MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Tiada Bencana Bulan Safar



Tiada Bencana Bulan Safar


عن أبي هريرة رضي الله تعالى عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ


Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tidak ada  penyakit yang berjangkit (dengan sendiri), tidak ada thiyarah (kesialan atau kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat), tidak ada kesialan (bala bencana) dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.” (HR Bukhari No: 5770) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:


1.  Rasulullah SAW melarang umatnya mempercayai amalan kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar, akan berlaku perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu dahulu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.


2.  Tidak ada penyakit berjangkit dengan sendiri melainkan bersebab. Nabi s.a.w. juga telah memerintahkan mereka yang berada di tempat wabak untuk tidak keluar dari kawasannya (kurantin). Mereka yang sihat pula diperintahkan untuk tidak memasuki tempat yang terkena wabak:


إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ


“Apabila kamu mendengarnya (wabak) di sesuatu tempat, maka janganlah kamu pergi ke situ. Dan apabila ia berlaku di tempat kamu, maka janganlah kamu keluar lari daripadanya.” (HR Muslim No: 2219) Status Hadis Sahih


3.  Rasulullah SAW juga melarang kepercayaan terhadap bunyi burung tertentu atau kehadiran binatang tertentu membawa akibat buruk dalam kehidupan seperti bunyi burung gagak, kehadiran binatang pelesit dan sebagainya sehingga menghalang bermusafir atau keluar rumah. Rasulullah SAW menyebut: “Sesiapa yang menangguhkan hajatnya kerana mempercayai burung tertentu, sesungguhnya dia melakukan perkara syirik.” (HR Ahmad)


4.  Tiada suatu manfaat mahupun mudarat melainkan ianya telah ditentukan Allah. Ingatlah Firman Allah SWT yang bermaksud:


قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَىٰنَاۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ 


 “Katakanlah (wahai Muhammad) tiada sesuatu pun akan menimpa kami melainkan dengan ketentuan Allah. Dialah penolong kami, maka hendaklah orang yang beriman itu bertawakal kepada Allah.” (al-Taubah : 51)


Tidak ada bulan mahupun burung dan makhluk lain yang membawa kecelakaan. Setiap yang berlaku itu adalah ketentuan Allah.


Hindari Mempercayai Kesialan Sesuatu


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ رَدَّتْهُ الطِّيَرَةُ مِنْ حَاجَةٍ فَقَدْ أَشْرَكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كَفَّارَةُ ذَلِكَ قَالَ أَنْ يَقُولَ أَحَدُهُمْ اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ


Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpaling daripada melakukan sesuatu hajat kerana beranggapan akan bernasib sial maka dia telah melakukan syirik.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah penebus anggapan itu? Baginda menjawab: “Hendaklah seseorang daripada kamu mengucapkan:

(Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau).” (HR Ahmad, No : 6748) Status: Hadis Sahih


Doa Yang Diajarkan Rasulullah SAW Berkaitan Bulan Safar


Pengajaran:


1.  Bulan Safar adalah bulan kedua dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram. Antara maksud Safar adalah bulan yang diharamkan untuk berperang sebagaimana yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. 


2.  Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa perkara buruk akan berlaku apabila datang bulan Safar. Bahkan mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Antara larangan lain adalah dalam urusan pernikahan, larangan untuk bermusafir pada bulan Safar dan lain-lain. Maka pandangan ini adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam. 


3.  Sesiapa yang mempercayai bulan tertentu atau burung tertentu membawa keburukan sehingga menghalangnya melakukan sesuatu seperti bermusafir, bernikah dan sebagainya, maka dia telah melakukan syirik.


4.  Setiap Muslim perlu memantapkan keimanan dengan percaya kepada Qada’ dan Qadar yang telah ditetapkan Allah SWT serta menghilangkan tanggapan yang silap tersebut dengan bertawakal kepada Allah SWT. 


5.  Selain daripada itu, setiap kita dianjurkan agar membaca doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW: 


اللَّهُمَّ لَا خَيْرَ إِلَّا خَيْرُكَ وَلَا طَيْرَ إِلَّا طَيْرُكَ وَلَا إِلَهَ غَيْرُكَ


(Ya Allah, tiada kebaikan melainkan kebaikan-Mu dan tiada kesialan kecuali yang telah Engkau takdirkan dan tiada tuhan yang disembah selain Engkau)


Kridet: @islamitu_indah & Infografik Pinterest

Post a Comment

0 Comments