RM123,800 (Premium 2WD) tidak termasuk insurans.

Rata-rata penganalisis menjangkakan pelancaran model SUV itu akan merangsang pertumbuhan jualan Proton.

Bagaimanapun, ketika ini X70 merupakan unit kendera­an diimport sepenuhnya (CBU) dari China sementara model pemasangan tempatan (CKD) akan diperkenalkan tahun hadapan.
Persoalannya, dengan harga CKD yang kebiasaannya lebih murah daripada CBU, bukankah lagi berbaloi sekiranya pembeli mengambil konsep tunggu dan lihat?

Mengulas tentang itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff tidak melihat akan berlakunya konsep tunggu dan lihat dalam kalangan orang ramai.

“Ini kerana, harga yang ditawarkan ketika ini sudah cukup berpatutan mengambil kira banyak ciri-ciri yang menarik ditawarkan pada kereta ber­kenaan.

“Ia merupakan satu keperluan bagi mana-mana pengeluar kenderaan untuk merancang pengenalan produk baharu kerana kitaran hayat produk itu tidak begitu lama,” katanya.

Sumber : Utusan Melayu 

Post a Comment

0 Comments