MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

Britain/United Kingdom (UK) Tinggalkan Kesatuan Eropah (EU) Hari Ini (31 Januari 2020)


Bagi pihak negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Majlis EU meluluskan keputusan untuk menyempurnakan perjanjian bagi membolehkan Britain/United Kingdom (UK) keluar daripada blok berkenaan, menurut kenyataan pada Khamis.

Agensi berita Xinhua melaporkan keputusan berkenaan dibuat sehari selepas sesi plenari Parlimen Eropah meluluskan perjanjian Brexit dengan 621 menyokong, 49 menentang dan 13 berkecuali.
Pemimpin politik EU dan Britain/UK sudah pun menandatangani perjanjian itu yang merintis laluan pengunduran secara teratur UK daripada EU.

Ia meliputi hak warga negara, penyelesaian kewangan, tempoh peralihan, protokol mengenai Ireland dan Ireland Utara serta beberapa isu lain, menurut kenyataan itu.

Perjanjian berkenaan akan berkuat kuasa dengan penarikan diri Britain/UK daripada EU pada malam Jumaat, menamatkan keanggotaan negara itu selama 47 tahun.

Rakyat Britain mengundi untuk keluar daripada EU menerusi pungutan suara pada Jun 2016 dan kerajaan itu secara rasmi memaklumkan kepada EU mengenai hasrat mereka pada Mac 2017.

Menjelang 1 Feb, UK tidak lagi dianggap sebagai negara anggota EU, meskipun ia akan terus mengguna pakai undang-undang EU sehingga tempoh peralihan tamat pada akhir 2020. 

Berikut adalah perincian utama Brexit:

• Britain/UK berkata sudah bersedia memulakan rundingan perdagangan pada 1 Februari, namun semua negara anggota EU masih berbincang mengenai apa yang dikehendaki daripada rundingan itu.

• Perdana Menteri Britain/UK, Boris Johnson akan memberikan idea berhubung perjanjian perdagangan bebas, selaras dengan persetujuan terkini EU bersama Kanada, dalam ucapan pada awal Februari.

• Mandat EU boleh diluluskan oleh semua menteri pada 25 Februari, cadang pegawai di Brussels, sekali gus bermakna rundingan boleh dimulakan sekitar 1 Mac.

• Britain berharap untuk mengadakan perbincangan perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan negara bukan EU pada waktu yang hampir sama.

• Perdagangan bukan satu-satunya isu yang perlu diselesaikan bersama Brussels, namun Britain/ UK dan EU akan meneruskan kerjasama rapat dalam aspek penguatkuasaan undang-undang, pendidikan dan tenaga, di samping beberapa isu lain.

• Tempoh peralihan dijangka berkekalan sehingga 31 Disember, 2020.
Britain/UK boleh meminta untuk melanjutkan tempoh selama setahun atau dua tahun, namun perlu memaklumkan perkara itu kepada EU menjelang 1 Julai.

• Johnson menegaskan beliau tidak akan membuat permintaan itu dengan berkata, Britain/UK perlu segera bebas dari peraturan dan perundangan EU pada kadar segera.

• Tanpa sebarang lanjutan atau perjanjian perdagangan, hubungan antara Britain/UK dan EU akan menjadi buruk menjelang akhir 2020.

• Perjanjian baharu akan membolehkan kedua-dua pihak meneroka jalinan kerjasama baharu.
Kegagalan untuk mencapai persetujuan bermakna, segala perdagangan merentasi negara, pengangkutan dan aspek lain akan terjejas. - AFP

Sumber :  AFP & BERNAMA



Post a Comment

0 Comments