MyWilayah.com

Bahan Ilmiah Sepanjang Zaman

Informasi Terkini

8,246 murid di Sabah terbabit dalam Program Sarapan Percuma


KOTA KINABALU: Seramai 8,246 murid dari 15 sekolah rendah di negeri ini terpilih dalam pelaksanaan Program Sarapan Percuma (PSP) yang bermula 20 Januari depan.
Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin, berkata 15 sekolah itu membabitkan 15 daerah di seluruh Sabah dan sekolah berkenaan paling ramai murid keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
“Sekolah yang terbabit dalam program ini Sekolah Kebangsaan (SK) Penangah, Telupid; SK Saint James, Kudat; SK Tandek, Kota Marudu; SK Nambayan, Tambunan; SK Kabogan, Semporna dan SK Bukit Garam, Kinabatangan
“Selain itu, SK Pinggan-Pinggan, Pitas; SK Binsulok, Beaufort; SK Kuala Tomani, Tenom; SK Kebagu, Kota Kinabalu; SK Kulambai, Kota Belud; SK Pekan Nabawan, Pensiangan; SK Kundasang, Ranau, SK Sungai Anib 1, Sandakan dan SK Umas-Umas, Tawau turut tersenarai dalam program ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kementerian Pendidikan sebelum ini memaklumkan bahawa pelaksanaan PSP fasa pertama akan dimulakan membabitkan 100 sekolah di seluruh negara dengan 37,000 murid dan 1,600 guru bertugas setiap hari.
Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya turut memaklumkan kos pelaksanaan fasa pertama program itu dianggarkan RM22 juta.
Katanya, pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu makanan berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri daripada menu minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwic, buah-buahan atau telur rebus.
“Waktu pelaksanaan PSP antara jam 7 pagi hingga jam 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan jam 1 hingga 4 petang bagi persekolahan sesi petang, mengikut ketetapan pengurusan sekolah.
“Pemilihan 100 sekolah dalam fasa pertama dilaksanakan berdasarkan keutamaan kepada sekolah yang mempunyai peratus tertinggi murid daripada golongan B40 di setiap negeri.
“Ia turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu SK, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya.

Sumber : Berita Harian 

Post a Comment

0 Comments