MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

10 Tanda - Tanda Husnul Khatimah




Antara tanda-tanda husnul khatimah ialah sesiapa yang sempat melafazkan kalimah syahadah sebelum dia meninggal dunia. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, bahawa Rasulullah SAW bersabda:


مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ


Maksudnya: Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga.


Hadith riwayat Abu Daud: (3316)


Selain itu, terdapat tanda-tanda lain bagi kematian yang baik (husnul khatimah) terbahagi kepada dari sudut masa, tempat dan keadaan. Antaranya ialah:


Mati pada hari atau malam Jumaat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn ‘Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِن مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الجُمْعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الجُمْعَةِ إِلَّا وَقَّاه اللهُ فِتْنَةَ القَبْرِ


Maksudnya: Tidak ada orang Islam yang meninggal dunia pada hari atau malam Jumaat kecuali Allah SWT akan melindunginya daripada fitnah kubur.


Hadith riwayat al-Tirmidzi: (1074)


Mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Ini berdasarkan hadith yang telah disebutkan di atas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا الله دَخَلَ الجَنَّةَ


Maksudnya: Barangsiapa yang akhir perkataannya ‘Tiada tuhan melainkan Allah’, nescaya dia akan memasuki syurga.


Hadith riwayat Abu Daud: (3316)


Meninggal dunia dalam keadaan berpeluh di dahinya. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَوْتُ المُؤْمِنِ بِعَرْقِ الجَبِينِ


Maksudnya: Tanda kematian bagi seorang mukmin ialah dengan berpeluh dahinya.


Hadith riwayat al-Tirmidzi: (982)


Dia diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah SWT beramal soleh sebelum dia meninggal dunia. Di dalam satu hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ


Maksudnya: Jika sekiranya Allah SWT menginginkan kebaikan terhadap hambaNya, maka Allah SWT menjadikannya sentiasa melakukan amal. Para sahabat RAnhum bertanya, “Bagaimana dia menjadikannya sentiasa melakukan amal?”. Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum daripada kematiannya.


Hadith riwayat al-Tirmidzi: (2142)


Dia berasa gembira dan senang hati untuk bertemu dengan Allah SWT. Di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحَبَّ لِقَاءَ اللَّهِ أَحَبَّ اللَّهُ لِقَاءَهُ وَمَنْ كَرِهَ لِقَاءَ اللَّهِ كَرِهَ اللَّهُ لِقَاءَهُ


Maksudnya: Barangsiapa gembira bertemu dengan Allah, maka Allah gembira bertemu dengannya. Dan barangsiapa merasa berat bertemu dengan Allah, maka Allah juga merasa berat untuk bertemu dengannya.


Hadith riwayat Muslim: (2685)


Meninggal dunia disebabkan oleh penyakit yang berkaitan dengan perut.

وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيْدٌ


Maksudnya: Barangsiapa yang mati akibat daripada penyakit berkaitan perut, maka dia mati dalam keadaan syahid.


Hadith riwayat Muslim: (1915)


Meninggal dunia dalam keadaan lemas tenggelam, jatuh bangunan dan syahid di jalan Allah SWT.

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ


Maksudnya: Orang yang mati syahid itu ada lima iaitu orang yang meninggal karena penyakit tha’un, sakit perut, tenggelam, orang yang jatuh daripada bangunan  atau tebing dan syahid di jalan Allah.


Hadith riwayat al-Bukhari: (652)


Meninggal dunia dalam keadaan melahirkan anak.

قَتْلُ الْمُسْلِمِ شَهَادَةٌ وَالطَّاعُونُ شَهَادَةٌ وَالْبَطْنُ وَالْغَرَقُ وَالْمَرْأَةُ يَقْتُلُهَا وَلَدُهَا جَمْعَاءَ


Maksudnya: Seorang muslim yang terbunuh dikira sebagai seorang syahid, kematian akibat wabak taun juga dikira sebagai syahid, kematian karena sakit perut, mati lemas dan seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan anaknya dikira sebagai syahid.


Hadith riwayat Ibn Kathir: (5869)


Meninggal dunia kerana mempertahanakan harta dan maruah dirinya.

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ  ” أَرَأَيْتَ إِنْ جَاءَ رَجُلٌ يُرِيدُ أَخْذَ مَالِي قَالَ : فَلَا تُعْطِهِ مَالَكَ  قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَاتَلَنِي  قَالَ : قَاتِلْهُ  قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَتَلَنِي قَالَ : فَأَنْتَ شَهِيدٌ  قَالَ : أَرَأَيْتَ إِنْ قَتَلْتُهُ  قَالَ : هُوَ فِي النَّارِ


Maksudnya: Datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, bagaimana kalau ada seseorang yang hendak mengambil hartaku?” Baginda SAW bersabda, “Jangan engkau berikan hartamu!”. “Bagaimana kalau dia melawanku?”. Baginda SAW bersabda; “Lawanlah dia!”. “Bagaimana kalau dia membunuhku?” Baginda SAW bersabda; “Engkau syahid”. “Bagaimana kalau aku yang membunuhnya?” Baginda SAW bersabda: “Dia di neraka!”


Hadith riwayat Muslim: (140)


Meninggal dunia dalam keadaan melaksanakan amalan soleh.

مَنْ قَالَ : لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ ، خُتِمَ لَهُ بهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ صَامَ يَوْمًا ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بهَا ، دَخَلَ الْجَنَّةَ ، وَمَنْ تَصَدَّقَ بصَدَقَةٍ ابتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ خُتِمَ لَهُ بهَا ، دَخَلَ الْجَنَّةَ “


Maksudnya: Barangsiapa yang mengucap ‘Laa ilaaha illallah’ ikhlas kerana mencari keredhaan dia Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Barangsiapa yang berpuasa pada suatu hari kerana ingin mencari keredhaan Allah SWT, dan diakhiri hayatnya dengan perkara tersebut nescaya dia akan masuk Syurga. Barangsiapa yang bersedekah ikhlas kerana Allah SWT kemudian dia meninggal dunia, maka dia akan masuk Syurga.”


Hadith riwayat Ahmad: (23372)


Berikut adalah antara tanda-tanda kematian yang baik (husnul khatimah) yang terdapat dalam hadith-hadith Nabi SAW. Akhirnya, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT supaya kita dimatikan dalam keadaan husnul khatimah dan ditempatkan di sisi Rasulullah SAW serta dalam kalangan orang yang soleh.


اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُوءِ الخَاتِمَة


Maksudnya: Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah.


Amin. WaAllahu a’lam.


Sumber: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3670-al-kafi-1359-apakah-tanda-tanda-kematian-yang-baik-husnul-khatimah


Post a Comment

0 Comments